|
Gadis Pisau Cukur
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
[email protected]
Buat pertama kali Maya Karin, Nur Fazura digandingkan dalam filem arahan Bernard Chauly
PISAU CUKUR nampaknya banyak mencatat sejarah tersendiri buat pelakon terbaik, Maya Karin. Filem terbaru arahan Bernard Chauly terbitan Red Communications Sdn Bhd, bukan saja melakar catatan kali pertama dia bekerja bersama Bernard dan syarikat produksi itu, malah filem komedi terbabit juga muncul filem sulung menggandingkan dirinya bersama seorang lagi aktres berbakat, Nur Fazura.
Namun akui Maya, biarpun julung kali beraksi di sisi Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-17 itu, jelas sekali masing-masing tidak berdepan masalah, dek keserasian yang bagai semula jadi wujud antara mereka.
"Walaupun kali pertama berlakon bersama, kami memang dapat berasakan wujudnya keserasian antara kami berdua. Mungkin kerana itu, banyak babak yang kami lakon berdua dilihat menjadi.
"Saya amat menyukai gandingan ini kerana Fazura sendiri seorang yang cukup dinamik. Saya tidak mengenalinya dengan mendalam sebelum ini. Saya pernah digandingkan dengannya pada sesi fotografi untuk sebuah majalah hiburan. Tetapi, ketika itu, masing-masing malu untuk berbual panjang, cukup sekadar bertegur sapa.
"Kini, apabila kami ditemukan dalam Pisau Cukur, masing-masing berasakan wujudnya keserasian. Apatah lagi tidak banyak filem Melayu yang menampilkan dua watak perempuan utama.
"Tidak juga saya nafikan, ada tanggapan mengatakan apabila dua aktres yang sedang meningkat ditemukan, pasti akan ada insiden 'pergaduhan' atau adegan 'siapa lebih hebat'. Namun perkara sebaliknya berlaku di set filem ini apabila masing-masing menunjukkan sikap tolong-menolong. Yang nyata, dengan sikap baik sebeginilah baru kita dapat hasilkan lakonan yang lebih berkesan," ujar Maya ketika ditemui di lokasi filem itu di Hotel Federal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bukan setakat Fazura yang mendapat pujian Pelakon Terbaik di dua festival filem antarabangsa ini, bahkan si pengarah, Bernard turut dianggap Maya sebagai sutradara yang jujur dalam melakukan kerjanya.
"Bekerja bersama Bernard amat menyeronokkan kerana dia tidak berselindung apabila melahirkan pandangan. Dia jujur dan berterus-terang. Baik atau buruk sesuatu babak yang kami buat, dia akan meluahkan pendapatnya. Jika baik, baiklah dan begitu juga sebaliknya," kata Maya.
Mengenai wataknya dalam filem yang turut dibintangi Aaron Aziz, Eizlan Yusof, Redza Minhat, Khatijah Tan, Umie Aida, Sharifah Sofia, Liyana Jasmay dan Nas-T itu, Maya berkata, Bella mewakili karakter yang belum pernah dilakonkan sebelum ini. Sebagai Bella, dia perlu menjadi wanita yang mengada-ngada dan kelakar. Watak itu juga kata Maya, lebih ringan berbanding beberapa filemnya yang terdahulu.
"Ketika pihak Red Communications mula-mula menawarkan saya watak dalam filem ini, saya terus berkata "ya" kerana daripada cerita yang mereka cuba gambarkan, saya sudah boleh bayangkan bagaimana hasilnya," kata Maya yang lebih mengenali watak dan perwatakan dalam filem itu apabila mereka mengikuti sesi latihan beberapa bulan sebelum penggambaran dijalankan.
'Usah ingat Intan wanita murahan'
JIKA Maya bekerja buat kali pertama bersama 'team' Red Communications, Fazura pula sudah biasa dengan mereka setelah terbabit dalam filem dan siri Gol & Gincu, sebelum ini.
Kata aktres dari Pahang ini, dia senang bekerja dengan pasukan produksi di bawah Bernard kerana mereka bersikap profesional dan cekap.
"Bukan saja pelakon dilayan dengan baik, malah pengarahnya sendiri seorang yang amat memahami. Antara kami bagai tidak ada sempadan, sebaliknya tidak ubah bagai sebuah keluarga. Memang ada masanya Bernard akan serius apabila dia perlu berbuat demikian, tetapi ada masanya dia dan Lina Tan (penerbit) bertepuk-tampar bersama kami semua," puji wanita berusia 25 tahun ini.
Fazura turut berbangga dengan filem terbarunya itu yang dilihatnya sebagai filem komedi yang berbeza, dengan rentaknya lebih pantas dan bentuk filem itu sendiri yang seakan komedi telenovela.
"Setiap kali selepas melihat sesuatu babak kami lakukan, kami seperti yakin filem ini akan muncul sebuah penghasilan yang begitu baik dan menjadi," tegas Fazura yang diberikan watak Intan.
Sebagai Intan, dia perlu menjadi wanita matang yang mengetahui apa diingini dalam kehidupan. Wanita itu juga mempunyai karier, tetapi dia inginkan sebuah kehidupan senang-lenang.
"Namun jangan ingat Intan seorang wanita murahan," pesan Fazura sambil ketawa.
Lebih menyeronokkan dirinya apabila gandingannya kali ini ialah aktres dihormati ramai, Maya Karin.
"Kami berkongsi bentuk pemikiran lebih kurang serupa. Kami tidak bersaing sesama sendiri di lokasi, sebaliknya bekerjasama sebagai kakak dan adik.
" Pendek kata, tidak ada perbezaan antara kami berdua dan pengalaman bekerja dengannya sesuatu yang cukup menyeronokkan. Saya sendiri tidak dapat bayangkan, siapa lagi pelakon wanita yang sesuai untuk watak berkenaan selain Maya," ujarnya.
Sinopsis:
APA akan terjadi apabila mangsa dan pemburu sama-sama terperangkap di atas sebuah kapal percutian mewah? Dua gadis pisau cukur, Intan dan Bella, bertembung dengan tiga Datuk, tiga isteri Datuk, dua anak Datuk, seorang detektif dan seorang peminat setia Bella. Siapakah yang memburu dan siapa pula diburu? Dalam pelayaran penuh kejutan dan kelucuan, apa-apa pun boleh terjadi. Pisau Cukur menemui penonton di pawagam pada 2009.
INFO: Maya Karin
* Nama: Maya Karin Roelcke
* Tarikh Lahir: 29 Oktober 1979
* Tempat Lahir: Bayreuth, Bavaria, Jerman
* Profesion: Pelakon, Penyanyi, Model, Pengacara
* Status: Berkahwin
* Suami: Muhammad Ali @ Steven Shorthose
* Filem: No Problem, Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II, Mr Cinderella 2, Tujuh Perhentian, Waris Jari Hantu, Anak Halal, 1957: Hati Malaya, Duyung, Punggok Rindukan Bulan, Pisau Cukur
* Album: Erti Cinta, Bukan Qalamaya
* Pencapaian: Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2001 (ABPBH2001); Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun (2004); Pelakon Terbaik Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol (2005); Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2005; Aktres Filem Pilihan Anugerah Oskar Ke-6; Pelakon Wanita Terbaik FFM21.
INFO: Fazura
* Nama: Nur Fazura Sharifuddin
* Tarikh Lahir: 27 September 1983
* Tempat Lahir: Pekan, Pahang
* Profesion: Pelakon, Pengacara, Model
* Status: Bujang
* Filem: Bicara Hati, Senario XX, Qaisy & Laila, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta, Kantoi, Pisau Cukur
* Pencapaian: Pelakon Harapan Terbaik FFM17 |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|