BAB 6
LISA melangkah berhati-hati masuk ke balai polis. Tadi dia terima mesej dari Imran. Lelaki itu tidak dapat menemaninya ke situ. Tak apalah..mungkin Imran juga banyak kerja di pejabat. Langkahnya diatur perlahan. Dia menuju ke meja depan sebaik melangkah ke ruang pejabat polis itu yang agak luas. Di situ dia menyatakan tujuannya ke situ.
“Cik Lisa duduklah dulu.Nanti saya panggil.” Seorang pegawai polis perempuan menyuruh Lisa ambil tempat duduk sementara menunggu gilirannya disoal.
Sesekali Lisa melihat sekeliling.Mukanya mula pucat. Inilah pertama kali dalam hidupnya dipanggil untuk soalsiasat. Semalam giliran Amri. Sebelum itu, dia hanya memberi keterangan secara bertulis mengenai keputusan ujian yang dibuat ke atas nasi lemak.
“Cik Lisa, silakan!”
Lisa bangun dan berjalan mengikut pegawai polis itu ke sebuah bilik.
“Tuan, cik Lisa sudah bersedia.”Pegawai polis itu membuka pintu dan mengarahkan Lisa supaya masuk ke bilik.
Lisa senyum dan terus mengatur langkah masuk ke bilik soal siasat. Langkahnya terhenti. Kaget. Matanya tepat memandang ke arah lelaki yang duduk di penjuru meja panjang. Matanya beralih pula ke arah seorang gadis yang cukup dikenalinya.
“Cik Lisa, sila duduk.” Seorang pegawai polis berpangkat inspektor senyum kepadanya.
Lisa angguk. Dijeling sekilas tag nama di baju pegawai polis itu. Inspektor Hashim. Matanya beralih pula pada dua orang yang masih diam. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain.
"Awak Lisa Hani binti Sabri?" Inspektor Hashim mula menyoal.
"Ya saya." Lisa menjawab ringkas. Dia masih pucat. Tuturnya agak kelam kabut.
"Kerja di mana?"
"Saya kerja di makmal ALK Sdn Bhd."
Inspektor Hashim angguk-angguk dan mencatat sesuatu di atas kertas.
“Cik Lisa kenal mangsa?” Inspektor Hashim mula menyoal topik sebenar.
Lisa cuma angguk.
“Berapa lama cik Lisa kenal?”
“Sejak di universiti..maksud saya sudah lebih lima tahun.” Lisa jeling pada gadis yang merenung tajam ke arahnya.
“Selama cik Lisa kenal dengan mangsa,apakah ciri yang dapat cik Lisa beritahu mengenai mangsa?”
“Maksud encik? Karakter Ashraf?” Lisa mula bingung dengan soalan yang diaju.
“Ya!”
“Apa yang saya tahu, Ashraf seorang yang periang, suka bergaul dan ramai kawan.” Lisa jeling lagi pada gadis itu.Muka gadis itu sudah mula berubah merah.
“Apa hubungan cik Lisa dengan mangsa?”
Lisa mendongak ke arah pegawai polis yang berkumis nipis. Ada tahi lalat di tepi bibir. Eh! Sama pula tahi lalat polis ni..Seketika kemudian dia tersedar bila polis itu mula berdehem.
“Kawan biasa..” Lisa cepat-cepat tunduk. Rona mukanya sudah merah. Malunya! Macam mana aku boleh tiba-tiba senyum kat polis tu! Adoi!! Dia jeling pula lelaki di hujung meja. Masam mencuka!
“Bila kali terakhir cik Lisa jumpa dengan mangsa?”
“Err..tak pasti..saya rasa tiga minggu lepas. Itu pun secara tak sengaja.” Lisa mula mengingat kembali pertemuannya dengan Ashraf di sebuah kedai buku di bandar K.
Lisa pandang pula lelaki di hujung meja lagi sekali. Wajah lelaki itu pula yang mula berubah. Ada riak cemburu.
“Apa hubungan cik Lisa dengan lelaki di sana?” Inspektor Hashim menuding ke arah lelaki di hujung meja.
“Err..dia..kawan saya juga..sama macam mangsa.” Lisa jeling sekilas.
“Kawan? Kawan macam mana tu?”
Lisa pandang Inspektor Hisham yang mula senyum.
“Err..dia..dia bakal tunang saya.” Lisa mula tunduk. Tidak berani memandang lelaki di hujung meja yang merenung tajam kepadanya.
“Apa pula hubungan cik Lisa dengan gadis di sana?” Kali ini Inspektor Hashim menuding pula ke arah gadis di sebelah lelaki di hujung meja tadi.
Lisa menoleh. “ Dia kawan sekolej saya.”
“Berapa lama cik Lisa kenal mereka?”
“Lima tahun lebih..” Lisa pandang pula Inspektor Hashim.
“Apa pula hubungan cik Lisa dengan Azran?”
“Azran…dia hanyalah kawan biasa. Saya tak berapa kenal sangat..saya hanya kenal dia sebagai abang kepada gadis itu.”Lisa tuding ke arah gadis di sebelah lelaki di hujung meja.
“Pernah keluar berdua dengan Azran?”
Lisa pantas mendongak. Matanya luas memandang Inspektor Hashim yang selamba bertanya soalan itu.
“Keluar dengan Azran?” Lisa mula terkejut. Seingatnya dia keluar beramai-ramai dengan Azura, Azran, Imran dan Ashraf pada malam terakhir di universiti dulu sebaik mereka habis peperiksaan akhir.
“Ya atau tidak?” Inspektor Hashim mula tegas.
“Ya tapi..” Lisa jeling lelaki di hujung meja.
“Bermakna cik Lisa juga pernah keluar dengan abang gadis itu?” Inspektor Hashim berdiri di depan Lisa. Dari tadi dia asyik mundar-mandir di depannya.
“Ya tapi kami keluar beramai-ramai.”Lisa cuba betulkan keadaaan.
“Termasuk mangsa?”
Lisa angguk.
“Kami difahamkan cik Lisa seorang ahli mikrobiologi. Boleh cik Lisa terangkan macam mana bakteria bahaya dikendali?”
Lisa mula gelisah. Baru dua hari lepas dia memberi keterangan bertulis kepada pihak polis. Hatinya mula gelisah. Entah-entah dia syak aku yang racun Ashraf!Argghh!!!
“Kami kena memohon dari pihak berkuasa sebelum membeli sebarang bakteria bahaya dari pembekal.”
Inspektor Hashim angguk. “Berapa lama proses itu diambil untuk mendapatkan bakteria bahaya itu?”
“Terpulang pada stok sedia ada.Selalunya dalam masa seminggu sudah dapat tapi kalau stok tak ada, akan ambil masa selama sebulan atau lebih.” Lisa penuh yakin menjawab.
“Macam mana cik Lisa kendali bakteria itu bila sudah terima?”
Lisa senyum hambar. Huh! Macam auditor pulak polis ni! Semua nak tahu! Teringat setiap tahun makmalnya akan diaudit mengenai kualiti dan kecekapan pekerja menjalankan analisis. Itulah antara soalan popular yang selalu ditanya oleh auditor.
“Saya akan catat segala butir keterangan mengenai bakteria itu di dalam buku khas untuk kultur bakteria.Kemudian bakteria itu akan disimpan dalam bahagian beku di dalam peti sejuk sebelum di harvest. Maksud saya, bakteria tu, kena dibiakkan dalam medium yang sesuai dan dibuat dalam keadaan aseptik iaitu bebas dari sebarang kuman di persekitaran. Kami guna Biosafety Cabinet Class II untuk semua bakteria bahaya.” Sekali lagi Lisa menjawab dengan penuh yakin.
“Okey…maknanya bakteria itu dikawalselia dengan baik dan teratur mengikut prosedur ISO?”
Lisa angguk sambil senyum. Pandai juga polis ni….punyalah panjang lebar aku terang kat dia..bisiknya sendiri.
“Hmm..mangsa didapati diracun dengan bakteria bahaya. Jadi ada kemungkinan ia datang dari makmal cik Lisa?”
Lisa terkejut. Dahinya mula berpeluh. Apa aku nak jawab ni…aduiiii!!!
“Tak mungkin tuan. Bakteria itu disimpan di tempat selamat dan ditandakan dengan simbol biohazard. Maksud saya hanya pihak berkenaan saja dibenarkan kendalikan bakteria itu. Dalam makmal saya, hanya saya dan seorang lagi microbiologist dibenarkan mengendalikan bakteria tersebut.” Lisa mengurut dada.
“Hmm…” Inspektor Hashim mengusap kumis nipisnya. Sesekali dia jeling Lisa yang masih memandangnya. Senyum.
“Dari keputusan bahan bukti, seratus peratus bakteria yang dikesan adalah dari jenis…jenis Vibrio cholerae strain 01…maknanya kemungkinan bakteria ini diseludup atau dicuri dari suatu tempat adalah tinggi.” Inspektor Hashim belek laporan ujian makmal.
Lisa hanya diam. Terasa dirinya akan disalahkan kerana makmalnya adalah salah satu makmal yang dibenarkan pihak berkuasa untuk membeli kultur bakteria bahaya itu. Dahinya semakin berpeluh. Riak mukanya mula gelisah dan pucat. Wait! Aku tak buat apa-apa kesalahan! Buat apa aku nak takut! Lisa..kau mesti yakin!! Hatinya berperang sendiri.
“Jadi di sini..cik Lisa mungkin orang ke tiga dalam senarai suspek kami.”
Lisa mula pucat. Senarai suspek? Siapa lagi yang jadi suspek? Kala itu terasa seperti berada di dunia lain. Dia pandang gadis dan lelaki di hujung meja. Masing-masing tunduk.
“Tapi tuan..saya ada alibi untukmembuktikan yang saya tak bersalah. Hari kematian mangsa, saya berada di makmal.” Lisa mula berani pertahankan diri.
“Saya tak kata cik Lisa ni bersalah.Jangan salah faham.” Inspektor Hashim mula senyum. Pucat juga muka budak ni..
“Baiklah! Cik Lisa boleh pergi. Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan tadi”
Lisa terus bangun dan segera beredar dari situ. Sempat dia jeling kepada lelaki dan gadis yang masih diam di situ sebelum keluar dari bilik itu. Kakinya laju melangkah ke arah kereta. Cepat-cepat dia masuk ke dalam kereta. Badannya disandarkan pada kerusi.
Ya Allah! Mengapa aku pulak termasuk dalam senarai suspek? Mengapa Imran dan Zura disoal sama? Sejak bila Imran berbaik dengan Ashraf? Siapa pulak suspek ke empat? Abang Zura???
Bermacam-macam soalan mula menerjah benaknya. Enjin kereta dihidupkan dan terus dia memandu laju menyusuri jalan yang penuh sesak.
Last edited by Ipo on 22-6-2014 09:04 PM
|