https://www.muftiwp.gov.my/ms/ar ... na-berbeza-pendapat
Terdapat tiga kaedah penting yang perlu difahami terlebih dahulu dalam memahami isu kafir mengkafir. Pertama: Sesiapa yang tidak mengkafirkan orang yang kafir, maka ia kafir. Bermaksud seseorang boleh tergelincir akidahnya jika tidak memperakui bahawa golongan yang dikafirkan dengan nas syarak seperti penganut agama Kristian, Yahudi, Ateisme dan lain-lain itu kafir. (Lihat Al-Ibtal li Nazariyyah al-Khalt Bayn Din al-Islam wa Ghayrih min al-Adyan, 94) Kedua: Sesiapa yang menuduh seseorang yang tidak kafir itu kafir, maka kafir itu berbalik kepada dirinya. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ، فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا Maksudnya: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya: Wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” Riwayat al-Bukhari (6104) dan Muslim (111). Berdasarkan hadith tersebut, al-Isfirayini mengatakan sesiapa yang membid’ahkan orang yang tidak bid’ah, menyesatkan orang yang tidak sesat atau mengkafirkan orang yang tidak kafir, maka hukum tersebut akan kembali kepadanya. (Lihat Al-Tabsir fi al-Din, 180) Ketiga: Kesilapan dalam membiarkan orang yang jatuh kafir itu hidup lebih ringan berbanding kesilapan menumpahkan darah seorang muslim. Imam al-Ghazali mengatakan ramai orang dengan mudah menjatuhkan kafir terhadap golongan yang tersilap dalam berijtihad sedangkan mereka itu bukan termasuk dalam golongan yang mendustakan Rasulullah SAW. Pengkafiran itu berlaku kebanyakannya berpunca daripada kefanatikan dan sikap taksub. Sedangkan tidak sabit pengkafiran terhadap golongan yang tersilap dalam mentakwil, kerana ‘ismah (keterpeliharaan) darah seseorang muslim adalah muktamad berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari (25): أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلاَةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إِلَّا بِحَقِّ الإِسْلاَمِ Maksudnya: “Aku diperintah untuk memerangi manusia sehingga dia mengucapkan, tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah, Muhammad itu Rasulullah, apabila mereka mengucapkannya, maka terpeliharalah daripadaku darah dan harta mereka kecuali dengan hak Islam (syarak).” (Lihat Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, hlm. 270) Termasuk di bawah kaedah ini juga apa yang dinukilkan oleh Zarruq daripada Ibn Furak bahawa: الغلط في إدخال ألف كافر بشبهة الإسلام خير من الغلط في إخراج مسلم واحد بشبهة كفر Maksudnya: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Lihat Qawa’id al-Tasawwuf, hlm. 31 Kaedah 85)
|