Seorang laksamana tentera laut tampil menjelaskan bahawa kononnya pelancaran kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut pada 2017 dilaksanakan untuk menipu dan menggelirukan rakyat adalah tidak benar.
Sebaliknya, panglima tentera laut ke-16, Laksamana Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap dibina sepenuhnya adalah amalan dan tradisi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Ia telah diamalkan sejak sekian lama. Bukan pertama kali di Lumut pada tahun 2017.
“Malah, ini juga amalan biasa di negara-negara lain,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikongsi di laman Facebook.
Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, dia terpanggil untuk memberi fakta sebenar supaya rakyat tidak terus keliru dengan kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking.
“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar.
“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk mast yang dikatakan palsu.
“Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) sebelum ini. Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengelirukan orang ramai,” katanya sambil menjelaskan dirinya hadir pada upacara berkenaan.