Edited by love_warrior at 9-1-2019 08:00 AM
Dengan lagu pun perpaduan boleh diperkemas
Nur Fazura Sharifuddin yakin kebolehan dua anak Melayu menyanyikan lagu Tamil untuk filem terbaru Rajinikanth boleh menjadi langkah positif memupuk perpaduan dan keharmonian negara. Bagi penyanyi dan pelakon itu, bakat diketengahkan Mu’adz Dzulkefly dan Azwan Ibrahim yang menyampaikan Ullala sebagai lagu untuk filem Petta dapat mengukuhkan persefahaman masyarakat berbilang bangsa di negara ini. “Saya dapati memang ramai penyanyi Malaysia boleh menyanyikan lagu Inggeris, tapi untuk penyanyi Melayu menyanyikan lagu Tamil, itu mungkin jarang berlaku. “Pada masa sama di media sosial banyak isu perkauman ditimbulkan, dengan dakwaan kita (orang Melayu) tak sokong budaya kau lain, namun melalui Petta ia menunjukkan realiti sebaliknya,” katanya. Fazura ditemui pada majlis pengumuman Petta di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini. Dia dijemput menjadi tetamu undangan bagi tujuan membantu mempromosi filem tersebut. Fazura yang mengagumi keupayaan Mu’adz dan Azwan menyampaikan lagu dalam versi Tamil berkata dia juga memasang impian untuk menyanyikan lagu dalam bahasa lain suatu hari nanti. Potensi Mu'adz dan Azwan menyampaikan lagu bahasa Tamil mula dikesan selepas mereka mempersembahkan lagu Azhagu melalui Salaam - sebuah kumpulan ditubuhkan untuk projek nasyid - yang menggunakan bahasa Tamil sebagai medium dakwah.
|