|
|
Sabah Electricity laksana CSR, beri sumbangan kepada media
Januari 20, 2026, Selasa - 5:01pm

KENANGAN: Lisa (enam kiri) merakamkan kenangan bergambar bersama jemputan media yang hadir pada majlis itu. Turut kelihatan Lichong (empat kiri).
KOTA KINABALU: Seramai 10 penerima yang mewakili media di negeri ini menerima sumbangan atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sabah Electricity dalam membantu meringankan beban para petugas media yang terlibat.
Ketua Pegawai Perhubungan Korporat Sabah Electricity, Lisa Wan Siew Han berkata, sumbangan CSR itu selaras dengan komitmen pihaknya dalam memperkasa kesejahteraan rakyat Sabah.
Katanya, melalui inisiatif seperti itu, ia bukan sahaja memberi sumber tenaga kepada sesebuah rumah, malah menyumbang harapan dan sokongan kepada masyarakat.
"Sabah Electricity amat berterima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus daripada pihak media.
"Liputan anda dalam setiap acara kami, khususnya ketika krisis, telah membantu menyampaikan maklumat dengan tepat dan telus.
"Kerajaan negeri sendiri memuji peranan media dalam memastikan rakyat mendapat keyakinan dan kejelasan. Justeru, kami amat menghargai usaha para petugas media," katanya pada majlis Makan Tengah Hari Sabah Electricity Bersama Media di sini hari ini.

SUMBANGAN: Penerima sumbangan dan wakil menerima simbolik penyerahan sumbangan daripada Lisa (empat kiri) bersama pegawai Sabah Electricity.
Dalam pada itu beliau berkata, 2026 akan menjadi tahun yang penuh dengan projek berimpak tinggi bagi Sabah Electricity.
Menurutnya, projek-projek berkenaan bukan sahaja penting untuk pembangunan tenaga di Sabah, tetapi juga akan menjadi detik penting kepada media dalam membuat liputan dan penceritaan.
"Projek ini juga akan menjadi peristiwa penting ke arah pertumbuhan mampan Sabah Electricity.
"Justeru, kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan pihak media untuk menyampaikan informasi bermanfaat kepada orang ramai," katanya.
Lisa berkata, pencapaian Sabah Electricity beberapa tahun kebelakangan ini berjaya mencapai sumbangan sehingga RM5.2 juta melalui pelaksanaan pelbagai projek.
Beliau berkata, ia termasuklah inisiatif pembangunan komuniti, sokongan pendidikan, bantuan kebajikan dan perlindungan alam sekitar.
Sehubungan itu katanya, majlis bersama media itu turut meraikan aspek kepercayaan, perkongsian dan tanggungjawab bersama.
"Kami berharap hubungan strategik ini akan terus diperkukuh, agar kita dapat menyampaikan maklumat yang tepat dan seimbang kepada rakyat," jelasnya.
Pada majlis itu, 10 wakil media menerima sumbangan termasuk John Tambanan, Faizal Pakanna Ahmad, Jeremy Zabala, Soon Kim Lin, Tsen Yin Chin, Stefyanie Myla Michael, David Shia, Cynthia D. Baga, Joseph Bingkasan, dan Barnard Yaang.
Turut hadir, Ketua Pengarang Utusan Borneo Datuk Lichong Angkui dan Naib Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Ricardo Unto.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Hajiji ingatkan PPM laksana tugas dengan penuh integriti
Januari 20, 2026, Selasa - 5:28pm

INTEGRITI: Hajiji (duduk tengah) bersama menteri Kabinet Negeri dan PPM yang mengangkat sumpah fasa kedua pada majlis itu di Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diingatkan supaya menjalankan tugas dengan penuh integriti kerana mereka mewakili kerajaan negeri di kawasan masing-masing.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang khususnya, memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
"Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar.
"Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Fasa Kedua 35 PPM di Menara Kinabalu, disini hari ini.
Terdahulu pada 13 Januari lepas, seramai 45 PPM mengangkat sumpah jawatan bagi fasa pertama dan fasa kedua ini, kebanyakan PPM yang mengangkat sumpah akan berkhidmat di kawasan pembangkang.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan para PPM yang dilantik supaya terus menjaga imej kerajaan.
"Jangan lakukan perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka.
"Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.
Beliau menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Turut hadir ialah menteri-menteri Kabinet Negeri dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Nazri rayu peladang Kinabatangan, Lamag sokong BN pada PRK
Januari 21, 2026, Rabu - 6:19am

NAZRI
KINABATANGAN: Semua ahli peladang di Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di minta supaya memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 24 Januari ini.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata sokongan itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan sektor pertanian di kawasan ini.
Katanya, kebajikan peladang juga terus terpelihara menerusi wakil rakyat yang berpengalaman dan memahami keperluan di peringkat akar umbi.
“Calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar dan DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob, mempunyai latar belakang serta komitmen jelas memperjuangkan kepentingan peladang dan masyarakat luar bandar.
“Saya merayu semua ahli peladang agar keluar mengundi dan memilih calon BN demi kestabilan politik serta kelangsungan pembangunan pertanian di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Nazri merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas sokongan kepada calon BN di Kinabatangan dan DUN Lamag.
Nazri menegaskan, penyertaan aktif ahli peladang dalam proses demokrasi bukan sahaja menentukan wakil rakyat yang dipilih, malah memberi isyarat jelas bahawa komuniti peladang mahukan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan benar-benar membela kepentingan mereka.
“Undi peladang amat penting dalam menentukan masa depan kepimpinan serta hala tuju pembangunan pertanian di Kinabatangan dan Lamag,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Mohd Kurniawan Naim (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Sementara itu, PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak Metro timba pengalaman daripada Prasarana
Januari 20, 2026, Selasa - 2:40pm
Kakitangan, perantis sertai program penempatan bagi tingkat kecekapan teknikal, kesiapsiagaan operasi

Pasukan Sarawak Metro bergambar bersama Zaki (duduk, tengah) pada majlis penutupan program penempatan di Prasarana.
KUCHING: Seramai 18 kakitangan dan perantis Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) baru-baru ini telah menyertai program penempatan bersama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Selangor bagi meningkatkan kecekapan teknikal serta kesiapsiagaan operasi.
Program berkenaan menurut kenyataannya semalam, melibatkan kakitangan Sarawak Metro serta perantis Program Bakat Muda (YTP) yang ditempatkan di bawah Unit Pembelajaran dan Budaya Prasarana serta Prasarana Bus Academy.
“Perantis YTP merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Peningkatan Sosioekonomi (SEED) Sarawak Metro yang bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran untuk mengendalikan dan menyelenggara Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
“Mereka diwajibkan menjalani latihan perantisan selama 24 bulan sebelum diserap sebagai kakitangan sepenuh masa Sarawak Metro,” katanya.
Program penempatan selama 10 hari itu bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman praktikal kepada para peserta sebagai persediaan menjelang permulaan operasi KUTS pada tahun ini.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, seramai 11 orang ditempatkan bersama pasukan Rapid Rail Laluan Ampang Prasarana bagi memperoleh pengalaman operasi dalam persekitaran ‘Grade of Automation 2’.
Baki peserta pula menjalani latihan di Prasarana Bus Academy yang memberi tumpuan kepada amalan terbaik operasi armada bas, penyelenggaraan pencegahan, pengurusan depoh serta penyampaian perkhidmatan kepada penumpang.
Bagi Sarawak Metro, program itu berjaya meningkatkan kecekapan teknikal, memperkukuh budaya keselamatan dan kebolehpercayaan serta membolehkan penandaarasan proses operasi dengan pengendali pengangkutan awam yang lebih berpengalaman.
Program penempatan tersebut berakhir pada 24 Disember 2025 dan disempurnakan dengan majlis penutupan di ibu pejabat Prasarana di Ara Damansara.
Pada majlis berkenaan, Ketua Pembelajaran dan Pembangunan Prasarana Zaki Mohamad, menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa menegaskan, kepentingan pendedahan sedemikian khususnya bersama pengendali pengangkutan awam yang mapan seperti Prasarana.
“Ketika kami membuat persiapan ke arah permulaan perkhidmatan Autonomous Rapid Transit (ART) yang dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini, adalah amat penting untuk memastikan kakitangan kami benar-benar bersedia.
“Pengalaman operasi secara langsung merupakan elemen penting dalam usaha kesiapsiagaan kami,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Prasarana kerana memberi peluang berharga tersebut kepada pasukan Sarawak Metro.
Mazli turut menjelaskan bahawa Sarawak Metro berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan pengendali pengangkutan awam lain di peringkat serantau bagi melaksanakan program penempatan yang sama pada masa depan.
“Kami akan terus mempersiapkan kakitangan kami, termasuk melalui program penempatan bersama pengendali pengangkutan awam lain di rantau ini bagi memperluas pendedahan serta meningkatkan pengetahuan praktikal dan pengalaman operasi mereka,” tambahnya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Rumah kosong hangus terbakar di Kampung Riam Jaya
Januari 20, 2026, Selasa - 3:04pm
MIRI: Sebuah rumah di Kampung Riam Jaya, di sini musnah dalam kebakaran pada Isnin namun tiada sebarang kecederaan atau kematian dilaporkan memandangkan rumah tersebut ditinggalkan kosong.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.40 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian di Jalan Airport Kampung Riam Jaya.
Setibanya di lokasi yang sejauh sembilan kilometer dari balai, Komander Operasi memaklumkan rumah tinggal berkeluasan 30 x 80 kaki jenis tidak kekal itu telah terbakar 80 peratus.
“Setelah membuat penilaian semasa, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terus bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Insiden tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa memandangkan rumah tersebut merupakan rumah tinggal dan tidak berpenghuni,” katanya.
Turut berada di lokasi ialah Pegawai Penyiasat Kebakaran JBPM Zon 6 Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal dan Komander Operasi Kanan yang juga Ketua BBP Miri Sentral Bonny Martin Saging Mato.
Seramai 14 anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan dua jentera FRT, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua pikap.
Operasi pemadaman dan pemeriksaan keselamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.50 petang sebelum pasukan bomba beredar dari lokasi kejadian setelah keadaan disahkan selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
21 didakwa susulan 59 operasi khas polis Sibu pada 2025
Januari 20, 2026, Selasa - 3:21pm

Zulkipli menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota polis sempena Perhimpunan Bulanan IPD Sibu hari ini sebagai pengiktirafan terhadap prestasi serta komitmen perkhidmatan.
SIBU: Seramai 21 individu telah didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 susulan pelaksanaan 59 operasi khas oleh polis sepanjang tahun 2025 bagi membanteras aktiviti lumba haram yang turut menyaksikan sebanyak 240 motosikal disita dan 1,607 saman dikeluarkan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, tindakan tegas itu dilaksanakan bagi mengekang kegiatan berbahaya yang bukan sahaja melanggar undang-undang malah mengancam keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam.
“Isu lumba haram bukan sekadar satu kesalahan trafik sebaliknya berisiko tinggi menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di Padang Kawad IPD Sibu, di sini, hari ini.

Zulkipli menyematkan pangkat kepada pegawai polis semasa Perhimpunan Bulanan IPD Sibu, hari ini.
Zulkipli turut menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih proaktif dalam memantau pergerakan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dengan gejala sosial berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa jenayah komersial khususnya kes penipuan atau scam terus mencatatkan kerugian besar apabila jumlah keseluruhan kerugian direkodkan sebanyak RM20.34 juta sepanjang tahun 2025.
Menurutnya, kerugian tertinggi melibatkan penipuan pelaburan dengan jumlah RM9.55 juta, diikuti kes penipuan pembelian dalam talian serta tawaran pekerjaan tidak wujud.
“Situasi ini merupakan satu isyarat amaran yang serius.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan membuat semakan terperinci sebelum terlibat dalam sebarang urusan kewangan,” katanya.
Mengulas prestasi keselamatan daerah Zulkipli berkata, jenayah indeks di Sibu mencatatkan penurunan ketara sebanyak 36.44 peratus, daripada 697 kes pada 2024 kepada 443 kes pada 2025.
Katanya, penurunan itu melibatkan jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan jenayah terancang hasil penguatkuasaan berterusan, selain peningkatan kualiti siasatan dan risikan oleh pihak polis.
Dalam pada itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sibu merekodkan sebanyak 1,471 tangkapan sepanjang 2025 berbanding 1,103 tangkapan pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, seramai 1,040 individu dikenal pasti sebagai penagih dadah, manakala nilai rampasan dadah turut meningkat kepada RM924,764 berbanding RM175,946 pada 2024.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen serta kesungguhan warga IPD Sibu dalam membanteras jenayah demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua premis makanan kotor di Bintulu diarah tutup dua minggu
Januari 20, 2026, Selasa - 3:27pm

Keadaan dapur dan tempat penyediaan makanan yang kotor dalam salah sebuah premis yang diarah tutup selama 14 hari bermula semalam.
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bertindak mengarahkan dua premis makanan di bahagian ini ditutup kerana didapati berada dalam keadaan kotor serta tidak memenuhi spesifikasi kebersihan yang ditetapkan.
Menurut BDA, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kedua-dua premis masing-masing di Parkcity Commercial Square dan Sungai Plan Commercial Centre menemukan najis tikus dan tikus berkeliaran.
Justeru, pemeriksaan yang dijalankan BDA melalui Seksyen Kesihatan Awam dan Environmen (PHE) mengarahkan kedua-dua premis makanan itu ditutup selama 14 hari bermula semalam hinggga 1 Februari depan bagi memberi peluang pemilik premis menjalankan kerja-kerja pembersihan.
"Tahap kebersihan premis didapati sangat tidak memuaskan yang mana dilihat boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan awam khususnya pengunjung yang datang menjamu selera di situ," jelasnya.
Sehubungan itu jelasnya, tindakan menutup premis selama 14 hari itu memberikan peluang kepada pemiliknya membersihkan premis makanan berkenaan dan hanya akan dibenarkan beroperasi sekiranya memenuhi tahap spesifikasi kebersihan yang ditetapkan.
"Semuanya bagaimanapun tertakluk kepada pemeriksaan dan kelulusan daripada pihak berkuasa," tambahnya.
BDA pada masa sama katanya, amat memandang serius akan isu kebersihan premis makanan dan akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebersihan tempat makan dan penyedia makanan premis makann di bahagian ini terus terpelihara.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Idris tinjau keadaan penduduk Kampung Sungai Mata terjejas bekalan air
Januari 20, 2026, Selasa - 3:59pm

Idris (kanan) mendengar rintihan salah seorang penduduk kampung semalam.
KOTA SAMARAHAN: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Dato Idris Buang turun padang bagi meninjau sendiri permasalahan berkaitan gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Mata di sini, semalam.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang mengadakan lawatan itu untuk mendapatkan maklumat secara langsung daripada penduduk kampung mengenai situasi sebenar di lapangan, selain mendengar rungutan serta cadangan berhubung isu bekalan air yang telah berlarutan.
“Bekalan air merupakan keperluan asas rakyat. Oleh itu, saya hadir sendiri ke Kampung Sungai Mata bagi melihat keadaan sebenar serta mendengar pandangan penduduk supaya langkah penyelesaian yang diambil nanti lebih berkesan dan bersesuaian dengan keperluan setempat,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Pada sesi pertemuan tersebut, penduduk membangkitkan beberapa isu utama antaranya tekanan air yang rendah, gangguan bekalan secara berkala serta kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terutama pada waktu puncak.
Situasi itu bukan sahaja menyukarkan urusan harian penduduk, malah turut memberi kesan terhadap aspek kebersihan, kesihatan serta aktiviti ekonomi berskala kecil di kampung berkenaan.
Idris turut memaklumkan bahawa semua maklum balas yang diterima akan dibawa ke perhatian pihak berkuasa bekalan air serta agensi teknikal berkaitan untuk tindakan lanjut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa isu tersebut akan terus dipantau sehingga penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan.
Lawatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan wakil rakyat terhadap kebajikan penduduk, selaras dengan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kemudahan asas, khususnya bekalan air bersih, dapat disalurkan secara berterusan dan saksama kepada rakyat.
Penduduk Kampung Sungai Mata turut menyatakan rasa gembira dengan kehadiran Idris untuk mendengar sendiri permasalahan mereka, sekali gus menaruh harapan agar isu bekalan air yang dihadapi dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lori pembancuh simen musnah terbakar, pemandu terselamat
Januari 20, 2026, Selasa - 4:43pm
SIBU: Seorang pemandu terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas sebuah lori pembancuh simen terbakar hampir 90 peratus dalam kejadian di Jalan Bahagia 3, Teku di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.10 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah lori pembancuh simen sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki bersama satu nozel dengan sumber air terbuka dan berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.55 petang.
Pemandu lori berkenaan yang berumur 60 tahun disahkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, selain tiada mangsa lain dilaporkan.
Seramai 14 anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan logistik melibatkan sebuah jentera FRT, sebuah CFRT dan sebuah kenderaan EMRS.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jamit tinjau kawasan hakisan tanah di Jalan Hill Top Kapit
Januari 20, 2026, Selasa - 4:49pm

Jamit (tiga kiri) bersama yang lain memeriksa kawasan hakisan tanah di Jalan Hill Top.
KAPIT: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Istiadat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat telah meninjau kawasan hakisan tanah di Jalan Hill Top di sini, baru-baru ini.
Menurut Jamit, tinjauan di kawasan berhampiran persimpangan Jalan Puan Sri Tiong dan Jalan Hill Top itu bertujuan mengenal pasti tahap kerosakan akibat hakisan terhadap jalan raya di situ.
"Hakisan tanah telah berlaku sebelum ini dan kini berdepan dengan bahaya kerosakan selanjutnya pada permukaan jalan kerana rekahan pada permukaan jalan kini jelas kelihatan.
"Saya merayu kepada agensi berkaitan terutama Majlis Daerah Kapit untuk mengambil langkah segera bagi menentukan bahagian jalan yang terjejas akibat hakisan tanah ini," ujarnya kepada pemberita.
Jamit berkata, langkah segera perlu diambil kerana kesesakan lalu lintas dari Jalan Puan Sri Tiong yang menuju ke pusat bandar terutama di Jalan Hill Top.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram itu turut mengingatkan agensi berkaitan agar memasang papan tanda atau notis yang jelas bagi memaklumkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa menghampiri tapak tersebut.
"Sementara menunggu kontraktor menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan, pihak berkaitan perlu memasang papan tanda atau notis yang jelas bagi mengingatkan orang ramai," jelasnya.
Beliau menambah, keselamatan semua pihak harus menjadi keutamaan dan agensi berkaitan mesti proaktif ketika musim hujan dengan meronda dan memeriksa keadaan jalan bagi memastikan keadaan sentiasa selamat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
MRP berjumlah RM581,500 untuk 48 penerima di kawasan Beluru
Januari 20, 2026, Selasa - 5:06pm

Penguang menyampaikan ucapan di hadapan ketua-ketua kaum dan wakil penerima geran dari kawasan Beluru.
MIRI: Sebanyak RM581,500 diperuntukkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (MRP) bagi memberi manfaat kepada 48 penerima melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), biro wanita, rumah-rumah panjang, institusi keagamaan serta sebuah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Beluru.
Sumbangan tersebut disampaikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil pada majlis penyerahan cek di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Marudi bagi Cawangan Beluru baru-baru ini.
Peruntukan itu merangkumi bantuan bagi pelaksanaan projek serta pengukuhan pengurusan JKKK, pemerkasaan biro wanita, selain sokongan kepada institusi keagamaan dan pendidikan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan komuniti luar bandar.
Dalam amanatnya, Penguang menegaskan kepentingan mengekalkan tahap integriti yang tinggi dalam pengurusan dana JKKK, selain memastikan setiap peruntukan digunakan secara telus dan berhemah untuk kepentingan bersama penduduk rumah panjang serta komuniti setempat.
Beliau turut mengingatkan penerima agar mengamalkan tadbir urus baik dan bertanggungjawab supaya setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak positif serta berpanjangan kepada pembangunan sosioekonomi kampung.
Selain itu, beliau menyeru penduduk kampung supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar dengan membuang sampah di tempat yang disediakan, mengasingkan bahan kitar semula serta sisa buangan dapur, di samping mengamalkan budaya gotong-royong membersihkan persekitaran kampung masing-masing.
“Pembangunan fizikal mesti seiring dengan kesedaran menjaga alam sekitar dan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya.
Majlis berkenaan disifatkan sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama antara pemimpin dan rakyat, sekali gus memastikan pembangunan di kawasan Beluru terus dilaksanakan secara inklusif dan mampan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Awang Tengah menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura
Januari 20, 2026, Selasa - 5:09pm

Awang Tengah (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Vanu Gopala (kiri) sambil disaksikan Lester (kanan) di pejabatnya di Kuching.
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat daripada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke pejabatnya, di sini, semalam.
Kunjungan hormat tersebut bertujuan membincangkan pelbagai perkara berkepentingan bersama antara Sarawak dan Singapura, termasuk perdagangan, ekonomi serta kerjasama tenaga hijau.
Kedua-dua pihak turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuhkan hubungan dua hala.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Datu Lester Matthew.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lebih RM40 juta untuk Program Penyukatan Tanah NCR
Januari 20, 2026, Selasa - 6:58pm

Awang Tengah menyampaikan Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hak Milik Tanah pada Majlis Pecah Tanah SPK Tellian Tengah (Fasa 1) di Kompleks CENTEXS Mukah, hari ini.
MUKAH: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan lebih RM40 juta bagi melaksanakan Program Penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 2010 sebagai usaha berterusan untuk menjamin pemilikan tanah yang sah serta terpelihara kepada rakyat negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, program berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan baharu secara dua peringkat, iaitu penyukatan secara berkelompok (peribadi) dan penyukatan secara individu, selaras dengan proses serta peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, penyertaan dalam program itu bermula dengan permohonan rasmi oleh pemilik tanah sebelum diselidiki dan diproses bagi kelulusan kerja-kerja penyukatan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri.
“Selepas kelulusan diberikan, Jabatan Tanah dan Survei akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak terlibat bagi membincangkan, berdialog dan menyelaraskan sempadan tanah, khususnya bagi kawasan yang melibatkan keluasan besar atau sempadan yang kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah (Fasa 1), Mukah serta penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Serba Guna Kompleks CENTEXS Mukah, hari ini.
Awang Tengah berkata, sebaik kerja-kerja penyukatan secara berkelompok diselesaikan, pewartaan di bawah Seksyen 6 akan dikeluarkan sebagai bukti sah pengiktirafan pemilikan tanah berkenaan.
Beliau menjelaskan, pemilik tanah seterusnya boleh memohon penyukatan secara individu dan selepas kelulusan diberikan, kerjasama pemohon diperlukan untuk hadir ke lapangan bagi menentukan sempadan tanah, khususnya di kawasan yang tidak jelas.
“Setelah penyukatan individu selesai, surat hak milik akan dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Awang Tengah menegaskan, semua kos berkaitan penyukatan serta pengeluaran surat hak milik ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan tanpa sebarang bayaran fi, premium tanah atau cukai tanah dikenakan kepada pemohon.
Menurut beliau, secara purata kerajaan membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun bagi melaksanakan program berkenaan dan bersedia menambah peruntukan sekiranya masih terdapat permintaan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program, Jabatan Tanah dan Survei turut menambah kekuatan tenaga kerja 367 pegawai, khususnya bagi memperkukuh pasukan ukur di lapangan.
Beliau berkata, setakat kini kerajaan telah berjaya menyukat kira-kira 1.2 juta hektar tanah NCR dan mewartakan lebih 900,000 hektar, iaitu pencapaian yang jauh lebih tinggi berbanding tempoh lebih 50 tahun sebelum 2010.
“Dari tahun 1960-an hingga 2010, kita hanya berjaya menyukat sekitar 260,000 hektar namun menerusi inisiatif baharu ini, pencapaian tersebut meningkat berkali ganda,” katanya.
Selain itu, Awang Tengah berkata kerajaan turut melaksanakan Program Penyukatan Kampung-Kampung Tradisi yang melibatkan kampung lama yang masih belum mempunyai surat hak milik, dengan keistimewaan milikan kekal tanpa bayaran premium atau cukai tanah.
Beliau berharap rakyat, khususnya ketua masyarakat dan jawatankuasa kampung dapat memanfaatkan peluang ini bagi memastikan jaminan pemilikan tanah yang sah untuk generasi akan datang, sambil menegaskan bahawa program berkenaan akan diteruskan selagi masih diperlukan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
42 SPK di Mukah bukti komitmen berterusan Kerajaan Sarawak
Januari 20, 2026, Selasa - 7:00pm

Awang Tengah bersama para penerima Surat Hak Milik Tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera pada Majlis Pecah Tanah SPK Tellian Tengah di CENTEXS Mukah hari ini.
MUKAH: Sebanyak 42 projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang dilaksanakan di bahagian Mukah setakat ini menjadi bukti jelas komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa kesejahteraan rakyat melalui penyediaan perumahan terancang serta kemudahan asas yang lebih selesa, khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan SPK antara inisiatif penting kerajaan negeri bagi memastikan rakyat memiliki tapak kediaman yang sah, selamat dan berdaya huni.
“Skim ini bukan sekadar menyediakan lot kediaman tetapi dilaksanakan secara terancang dengan penyediaan jalan, sistem perparitan serta bekalan air dan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SPK Tellian Tengah (Fasa 1), Mukah serta Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak di Dewan Serba Guna Kompleks CENTEXS Mukah, hari ini.
Menurut Awang Tengah, selain 42 projek SPK, kerajaan negeri turut melaksanakan 11 projek Skim Penempatan Semula (SPS) menjadikan keseluruhan 53 projek pembangunan perumahan dilaksanakan di bahagian Mukah setakat ini.
Katanya, projek-projek berkenaan melibatkan kawasan seperti Meleng, Dalat, Daro, Matu dan Tanjung Manis, dengan sebahagian daripadanya telah siap sepenuhnya manakala selebihnya masih dalam pelaksanaan.
“Spesifikasi pembangunan skim ini turut ditambah baik termasuk penggunaan parit konkrit, jalan berturap serta penyediaan kemudahan asas lengkap walaupun kos penyediaan satu lot boleh mencecah sehingga RM150,000,” katanya.
Bagi meringankan beban rakyat, Awang Tengah berkata kerajaan negeri telah menurunkan kadar premium tanah kepada hanya RM2,500 dan membenarkan bayaran dibuat secara ansuran.
Beliau turut menjelaskan pemilihan penerima skim dibuat oleh jawatankuasa komuniti di peringkat bahagian dan daerah bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat.
“Geran atau Lesen Pendudukan Sementara (TOL) yang diberikan tidak boleh dipindah milik atau dijual tanpa kelulusan, kecuali kepada ahli keluarga terdekat dengan kebenaran pihak berkuasa tanah,” katanya.
Awang Tengah berkata, bagi penerima TOL yang tidak berkemampuan membina rumah, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan termasuk Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak bersedia membantu melaksanakan pembinaan rumah mampu milik.
Selain itu katanya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan sehingga RM10,000 bagi bayaran deposit kepada mereka yang layak di bawah skim perumahan yang ditawarkan.
Mengulas mengenai penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18, Awang Tengah berkata langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjamin hak pemilikan tanah rakyat.
“Sejak 2010, lebih 1.2 juta hektar tanah telah berjaya diproses di seluruh Sarawak, termasuk hampir 130,000 hektar melalui pemberimilikan secara individu, dan hari ini penerima Seksyen 18 tidak perlu lagi membayar kos ukur, premium atau harga tanah,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pelaksanaan SPK dan SPS beri manfaat besar
Januari 20, 2026, Selasa - 7:07pm
Ia memberi manfaat besar kepada komuniti luar bandar dan golongan berpendapatan rendah: Awang Tengah

Awang Tengah (kiri) serta barisan tetamu kehormat setelah Majlis Rasmi Pecah Tanah SPK Tellian Tengah Fasa 1, hari ini.
“Skim ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakyat, di mana semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, ramai Ahli Yang Berhormat menyuarakan permohonan daripada kawasan masing-masing.”
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Timbalan Premier Sarawak
MUKAH: Kerajaan Sarawak terus komited memastikan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS) yang memberi manfaat besar kepada komuniti luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, setakat ini sebanyak kira-kira 53 projek telah dilaksanakan di bahagian Mukah, merangkumi 42 SPK dan 11 SPS.
“Skim ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakyat, di mana semasa persidangan Dewan Undangan Negeri, ramai Ahli Yang Berhormat menyuarakan permohonan daripada kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rasmi Pecah Tanah SPK Tellian Tengah Fasa 1 dan Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 serta surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan DUN Tellian di Dewan Serba Guna CENTEXS Mukah di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara kawasan yang terlibat adalah Balingian, Dalat, Daro, Matu dan Tanjung Manis.
Awang Tengah menjelaskan, bagi skim baharu termasuk Kampung Tellian, spesifikasi pembangunan telah dipertingkat dengan penyediaan tembok dan parit konkrit, jalan berturap serta bekalan air dan elektrik.
“Kos menyediakan satu lot boleh mencecah sekitar RM150,000, namun kerajaan negeri menurunkan premium kepada hanya RM2,500.
“Bayaran pula boleh dibuat secara ansuran bagi meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan hasil negeri hasil penstrukturan semula pendapatan membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat, khususnya dalam sektor perumahan.
“Selain SPK dan SPS, kerajaan turut menyediakan bantuan deposit perumahan sebanyak RM10,000 kepada pemohon yang layak melalui agensi berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, SPK Tellian Tengah Fasa 1 yang diperuntukkan sebanyak RM30 juta di bawah Projek Rakyat menjadi antara inisiatif penting Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pembangunan akar umbi di kawasan Tellian.
Katanya, kelulusan projek SPK tersebut telah diumumkan Awang Tengah dalam ucapan penggulungan kementerian semasa Persidangan DUN Sarawak empat tahun lalu.
“Projek SPK Tellian Tengah Fasa 1 dengan spesifikasi baharu ini merupakan projek pertama yang telah diluluskan dalam tahun pertama perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat di kawasan Tellian.
“Pelaksanaan projek ini membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak bukan sekadar merancang dasar, tetapi melaksanakannya hingga ke peringkat akar umbi yang menyentuh kehidupan sebenar rakyat,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh empat tahun persidangan DUN Sarawak, setiap isu berkaitan kementerian di bawah pimpinan Awang Tengah yang dibangkitkan, termasuk cadangan pengwujudan Skim Pembesaran Kampung, telah diberi perhatian dan dijawab dalam sesi penggulungan.
“Bermula daripada cadangan pengwujudan Skim Pembesaran Kampung, penyukatan tanah, sehinggalah kepada isu pendaftaran perniagaan dan keusahawanan, semuanya mendapat perhatian dan penjelasan yang teliti,” katanya.
Dalam pada itu, Royston menegaskan bahawa pelaksanaan projek SPK selari dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kesejahteraan rakyat, pembangunan wilayah yang seimbang serta keterangkuman sosial.
“Projek Skim Pembesaran Kampung dengan spesifikasi baharu yang lengkap dengan infrastruktur asas serta inisiatif pengukuran tanah dan pengeluaran hak milik tanah menyokong secara langsung agenda PCDS 2030.
“Ia memperkasakan komuniti tempatan, mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, mewujudkan asas kukuh kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta menjamin keadilan sosial dan kemakmuran bersama,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood serta Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah Dahari Anis.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Riot prihatin kebajikan rakyat Serian melalui pelaksanaan projek RTP
Januari 20, 2026, Selasa - 8:55pm

Lawatan serah tapak Projek RTP Naik Taraf Awah Gawai TAR Kampung Pichin RM150,000. Kelihatan Awang (tiga kanan) merakam kenangan bersama.
SERIAN: Keprihatinan Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem terhadap kebajikan dan pembangunan rakyat terus diterjemahkan melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di beberapa kampung sekitar kawasan Parlimen Serian.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Pusat Khidmat Parlimen Serian, satu sesi lawatan tapak dan serah projek RTP telah diadakan semalam, yang diwakili pegawai khas beliau iaitu Awang Landon.
Lawatan tersebut bertujuan memastikan projek-projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Antara projek yang terlibat adalah lawatan serah tapak Projek RTP menaik taraf Awah Gawai TAR Kampung Pichin dengan peruntukan sebanyak RM150,000, selain projek membina baharu bumbung Padang Futsal Kampung Darul Iman, Tebedu bernilai RM200,000.
Turut diadakan adalah lawatan serah tapak projek RTP menaik taraf dataran dan kawasan Gereja St David di Kampung Tong Nibong, Serian dengan kos RM150,000.
Selain itu, dua projek RTP yang telah siap turut diserahkan iaitu projek menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Bedup Sungai Buluh, Serian bernilai RM100,000 serta projek menaik taraf Dewan Serba Guna Kampung Hulu Serian dengan peruntukan RM150,000.
Kesemua projek itu memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan awam, prasarana komuniti serta ruang sosial penduduk kampung, selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.
Pelaksanaan projek-projek RTP berkenaan membuktikan komitmen berterusan beliau dalam melaksanakan tugas dan amanah sebagai wakil rakyat, di samping memastikan pembangunan yang inklusif dan seimbang untuk penduduk di kawasan Parlimen Serian.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penubuhan PIBU Beluru langkah strategik, signifikan perkasa komuniti luar bandar
Januari 20, 2026, Selasa - 8:59pm

Penguang memotong reben sebagai simbolik pelancaran Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Beluru. - Gambar SEDC
KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terus memperkukuh agenda pembangunan sosioekonomi luar bandar dengan pelancaran Pusat Inkubator dan Bimbingan Usahawan (PIBU) Beluru.
Ia sekali gus menyaksikan pelancaran Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Dr Penguang Manggil di Beluru, baru-baru ini.
Menurut kenyataan daripada SEDC, Penguang dalam ucapannya menyifatkan penubuhan PIBU Beluru sebagai satu langkah strategik dan signifikan dalam memperkasa komuniti luar bandar, khususnya dalam membangunkan potensi keusahawanan masyarakat setempat.
Menurut beliau, PIBU Beluru bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal, malah berperanan sebagai platform bimbingan, pusat rangkaian serta pemudah cara kepada usahawan dan bakal usahawan untuk berkembang secara mampan dan berdaya saing.
“PIBU Beluru akan berfungsi sebagai pusat sokongan keusahawanan dengan menyediakan alamat pendaftaran perniagaan, khidmat bimbingan dan nasihat serta hab rangkaian yang menghubungkan usahawan tempatan dengan agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif tersebut juga bertujuan memastikan lebih ramai usahawan tempatan berdaftar secara sah dan seterusnya mendapat akses kepada pelbagai bantuan, geran serta skim pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.
Tambahnya, penubuhan PIBU Beluru selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekonomi luar bandar berasaskan inovasi, keusahawanan dan ekonomi digital.
Seiring dengan itu, pelaksanaan Kursus Pembangunan Kontraktor dan Usahawan Berkualiti dan Berdaya Saing dilihat amat relevan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Ia khususnya dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran pengurusan, kecekapan kewangan serta tahap profesionalisme kontraktor dan usahawan tempatan.
“Kursus ini diharap dapat melahirkan lebih ramai kontraktor dan usahawan tempatan yang berupaya melaksanakan projek dengan berkesan, memenuhi standard kualiti serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Penguang turut menyatakan keyakinan bahawa PIBU Beluru mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan isi rumah, pembukaan peluang pekerjaan baharu
Beliau berkata ia khususnya kepada golongan belia, serta melahirkan usahawan tempatan yang mampu mengharumkan nama Beluru di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru semua peserta kursus, usahawan dan kontraktor memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan melalui PIBU Beluru serta terus berusaha, belajar dan berinovasi demi kemajuan bersama.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Menyemai Jiwa Muda Melalui Seni Kaligrafi pupuk minat terhadap seni, kraf
Januari 20, 2026, Selasa - 9:10pm

Wee bersama yang lain menyaksikan pelukis kaligrati cilik membuat demonstrasi seni kaligrafi. -Gambar Rosytein Emmor
KUCHING: Program Menyemai Jiwa Muda Melalui Seni Kaligrafi yang dilancarkan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) bertujuan memupuk minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf serta mengasah kreativiti dan keyakinan diri mereka.
Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, program itu menampilkan kaligrafi tulisan tangan pelajar sendiri dan memberi peluang kepada kanak-kanak belajar seni kaligrafi secara interaktif.
“Kaligrafi bukan sahaja tentang tulisan, tetapi juga melatih kesabaran, fokus dan kreativiti kanak-kanak selain mengekalkan nilai seni dan budaya dalam kehidupan mereka,” katanya ketika sidang media program berkenaan di MBKS di sini, hari ini.
Wee menjelaskan, salah satu aktiviti utama dalam program itu ialah projek Kuplet Tahun Baharu Cina MBKS dengan pelajar menghasilkan kaligrafi untuk dipamerkan semasa sambutan perayaan itu.
“Projek ini bukan sahaja menonjolkan kreativiti kanak-kanak bahkan menjadi sebahagian daripada pelan tindakan MBKS di bawah CFCI, yang menekankan pembelajaran berasaskan seni, penglibatan dalam aktiviti kebudayaan dan pembangunan keyakinan diri kanak-kanak.
“Malah melalui program ini juga, dapat belajar menulis dengan indah selain membina disiplin, kesabaran dan fokus dalam setiap aktiviti yang dijalankan,” ujarnya.

Wee bersama yang lain merakam kenangan dengan pelukis kaligrafi cilik sambil menunjukkan hasil karya mereka. -Gambar Rosytein Emmor
Di samping itu katanya, program itu memberi peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik belajar bersama-sama, sekali gus menyemai semangat perpaduan sejak usia muda.
“Melalui seni dan kraf, kanak-kanak belajar menghormati budaya berbeza, membina persahabatan dan semangat perpaduan sejak usia muda,” tambahnya.
Jelasnya lagi, hasil kaligrafi pelajar yang dipamerkan bukan sahaja memberi inspirasi kepada masyarakat, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan seharian.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut, termasuk pelajar, guru dan seniman kaligrafi.
“Usaha sebegini akan terus menyokong pembangunan sahsiah kanak-kanak dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
“Pada masa sama membantu mengekalkan warisan budaya serta membina minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf tradisional,” katanya.
Beliau berharap program itu dapat diadakan secara berterusan bagi membentuk generasi kreatif dan berbakat serta mengekalkan warisan budaya Sarawak untuk masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Delegasi ASEZ mengadakan kunjungan hormat terhadap Lee
Januari 20, 2026, Selasa - 9:13pm

Lee (tengah) dan Presiden ASEZ Malaysia Timur Steven Kwon menunjukkan tandatangan sokongan ASEZ terhadap perjanjian plastik semasa kunjungan hormat terhadap menteri pengangkutan itu.
KUCHING: Delegasi seramai enam orang daripada kumpulan sukarelawan antarabangsa ASEZ yang diasaskan di Korea Selatan mengadakan kunjungan hormat terhadap Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di sini, hari ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Sarawak, ASEZ atau Save the Earth From A to Z adalah sebuah organisasi sukarelawan antarabangsa yang diasaskan di Korea Selatan dan diterajui oleh pelajar universiti dari 175 negara.
Organisasi itu terlibat dalam pelbagai inisiatif global berkaitan perlindungan alam sekitar dan kebajikan manusia, termasuk tindakan terhadap perubahan iklim, khidmat komuniti dan bantuan bencana.
Salah satu kempen global utamanya, ‘Zero Plastic 2040’, selari dengan usaha antarabangsa untuk menghapuskan pencemaran plastik menjelang tahun 2040.
Dalam pertemuan tersebut, Lee mengalu-alukan kehadiran delegasi berkenaan dan memuji komitmen ASEZ terhadap perlindungan alam sekitar serta kesukarelawanan yang dipimpin oleh golongan belia.
Beliau menegaskan perubahan iklim merupakan cabaran global yang merentasi sempadan negara dan menekankan bahawa tanpa mengira kewarganegaraan, sama ada Korea, Malaysia atau sebaliknya, semua pihak memikul tanggungjawab bersama untuk melindungi bumi.
Lee berkongsi usaha Sarawak dalam menangani perubahan iklim melalui inisiatif pengangkutan mampan dan rendah karbon.
Antara projek utama yang diketengahkan ialah Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang menampilkan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen serta penggunaan 56 bas pengantara berkuasa hidrogen pada Fasa Pertama.
Kedua-duanya menurut Lee bertujuan mengurangkan pelepasan karbon dan menggalakkan mobiliti bandar yang lebih bersih.
Selain itu, kementerian itu juga terus menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai.
Lee menyifatkan perkhidmatan percuma Bas Pintar Miri sebagai contoh positif, dengan menyatakan bahawa sejak diperkenalkan, lebih ramai penduduk memilih untuk menggunakan bas.
Perubahan ini telah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Beliau menambah sekolah-sekolah juga memainkan peranan, dengan para guru membawa pelajar menggunakan bas awam, sekali gus memupuk tabiat perjalanan lestari sejak usia muda.
Di kesempatan itu Lee bertukar pandangan dengan delegasi tentang perancangan pengangkutan awam mampan di Sarawak serta mendengar maklum balas dan idea yang dikongsi oleh para sukarelawan muda pelajar universiti tersebut, sambil menegaskan kepentingan penglibatan perspektif belia dalam membentuk dasar pengangkutan masa depan.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
12 peserta wakili BBP Limbang, Lawas dalam pertandingan kawad kecekapan
Januari 20, 2026, Selasa - 9:20pm

Ramlan (berdiri tiga kiri) bersama pegawai kanan dan anggota pada Pertandingan Kawad Kecekapan Peringkat Zon 7 JBPM Sarawak.
LIMBANG: Seramai 12 peserta mewakili Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang dan BBP Lawas dalam Pertandingan Kawad Kecekapan Peringkat Zon 7 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak.
Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata, pertandingan tersebut dihakimi jurulatih bertauliah Zon 7 JBPM Negeri Sarawak.
Katanya, antara acara yang dipertandingkan adalah 'bleep test', 'braveheart' dan kemahiran kesimbangan peralatan kebombaan, selain UKB untuk Pegawai Kanan Zon 7.
“Objektif program adalah untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan anggota dalam operasi peyelamatan dan pemadaman.
“Selain itu, untuk memupuk semangat kerjasama dan pemilihan anggota bomba yang akan mewakili Zon 7 ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut hadir ialah Ketua BBP Lawas Clarance D. Primus Tiandun.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|