Banjir di Marang, Hulu Terengganu pulih
Penduduk, Mazliana Salleh, 20 (kanan) dan Raida Taqeffa Zulhazmi, 22 membersihkan perkakas rumah yang dipenuhi lumpur akibat dilanda banjir di Kampung Basung. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU: Keadaan cuaca yang semakin baik menyebabkan jumlah mangsa banjir di Terengganu terus menurun dengan 4,025 mangsa daripada 989 keluarga masih berada di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini. Empat daerah yang masih menempatkan mangsa banjir adalah Kuala Terengganu, Dungun, Setiu dan Kuala Nerus manakala Marang dan Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu pulih daripada banjir. Perkara itu dimaklumkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, yang mengesahkan PPS Sekolah Kebangsaan Tanggol di Hulu Terengganu yang menempatkan seramai 33 mangsa (12 keluarga) di ditutup tengah hari tadi. Di Marang, PPS Dewan Sivik Merchang yang menjadi tempat berlindung 50 mangsa daripada 16 keluarga pula ditutup tengah hari tadi.
Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,130 mangsa daripada 562 keluarga di 11 PPS. Di Dungun, lima PPS masih dibuka bagi menempatkan 1,249 mangsa daripada 285 keluarga manakala seramai 552 mangsa daripada 125 keluarga berada di tiga PPS di Kuala Terengganu. Sementara itu, seramai 94 mangsa membabitkan 17 keluarga berada di dua PPS di Setiu.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1333294/banjir-di-marang-hulu-terengganu-pulih
|