Hormati titah Agong, elak sertai himpunan tuntut pengampunan diraja - KPN

[size=14.399999618530273px](Gambar fail) Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
[size=14.399999618530273px]
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja. Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata ia demi menghormati titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam
Beliau berkata, PDRM menjunjung hormat titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan, perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikuti undang-undang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Razarudin sekali gus meminta rakyat agar sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara, khususnya kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang menjadi pancang kepada kemakmuran serta keharmonian negara. Meskipun tiada merujuk mana-mana perhimpunan secara khusus, kenyataan beliau itu dipercayai berkaitan perhimpunan yang mahu diadakan UMNO pada Isnin depan, dengan PAS dilaporkan turut berhasrat menyertainya, bagi menyatakan solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berhubung isu Titah Adendum. Perhimpunan itu dirancang diadakan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya. Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa cadangan supaya mana-mana banduan diberi keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin depan. Isu pengampunan banduan mencetuskan perdebatan susulan kes membabitkan Najib, terutama dalam soal berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1344644/hormati-titah-agong-elak-sertai-himpunan-tuntut-pengampunan-diraja
|