KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini, melancarkan logo Jubli Perak sempena sambutan 25 tahun penubuhan PTPTN sejak tahun 1997.
Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata logo bertemakan Peluang Kejayaan Anda dengan mengetengahkan angka 25 itu, melambangkan penubuhan PTPTN sebagai sebuah agensi yang menyediakan kemudahan pembiayaan pinjaman dan deposit simpanan bagi tujuan pendidikan.
Katanya, rasional reka bentuk 'siluet mortar board' itu membawa simbolik mencerminkan kejayaan PTPTN dalam membantu pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menamatkan pengajian dan membuka peluang kejayaan kepada mereka.
"Manakala rekaan logo PTPTN yang melintasi angka lima dan bulatan melambangkan PTPTN selaku tabung pendidikan utama negara yangmembantu pelajar mendapat akses pendidikan tinggi tanpa bebanan kewangan.
"Warna perak pula menjadi simbolik kepada 25 tahun kecemerlangan PTPTN dalam membantu pelajar melanjutkan pengajian ke IPT dan seterusnya dapat menyumbang bakti tenaga kepada agama, bangsa dan negara.
"Penggunaan warna biru dan kuning pula adalah selari dengan warna korporat PTPTN," katanya pada majlis pelancaran logo sambutan Jubli Perak 25 tahun PTPTN.
Hadir sama, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid; Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid dan Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad.
Logo hasil ciptaan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Bakhtiar Baharudin, dari Baling, Kedah, itu dipilih sebagai pemenang Pertandingan Reka Cipta Logo sambutan Jubli Perak PTPTN yang melayakkannya menerima wang tunai RM2,500 dan sijil penyertaan.
Wan Saiful berkata, bagi menyemarakkan sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, pelbagai program dirangka termasuk Pertandingan Reka Cipta Logo Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN, Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 25 Tahun PTPTN, Kempen Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 25 Tahun dan kemuncak sambutan iaitu Majlis
Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.
"Melalui program yang dirangka ini, diharapkan dapat menarik minat dan mendekatkan PTPTN di hati masyarakat serta sama-sama merasai sambutan 25 tahun PPTN.
"Semoga ia juga menjadi wadah pada kelangsungan kecemerlangan PTPTN," katanya.
Pada masa sama, Wan Saiful memaklumkan, sehingga 31 Januari lalu, PTPTN membantu seramai 3.63 juta pelajar dengan jumlah pinjaman yang dikeluarkan sebanyak 65.60 billion ringgit.
"Ini satu jumlah yang besar dan jelas membuktikan peranan PTPTN membantu pelajar bagi tujuan pendidikan tinggi amat penting serta menjadi tunggak kejayaan kepada pembangunan modal insan negara.
"Usaha demi usaha dijalankan PTPTN yang sentiasa komited untuk memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk anak-anak dengan memperkenalkan Simpan SSPN.
"Langkah PTPTN diteruskan melalui Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 dengan meneroka pelbagai pendekatan baharu untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan agar selaras dengan objektif pendidikan tinggi negara," katanya.