|
Kosmo arini....
Rasa muda terbit album
KUMPULAN Rap Unggul atau KRU yang popular Awas!, Fanatik dan Oh La La sudah 21 tahun berada dalam industri muzik tempatan. Selama tempoh itu sebanyak 13 buah album KRU telah dihasilkan.
Tidak dinafikan KRU berjaya mencipta fenomena tersendiri yang diingati sehingga ke hari ini meskipun trio adik-beradik yang membentuk KRU, Norman, 41, Yusry, 40, dan Edry, 37, semakin berusia.
Menyambung hayat mereka dalam industri ini, hari ini KRU melancarkan album ke-13 yang berjudul KRUnomena. Kali terakhir KRU muncul dengan album adalah pada tahun 2006 menerusi album, 10 Di Skala Richter.
Selepas sekian lama tanpa sebarang album baharu, tiga anak lelaki kepada pasangan Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner yang ditemui pada majlis pradengar album KRUnomena, setiap kali muncul dengan album baharu membuatkan mereka berasa sentiasa muda.
"Memang saya akui, saya bukan sahaja berasa muda tetapi rasa usia saya tidak mempunyai angka, seperti tidak bergerak-gerak.
"eminat sentiasa ada di belakang kami, bahkan ramai peminat yang muda. Peminat yang seusia dengan kami pula berjiwa muda setiap kali mendengar lagu KRU sebab itu kami semua rasa muda (ketawa)," balas Yusry.
Perasaan yang sama turut dikongsi Norman. Katanya, sudah lama dia tidak bergaya seperti artis.
"Selalunya setiap kali pergi ke mana-mana acara hiburan, saya akan hadir sebagai Pengarah Eksekutif KRU Studios dan agenda bisnes sentiasa dalam fikiran. Kali ini, saya bersalaman dengan peminat serta pihak media sebagai artis.
"Rasa pelik pun ada sebab sudah enam tahun tidak jadi artis. Lihat penampilan saya hari ini lebih santai dengan harapan nampak lebih muda (ketawa). Jika tidak, selalunya saya akan memakai pakaian formal," kata Norman sambil berseloroh kepada pihak media.
Dari segi bergaya, Edry terbukti yang paling berani berbanding dua abangnya itu. Bersempena kemunculan album terbaharu KRU, dia tampil dengan imej rambut kerinting.
Ia nyata berbeza daripada imejnya sebelum ini yang berambut pendek lurus. Malah, boleh dikatakan penampilan baharu Edry itu mirip vokalis kumpulan Nidji, Giring.
"Sebenarnya sengaja saya tampil dengan imej begini. Jika imej sama sahaja nanti peminat bosan. Norman mungkin terikat dengan imej seorang ahli perniagaan tetapi saya bebas melakukan eksperimen pada rambut dan fesyen kerana saya lebih tertumpu dalam bidang muzik," tutur Edry.
KRUnomena
Bercakap tentang album KRUnomena yang mengambil masa enam tahun untuk disiapkan, ujar Edry, fokus lebih tertumpu kepada dirinya yang membuat acuan arah tuju album tersebut.
Ujarnya, tempoh masa yang agak lama diambil disebabkan mereka bertiga terikat dengan komitmen kerja masing-masing selain mencari lagu yang benar-benar sesuai.
"Orang luar ingat kami adik-beradik selalu berjumpa antara satu sama lain tetapi sebenarnya tidak, kerana masing-masing sibuk. Apa yang berlaku, saya telefon Norman untuk merakamkan lagu kerana saya ingatkan dia berada di pejabat tetapi saya tidak tahu pun ketika itu dia berada di Eropah.
"Jadi, halangan terbesar kami adalah waktu. Sebab itu kami rakamkan lagu secara berasingan," sambung Edry mengenai album yang memulakan proses rakaman pada tahun 2010 itu.
Celah Yusry, sebenarnya banyak koleksi lagu yang telah disiapkan. Bagaimanapun selepas dia merakamkan suara untuk beberapa buah lagu, ia diberikan Edry kepada penyanyi lain.
"Biasanya, proses rakaman album KRU akan bermula dengan suara saya, kemudian baru Norman dan Edry akan ikut lenggok nyanyian saya.
"Apa yang terjadi selepas saya selesai merakamkan suara, saya dengar lagu yang saya nyanyikan itu dinyanyikan oleh penyanyi lain tanpa sebarang pemberitahuan daripada Edry. Saya hanya tahu perkara itu selepas mendengar lagu itu di radio," ujar Yusry sambil memandang kepada Edry.
Antara lagu yang dicipta Edry untuk album KRU tetapi dinyanyikan oleh orang lain termasuklah Sedetik Lebih nyanyian Anuar Zain, Jahat (Stacy) dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo).
SELEPAS sukses membina empayar seni dan bisnes, tiga adik-beradik ini kini kembali mengaktifkan KRU yang merupakan tapak asas pembabitan mereka di persada muzik tanah air.
Sambung Norman pula, apabila diteliti semula lagu-lagu tersebut memang tidak sesuai dengan konsep album KRU serta personaliti mereka.
"Cuba bayangkan KRU menyanyi lagu Jahat, bukankah ia tidak sesuai? Jadi, lebih baik diberi kepada penyanyi lain dan mereka telah membuktikan lagu itu benar-benar serasi dengan vokal masing-masing," kata Norman.
Pilih Stacy
Album KRUnomena memuatkan 10 buah lagu seperti Semalam Tanpamu, Setiap, Kesejatian Cinta, Separuh Mati, Sediakala, Lagu & Lirik dan Kali Ke-2.
Menariknya Semalam Tanpamu ciptaan sepenuhnya Edry menyaksikan KRU berduet dengan Stacy. Disoal mengapa Stacy menjadi pilihan KRU sedangkan penyanyi di bawah naungan mereka juga cukup ramai, KRU mempunyai jawapannya.
"Selepas kami fikirkan tentang penyanyi wanita yang sesuai dengan konsep KRU dan penuh tenaga, tiada siapa yang terlintas dalam fikiran kami selain Stacy.
"Walaupun bukan penyanyi di bawah naungan KRU tetapi Stacy telah banyak kali bekerjasama dengan KRU. Kami akui, Stacy popular tetapi apa yang dipentingkan adalah keserasian itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa.
"Hasilnya, saya yakin lagu Semalam Tanpamu antara lagu yang mudah untuk diterima pendengar," ujar Edry.
Kali Ke-2 pula merupakan lagu lama KRU, Dua yang diberikan nafas baharu. Ia dipilih oleh Yusry sendiri untuk dimuatkan dalam album KRUnomena.
"Bayangkan lagu itu ditulis pada tahun 1995, ketika itu saya berusia 23 tahun dan liriknya kalau dihayati betul-betul masih relevan sehingga ke hari ini.
"Itu antara faktor Yusry memilih lagu Dua itu dan kini dijadikan Kali Ke-2. Lagu itu sebenarnya sangat popular hanya dalam kalangan peminat KRU kerana ia tidak pernah dijadikan single," luah Norman.
KRU dalam pada itu juga telah bersedia kerana pasti ada peminat yang tidak puas hati apabila lagu itu diberi nafas baharu kerana lagu asalnya sudah cukup enak didengar,
"Ia merupakan lagu nostalgia buat peminat yang membesar dengan muzik kami dan biasanya kritikan itu datang daripada peminat yang sukakan lagu asal.
"Kami sudah bersedia andai dikritik. Contoh terbaik ialah lagu Getaran Jiwa yang diberi nafas baharu. Orang muda suka dengan cara kami tetapi tidak peminat tegar lagu-lagu lama. Kami hanya lakukan yang terbaik selebihnya terpulang kepada peminat untuk menilainya," balas Yusry, suami kepada aktres Lisa Surihani itu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/co ... 1.htm#ixzz2JX7WFcCA
Hakcipta terpelihara |
|