salam...lalu lintang jap...
xtau la korg dh tepek ker blum artikel nih...kalo dh ader xper la ek...
Kenali dunia showbiz
Oleh Farihad Shalla Mahmud
[email protected]
DEMI KERJAYA: Linda Jasmine membimbing pelajar AF6 dalam tarian.
Bekas pelajar Akademi Fantasia 6 sertai bengkel anjuran Maestro
BELUM hilang penat kerana menjalani penggambaran drama Hari Raya di Pulau Pangkor, cecah saja kaki ke ibu kota, bekas pelajar Akademi Fantasia musim keenam bergegas pula untuk menghadiri sesi bengkel anjuran Maestro yang bertujuan untuk memantapkan lagi kerjaya seni mereka.
Bukan itu saja, bengkel sehari itu juga memberikan tips serta panduan berguna sebagai persediaan kepada pelajar berkenaan yang kini sudah pun bergelar selebriti.
Memilih lokasi gimnasium Celebrity Fitness di pusat beli belah OneUtama, bengkel yang bermula pada jam 11 pagi dan berakhir jam 7 petang ini antara lain memberikan informasi berguna seperti cara menguruskan cukai pendapatan, cara berkomunikasi dengan baik, bagaimana berdepan dengan media, panduan pemakanan sihat, etika di meja makan, penjagaan imej, bagaimana mahu berjaya dalam bidang showbiz serta latihan kecergasan diri dan menari.
Mengulas penganjuran bengkel berkenaan, Ketua Pengurusan Bakat Maestro, Liza Illias berkata sebagai artis baru, bengkel seperti ini memang penting buat mereka yang masih lagi hijau dalam dunia seni yang diceburi.
"Topik yang kami sediakan ini merangkumi perkara asas yang perlu mereka ketahui dan fahami kerana ia amat penting buat mereka. Sewaktu mereka berada di dalam akademi, fokus mereka hanya tertumpu kepada soal bagaimana hendak menyanyi dengan baik, menari dan berlakon.
PANDUAN: Etika di meja makan juga turut diajar dalam bengkel berkenaan.
"Tetapi, selepas mereka keluar AF dan bergelar artis, banyak perkara yang mereka perlu tahu sebagai persediaan untuk bergelar penghibur yang baik.
"Justeru, kami berpendapat seminar seperti ini memang berguna buat mereka. Walaupun sehari, namun mereka beruntung kerana penceramah yang diundang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing.
"Lagipun, kalau mereka ingin menghadiri ceramah seperti ini diluar, pastinya caj yang dikenakan agak mahal berbanding seminar ini yang tidak mengenakan sebarang bayaran walau sesen pun," ujar Liza yang ditemui sejurus selepas bengkel itu berakhir.
Memandangkan bengkel seperti ini memberi mampu memberi impak kepada mereka yang menghadirinya, Liza berkata mereka turut bercadang untuk menjadikan bengkel ini sebagai satu acara tahunan.
"Sebelum ini kami pernah melakukan bengkel yang sama tapi tak diteruskan. Mungkin selepas ini kami akan menjadikan bengkel ini sebagai acara wajib buat semua bintang AF termasuk senior kerana ia berguna buat mereka untuk menghadapi realiti dan kehidupan sebenar bergelar artis.
"un begitu, keutamaan akan diberikan kepada pelajar baru kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya," ujar Liza lagi.
Kata Liza, bengkel itu sengaja dijalankan dalam suasana santai supaya setiap peserta bebas untuk bertanyakan apa saja tanpa ada perasaan segan.
"Apabila seminar ini dijalankan secara tidak formal maka pelajar sendiri akan berasa selesa untuk berinteraksi dengan penceramah undangan. Sambil mendengar ceramah, mereka juga perlu melakukan senaman serta kelas menari bersama guru koreografi mereka di AF iaitu Linda Jasmine," ujar Liza yang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Celebrity Fitness, Adidas, Pick & Brew dan Spritzer kerana berjaya menjadikan bengkel sehari ini sebagai satu realiti.
Berpeluang menyaksikan bagaimana bengkel itu dijalankan, tidak dinafikan, mereka begitu beruntung kerana apa yang diajar mereka dalam seminar itu memang berguna buat mereka yang baru saja memegang status sebagai seorang artis.
Dari ilmu asas pembentukan imej diri hinggalah kepada bagaimana mereka bergaul dan berada di meja makan.
Mereka yang bertindak sebagai speaker pada hari itu terdiri daripada pelakon dan bekas tenaga pengajar AF, Fatimah Abu Bakar, perunding cukai, Alex, pakar kesihatan dan nutrisi Celebrity Fitness, Ryan, Ketua Pegawai Oprasi Maestro, Freddie Fernandez, penyanyi terkenal, Ning Baizura, Pengarang Hiburan, Saharuddin Musthafa, pengacara Zainal Alam Kadir, pereka fesyen Jovian Mandagie dan Farah Halim dari Palace Of The Golden Horses.
Pun begitu, menurut Liza, hanya 11 orang pelajar saja yang terbabit dalam bengkel berkenaan manakala tiga lagi menyatakan kurang sihat sebagai alasan ketidakhadiran mereka untuk acara itu.
Sementara itu, Stacy ketika ditemui mengakui seminar itu memberikan pengalaman baru buat dirinya.
"Sebelum ini kita sendiri masih kabur apa yang sepatutnya perlu ada pada seorang artis baru. Tetapi selepas menghadirinya, barulah saya faham menjadi artis tidaklah semudah yang disangka.
"Saya juga menimba banyak ilmu terutama dari segi pengurusan cukai pendapatan yang saya rasakan antara topik penting pada hari ini," katanya yang turut teruja kerana seminar itu bagaikan mengembalikan semula ingatannya terhadap suasana di AF.
Bagi pemenang tempat kedua AF6, Riz, dia juga bersependapat dengan Stacy bahawa seminar ini penting buat artis baru sepertinya.
"Memang seronok kerana kita didedahkan dengan pelbagai perkara baru yang sebelum ini asing buat kami. Sebagai contoh, kami turut didedahkan dengan tatacara dan adab di meja makan. Mungkin ada yang berpendapat perkara ini agak remeh tetapi untuk artis baru seperti kami, perkara ini perlu diberi perhatian kerana dari situlah orang akan menilai kita," katanya.
[ Last edited by lunna at 19-8-2008 05:37 PM ] |