CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Auk ajaklah

[Copy link]
 Author| Post time 19-1-2026 11:09 AM | Show all posts
JPJ Sarawak keluarkan 260 notis ketidakakuran pada Ops Khas Motosikal dan Lampu HID di Kuching
Januari 17, 2026, Sabtu - 11:34am



Gambar semasa operasi yang dikongsi di Facebook JPJ Negeri Sarawak.

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengeluarkan 260 notis ketidakakuran menerusi pelaksanaan Ops Khas Motosikal dan Lampu HID yang dijalankan di Jalan Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman, di sini, pada Jumaat.

Dalam kenyataan hari ini, JPJ Sarawak memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan melalui sekatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap kepentingan mematuhi peraturan demi keselamatan diri serta pengguna lain.

Menurutnya, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 724 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa.

“Antaranya kesalahan yang dikenalpasti ialah penggunaan lampu HID yang tidak dibenarkan, ketiadaan lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh serta kesalahan teknikal lain.

“Selain pengeluaran notis, sebanyak enam buah motosikal turut disita kerana didapati mempunyai cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans yang sah,” katanya menerusi kenyataan dikongsi di akaun Facebook JPJ Negeri Sarawak.



Gambar semasa operasi yang dikongsi di Facebook JPJ Negeri Sarawak.

Selain itu, JPJ Sarawak turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang.

“Pemandu hari memastikan lesen memandu, cukai jalan dan perlindungan insurans berada dalam tempoh sah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum digunakan,” katanya.

Tambahnya, kerjasama dan sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat dan teratur.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-1-2026 11:11 AM | Show all posts
Rumah dua tingkat di Kampung Hulu Sessang, Kabong musnah terbakar
Januari 17, 2026, Sabtu - 11:51am

SARATOK: Sebuah rumah dua tingkat, struktur separuh kekal di Kampung Hulu Sessang, Kabong, musnah terbakar, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran tersebut pada jam 7.08 pagi.

“Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggora bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika sampai dilokasi tersebut, pasukan bomba mendapati rumah tersebut telah terbakar seratus peratus.

“Berdasarkan situasi tersebut, anggota bomba telah bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari jentera bomba dan juga sumber air terbuka,” katanya kepada media, hari ini.

Tambahnya, usaha memadam kebakaran tersebut telah berjaya dilakukan dalam tempoh hampir satu jam.

“Tiada sebarang kecederaan atau kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

“Hingga kini, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan,” katanya lagi.

Turut membantu dalam operasi pemadaman kebakaran tersebut ialah Pasukan Bomba Sukarela Kabong, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 11:12 AM | Show all posts
Durian tempatan boleh dikomersial guna kaedah moden: Awang Tengah
Januari 17, 2026, Sabtu - 1:40pm



Awang Tengah (tiga kiri), Henry Sum dan tetamu lain ketika program Jom Singgah Makan Durian 'Ucu Kuman Bua’ Lapun' Trusan 2026 pada Jumaat.

LAWAS: Buah durian tempatan keluaran Lawas dan Limbang boleh dikomersialkan menggunakan kaedah moden dalam industri makanan seperti yang dilaksanakan di Semenanjung.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, durian tempatan dari kawasan itu memiliki tekstur yang enak serta berupaya menjana nilai komersial yang tinggi sekiranya diurus dan dipasarkan secara lebih moden.

Bagi mencpaai tujuan itu kata beliau, pengusaha kebun durian tempatan di Trusan perlu beralih kepada penggunaan teknologi moden dalam memasarkan produk mereka bagi menembusi pasaran lebih luas.

“Saya melihat potensi besar yang dimiliki Pekan Trusan dalam pengeluaran buah durian.

“Jadi kalau orang Semenanjung dapat buat banyak (produk) dan dijadikan sebagai bahan-bahan untuk buat aiskrim serta dapat dieksport melalui pembungkusan yang betul, kita pun boleh seperti mereka.

“Ini akan dapat membantu meningkatkan pendapatan kita melalui pelbagai kemudahan seperti perniagaan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jom Singgah Makan Durian 'Ucu Kuman Bua’ Lapun' Trusan 2026 yang berlangsung di Gelanggang Dewan Masyarakat Trusan di sini, pada Jumaat.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong bersama isteri Datin Tunong Palung dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.

Awang Tengah berkata, usaha pengkomersialan durian tempatan harus dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama pihak yang berkemahiran dalam mempelbagaikan produk berasaskan durian di Trusan dan Lawas.

Ketika ini katanya, pasaran durian Lawas lebih tertumpu kepada jualan buah segar ke negara jiran Brunei dan Sabah.

“Justeru, pendekatan baharu yang lebih moden dan menyeluruh diperlukan, bermula daripada kaedah penanaman, pemasaran sehingga kepada pembangunan produk hiliran berasaskan durian, bagi membantu meningkatkan pendapatan pengusaha kebun kecil di kawasan luar bandar,” katanya lagi.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:16 PM | Show all posts
Jangan lantik ahli JKKK dalam kalangan ahli keluarga terdekat: Sikie
Januari 17, 2026, Sabtu - 2:10pm



Sikie (duduk di tengah) merakamkan kenangan bersama para penerima geran MRP dan UNIFOR pada majlis berkenaan.

BINTULU: Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai mengingatkan penduduk rumah panjang dan kampung agar tidak melantik ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dari kalangan ahli keluarga terdekat.

Jelasnya, perkara itu sudah ditekankan banyak kali dalam penubuhan setiap JKKK yang mana harus dipatuhi bagi mengelak berlaku penyelewengan.

"Lantikan ahli JKKK yang bukan dari kalangan ahli keluarga terdekat pada masa sama akan mengelak perasaan syak wasangka serta sebarang konflik kepentingan diri yang melibatkan penyalahgunaan wang milik bersama itu," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus berkata demikian semasa berucap padaMajlis Penyerahan Bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) N.60 Kakus yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Sikie mengingatkan penerima geran MRP terbabit agar menguruskan peruntukan itu dengan sebaik-baiknya, telus dan penuh tanggungjawab.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak baru-baru ini telah meluluskan peningkatan elaun ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Sarawak berkuat kuasa mulai Januari 2026.

"Peningkatan tersebut adalah selaras dengan tanggungjawab dan peranan penting yang dipikul oleh KMKK sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi," jelasnya.

Sehubungan itu katanya, setiap KMKK diingatkan agar menjalankan tugas dengan lebih berkesan serta kerap berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan dasar, program dan inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

Bagi lantikan baharu KMKK bermula tahun 2026 pula jelas Sikie, syarat kelayakan minimum yang ditetapkan ialah sekurang-kurangnya tamat tingkatan lima atau kelayakan setaraf.

"Manakala bagi penyandang jawatan sedia ada, syarat kelayakan adalah kekal seperti yang ditetapkan sebelum ini," tambahnya.

Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan cek geran MRP berjumlah RM323,000 kepada 21 penerima yang terdiri daripada JKKK termasuk persatuan di kawasan DUN Kakus.

Beliau turut menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM140,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada St Maria Chapel di Rumah Balis dan RM250,000 lagi disalurkan kepada Gereja St Paul Lubok Kubong bagi tujuan pembangunan dan penambahbaikan kemudahan keagamaan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:18 PM | Show all posts
Program Wakalah Zakat 'Back to School' 2026 manfaatkan 500 murid di bawah PPD Kuching
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:35pm



Hasidah menyaksikan simbolik penyerahan Wakalah Zakat daripada Anuar (dua kiri) kepada Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Dr Majelan Sulong (dua kanan).

KUCHING: Seramai 500 murid daripada 11 sekolah rendah dan menengah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching menerima manfaat menerusi Program Wakalah Zakat 'Back to School' 2026 yang berlangsung di Wisma SABATI di sini, hari ini.

Program anjuran Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP) Sarawak dengan kerjasama PPD Kuching itu menyaksikan setiap murid menerima bantuan bernilai RM300 bagi meringankan beban perbelanjaan persekolahan, khususnya dalam kalangan keluarga asnaf dan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan sinergi bermakna antara agensi kerajaan dan sektor korporat dalam memastikan kebajikan serta masa depan pendidikan anak-anak Sarawak terus terbela.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PETRONAS melalui BAKIP Sarawak serta PPD Kuching atas komitmen berterusan dalam menyokong pendidikan di negeri ini, sambil menyifatkan sumbangan tersebut bukanlah kali pertama disalurkan malah konsisten dari tahun ke tahun, termasuk ketika Ramadan.

"Bantuan seperti ini penting bagi memastikan murid-murid dapat hadir ke sekolah dengan perasaan gembira dan yakin, tanpa rasa ketinggalan berbanding rakan sebaya, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk berdiri sama tinggi dan melangkah lebih jauh dalam bidang pendidikan," katanya.



Penerima Wakalah Zakat 'Back to School' 2026 dari SK Merpati Jepang merakamkan kenangan bersama Hasidah (tengah). Turut kelihatan, Anuar (dua kiri).

Hasidah turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan tunjang utama dalam merealisasikan halatuju pembangunan Sarawak di bawah Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) 2030 yang berteraskan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.

“Untuk mencapai aspirasi ini, anak-anak kita perlu diberikan akses kepada pendidikan terbaik bermula dari peringkat awal.

“Pendidikan adalah jalan keluar daripada kepompong kemiskinan dan asas kepada pembentukan modal insan berpendapatan tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan memastikan anak-anak hadir ke sekolah, berdisiplin dan memanfaatkan sepenuhnya pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan kerajaan negeri, termasuk pengumuman pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak bermula 2026.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Strategik dan Komunikasi Kumpulan PETRONAS Anuar Ismail berkata, program Wakalah Zakat 'Back to School' 2026 merupakan manifestasi komitmen PETRONAS terhadap pembangunan pendidikan dan masa depan generasi muda Sarawak.

Beliau menjelaskan, program yang dilaksanakan oleh BAKIP Sarawak dengan kerjasama PPD Kuching, Bintulu dan Miri itu menggunakan dana Asy Syakirin 2 (DAS2), iaitu amanah zakat warga PETRONAS yang diperuntukkan khusus kepada golongan asnaf yang layak.

Menurutnya, pada tahun ini seramai 1,500 pelajar di seluruh Sarawak menerima manfaat dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM450,000, di mana bantuan RM300 bagi setiap pelajar disalurkan melalui akaun Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah masing-masing.

Beliau berharap bantuan tersebut bukan sekadar sokongan kewangan, malah menjadi simbol dorongan dan pelaburan jangka panjang agar pelajar terus berusaha, membina sahsiah diri, berdisiplin serta berani bermimpi besar demi masa depan yang lebih cerah.

Sekolah yang terlibat dalam program peringkat PPD Kuching tersebut ialah SK Merpati Jepang, SK Bandar Samariang, SK Semariang, SK Semerah Padi, SK Green Road, SK Combined, SK Rakyat, SMK Bandar Samariang, SMK Semerah Padi, SMK Green Road dan SMK St Joseph.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:19 PM | Show all posts
105 pelajar terpilih dari DUN Satok terima barangan keperluan sekolah
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:39pm



Ibrahim menunjukkan isyarat bagus selepas selesai penyerahan bantuan persekolahan pada majlis tersebut.

KUCHING: Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok bersama Pusat Khidmat DUN N.8 Satok menganjurkan Program Penyerahan Sumbangan Barangan Keperluan Pelajar Sekolah Kawasan DUN Satok, hari ini.

Penyerahan sumbangan kepada 105 pelajar terpilih itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki di pekarangan Masjid Darul Aqsa, Kampung Segedup di sini.

Ibrahim ketika ditemui media selepas majlis berkata, program kebajikan itu bertujuan menyemai semangat dan motivasi dalam kalangan murid Tahun Satu hingga Tahun Enam bagi menggalakkan mereka hadir ke sekolah.

"Ia antara lain memupuk minat terhadap pembelajaran serta membentuk sikap rajin belajar sejak usia awal," katanya.

Tegas beliau, program juga memberi tumpuan kepada usaha membantu meringankan beban keluarga khususnya ibu bapa melalui sumbangan keperluan persekolahan kepada anak-anak mereka.

"Program telah dilaksanakan sejak 2014 sehingga hari ini dan inisiatif berkenaan telah menunjukkan hasil positif apabila sebahagian daripada penerima sebelum ini berjaya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

"Justeru, saya berharap usaha ini dapat melahirkan kanak-kanak yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran malah mempunyai sahsiah dan akhlak yang baik.

"Sokongan serta dorongan daripada ibu bapa juga amat penting dalam memastikan kejayaan anak-anak,” ujar beliau.

Menurut beliau, program berkenaan melibatkan seramai 105 kanak-kanak yang menerima sumbangan berupa beg sekolah dan peralatan persekolahan, meliputi enam kawasan.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, SK Rakyat, SK Combined, SJK (C) Chung Hua No. 4 selain Kampung Segedup serta Kampung Sungai Maong.

Beliau berkata, lawatan ke Sungai Maong turut dijadualkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas penting dalam dasar Kerajaan Sarawak khususnya dalam usaha membangunkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Bagi menghadapi persaingan masa hadapan, kita memerlukan lebih ramai anak-anak yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam pelbagai sektor terutama bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 19-1-2026 01:20 PM | Show all posts
Suami isteri cedera, seorang lelaki parah dalam kemalangan di Senadin
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:42pm

MIRI: Pasangan suami isteri cedera dan seorang lelaki parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di sebuah bulatan di Senadin di sini, malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.08 malam itu, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang dinaiki pasangan suami isteri dan sebuah Proton Wira yang dipandu seorang pemandu lelaki.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Pegawai Bomba Tinggi 2 Henry Jugah memberitahu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.08 malam sebelum sebuah jentera FRT Scania digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira lapan kilometer.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat mangsa tersepit di dalam kenderaan.

“Operasi menyelamat dijalankan menggunakan konsep SAVER dengan bantuan peralatan RTA Power Unit,” jelas laporan itu.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Selepas operasi menyelamat selesai, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memastikan kawasan jalan raya selamat daripada serpihan kemalangan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:21 PM | Show all posts
MBM diminta kenal pasti lokasi sesuai untuk tempatkan peniaga buah bermusim: Ripin
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:45pm



Ripin ketika pertemuan dengan Ariffin dan kaunselor MBM di Pusat Khidmat DUN Lambir hari ini.

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) diminta mengenal pasti lokasi yang sesuai dan strategik bagi menempatkan peniaga kecil buah-buahan bermusim yang bertaburan di sekitar bandar raya Miri.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat berkata, perkara itu dibincangkan semasa pertemuan bersama Timbalan Datuk Bandar Miri Ariffin Mohamad serta kaunselor MBM di Pusat Khidmat DUN Lambir, hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga kecil perlu ditangani secara berhemah, justeru perbincangan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik yang adil kepada semua pihak.

“Kita berharap akan ada penyelesaian yang baik dan pada masa sama peniaga dinasihatkan supaya tidak berniaga secara sembarangan, khususnya di kawasan kaki lima,” katanya.

ADUN Lambir itu berkata, MBM turut diminta memfokuskan usaha mengenal pasti lokasi yang sesuai dan strategik untuk menempatkan peniaga buah-buahan bermusim, dengan mengambil kira aspek kemudahan akses, keselamatan, masa operasi serta kebersihan.

Jelasnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah mewujudkan lokasi yang digazetkan secara sementara khusus untuk peniaga bermusim, terutamanya ketika musim buah.

“Lokasi ini bersifat sementara dan hanya digunakan semasa musim buah, mengikut zon yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, tempoh musim buah lazimnya berlangsung sekitar sebulan sehingga dua bulan sahaja dan lokasi yang dicadangkan itu akan digunakan secara sementara mengikut musim serta zon yang telah ditetapkan.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-1-2026 01:22 PM | Show all posts
9 Briged terus komited pastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat Sarawak
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:47pm



Jafri (belakang, tujuh kanan) merakamkan kenangan pada Program Pengurusan Stres dan Kesihatan Mental di Rejimen 510 Askar Wataniah Kem Sri Rejang, hari ini.

SIBU: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya 9 Briged terus komited memastikan keselamatan, keamanan serta kesejahteraan rakyat Sarawak, termasuk di kawasan pedalaman dan sempadan, meskipun berdepan pelbagai persepsi negatif yang ditularkan di media sosial.

Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Briged) Brigadier Jeneral Dato Jafri Sulaiman berkata, kawasan operasi briged itu meliputi hampir tiga perempat keluasan Sarawak, termasuk Lawas, Limbang, Ba’Kelalan, Bario hingga ke kawasan pedalaman dan sempadan negara.

Menurutnya, kehadiran ATM membolehkan aktiviti ekonomi, perkhidmatan kesihatan dan urusan harian masyarakat dijalankan dalam keadaan aman dan teratur.

“Keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan seluruh warga ATM yang sentiasa bersedia menjalankan tugas,” ujarnya pada Program Pengurusan Stres dan Kesihatan Mental di Rejimen 510 Askar Wataniah Kem Sri Rejang, hari ini.

Program tersebut anjuran bersama Kelab Lions Sibu Seduan, Rejimen 510 Askar Wataniah dan Kumpulan Syarikat Jaya Coastal.

Beliau turut menjelaskan operasi bantuan kemanusiaan atau Ops Murni sentiasa menjadi keutamaan, terutama ketika bencana seperti banjir dan tanah runtuh, dengan ATM membantu menyalurkan bantuan makanan, logistik serta sokongan kepada penduduk terjejas.

Sementara itu, beliau menegaskan tidak wajar seluruh ATM dipersalahkan atau dipandang serong susulan kes-kes rasuah yang masih dalam siasatan melibatkan individu tertentu.

“Tidak semua anggota terlibat. Tunggulah keputusan mahkamah. Jangan kerana segelintir individu, jasa dan pengorbanan ATM selama puluhan tahun dipadamkan begitu sahaja,” tegasnya.

Menyentuh isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota, beliau berkata ATM mengambil pendekatan tegas tanpa kompromi, selain bekerjasama rapat dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi meningkatkan kesedaran berkaitan bahaya dadah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kesihatan mental.

Katanya, program berbentuk ceramah, pameran dan sesi kaunseling amat penting, terutama dalam menangani tekanan mental dalam kalangan anggota muda.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala sebagai platform merapatkan hubungan antara ATM, agensi kerajaan dan masyarakat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan rakyat Sarawak.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:22 PM | Show all posts
Kenaikan elaun bulanan tuntut KMKK tingkat kualiti perkhidmatan: Fatimah
Januari 17, 2026, Sabtu - 3:50pm



Fatimah (duduk tengah) bersama dengan ketua masyarakat dan ketua kaum pada Majlis Amanat Bersama KMKK DUN N.56 Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

DALAT: Kenaikan elaun bulanan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Sarawak sebanyak RM400 berkuat kuasa 1 Januari 2026 menuntut KMKK meningkatkan kualiti perkhidmatan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kenaikan melibatkan 7,700 KMKK itu juga sebagai menghargai peranan mereka pada hari ini yang semakin mencabar dan kompleks, selain berperanan sebagai perantara maklumat, penyelesai masalah, pemudah cara serta suara kepada rakyat yang memerlukan perhatian kerajaan.

"Tuan-tuan dan puan-puan merupakan tulang belakang pentadbiran komuniti di peringkat akar umbi, yang sentiasa berdepan secara langsung dengan denyut nadi dan realiti kehidupan masyarakat.

"Setiap aduan, cadangan dan keluhan yang disampaikan oleh masyarakat mencerminkan kepercayaan yang tinggi terhadap kepimpinan tuan-tuan dan puan-puan.

"Selaras dengan kenaikan ini, KMKK diingatkan untuk memperkukuh prestasi, akauntabiliti dan integriti dalam menjalankan tugas mereka bagi memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat," ujarnya ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan yang seimbang, inklusif dan mampan.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan, termasuk pembangunan infrastruktur asas, penambahbaikan kemudahan awam, bantuan kebajikan serta program pemerkasaan komuniti.

"Namun, kejayaan setiap inisiatif ini amat bergantung kepada peranan aktif dan sokongan padu daripada KMKK sebagai pelaksana dan pemantau di peringkat lapangan," jelasnya sambil merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua KMKK yang sentiasa komited, setia dan tidak pernah jemu berkhidmat kepada rakyat.

Di samping itu, Fatimah juga berharap agar KMKK DUN N.56 Dalat terus bersikap proaktif, berani menyuarakan isu setempat secara berfakta dan berhemah, serta sentiasa memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah tepat dan bertanggungjawab.

Kejelasan maklumat katanya, amat penting bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan, khususnya dalam era media sosial yang pantas dan mencabar.

"Dalat merupakan kawasan yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam dan latar belakang masyarakat. Justeru, keharmonian dan perpaduan perlu sentiasa dipelihara dan diperkukuhkan.

"KMKK memainkan peranan penting sebagai ejen perpaduan, pendamai dalam menyelesaikan isu setempat serta contoh teladan dalam mengamalkan sikap saling menghormati dan bertoleransi," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa amanah sebagai KMKK perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, keikhlasan dan rasa tanggungjawab, selain tidak bersikap pilih kasih, kepentingan peribadi atau pengaruh luar yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat.

"Ingatlah bahawa kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat adalah satu amanah yang besar dan akan dipersoalkan kelak.

"Saya juga menggalakkan agar KMKK sentiasa meningkatkan keupayaan diri melalui pengetahuan, kemahiran kepimpinan dan penggunaan teknologi digital.

"Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa akan menjadikan KMKK lebih berkesan dalam melaksanakan tugas, khususnya dalam mengurus data komuniti, menyampaikan maklumat dan berurusan dengan agensi kerajaan," tambah beliau.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:23 PM | Show all posts
Pasukan Tarian Singa Utara CMAA wakil Malaysia ke pertandingan elit di China
Januari 17, 2026, Sabtu - 4:22pm



Pasukan Tarian Singa Utara CMAA ceria di KLIA sebelum berlepas ke Sanya, Hainan, China.

KUCHING: Malaysia akan diwakili oleh Pasukan Tarian Singa Utara Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina (CMAA) pada Pertandingan Antarabangsa Elit Tarian Naga & Singa Piala Sanya 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 20 Januari ini di Sanya, Hainan, China.

Kejohanan berprestij itu dianjurkan oleh Biro Pelancongan dan Kebudayaan Hainan serta disahkan oleh International Dragon & Lion Dance Federation dan Dragon & Lion Dances Federation of Asia, sekali gus menghimpunkan pasukan elit dari pelbagai negara.

Pemilihan Pasukan Tarian Singa Utara CMAA  dibuat susulan prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun 2025, termasuk kejayaan muncul sebagai Juara Rutin Pilihan pada Sarawak Open International Dragon & Lion Dance Cup 2025, selain meraih pingat perak dan gangsa pada Kejohanan Kebangsaan Malaysia 2025.

Presiden CMAA Chester Lim, memaklumkan Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Naga & Singa Malaysia (DLDFM) Datuk Yong Kheng Chien telah secara rasmi menamakan Kontinjen Malaysia yang akan berlepas ke Sanya.

Pasukan tersebut dianggotai oleh Kong Wen Ying, 16, dari St Joseph’s Private School, Kuching; Lee Kian Cheng, Jonas Chu Ting Hai dan Vincent Wong Hung Jing, masing-masing berusia 16, dari SMK DPHA Gapor, Kuching; serta Phang Yi Quan, 26, dari Kuching.

Kontinjen ini akan diiringi oleh jurulatih Calvin Kong Ngon Chung dan pengiring Chai Yit Tien, kedua-duanya dari Kuching, Sarawak, serta diketuai oleh pengurus pasukan Ivan Lee Teo Heng dari Johor.

Sebagai satu pengiktirafan tambahan, Nelson Nguang Kim Ban dari Sarawak turut dilantik sebagai Panel Juri Kejohanan.

Menurut Lim, ini merupakan kali pertama dalam sejarah Tarian Naga dan Singa Sarawak apabila sebuah pasukan berpangkalan di Sarawak dipilih oleh DLDFM untuk mewakili Malaysia di kejohanan antarabangsa di luar negara.

“Ia merupakan satu penghormatan dan kebanggaan besar buat Sarawak serta peluang berharga untuk mengetengahkan pasukan Tarian Singa Utara kami di pentas antarabangsa dengan rutin asli yang menampilkan elemen muzik tradisional Sarawak, sape, serta tarian ngajat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Persekutuan atas pencalonan tersebut.

Jurulatih pasukan Calvin Kong berkata, pasukan tersebut telah menjalani latihan intensif walaupun berdepan kekangan masa persiapan.

“Kami akan memberikan yang terbaik untuk Malaysia dan Sarawak. Kami juga berharap dapat memperoleh pendedahan serta pengalaman berharga untuk kejohanan akan datang,” katanya.

Acara Tarian Singa Utara dijadualkan berlangsung pada 19 Januari 2026, dengan persaingan sengit daripada pasukan-pasukan dari China, Hong Kong, Korea, Indonesia, Vietnam dan Malaysia.

Pasukan Tarian Singa Utara CMAA telah berlepas ke Sanya selepas menerima bendera Malaysia dan DLDFM pada satu majlis ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disempurnakan oleh Naib Presiden DLDFM Clement Tan serta Timbalan Setiausaha Kong Pui Ling.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:31 PM | Show all posts
PKR Lawas santuni anak Lawas yang akan meneruskan pengajian di Politeknik Kuching
Januari 17, 2026, Sabtu - 4:37pm



Zahid (kiri) menyerahkan bantuan kewangan pendidikan kepada seorang pelajar yang juga anak Lawas.

LAWAS: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lawas menyantuni seorang anak Lawas yang akan meneruskan pengajian di Politeknik Kuching melalui penyerahan bantuan kewangan pendidikan, semalam.

Ketua Cabang PKR Lawas Zahid Matserudin berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga, khususnya bagi kos awal pendaftaran, penginapan dan keperluan pembelajaran.

Katanya, pendidikan adalah pelaburan masa depan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak Lawas tidak tercicir hanya kerana kekangan kewangan.

“Semoga bantuan ini memberi semangat untuk terus berjaya dan mengharumkan nama Lawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:32 PM | Show all posts
150 pelajar SMK Sibu Jaya terima pendedahan kepentingan STEM
Januari 17, 2026, Sabtu - 4:48pm



Lulie menyampaikan ceramah kepada pelajar SMK Sibu Jaya dalam usaha meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang STEM.

SIBU: Seramai 150 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya menerima pendedahan penting terhadap dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi program jangkauan pendidikan ‘Delving into Science and Motivation’ yang berlangsung di sekolah tersebut, hari ini.

Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Gambut Malaysia (MPS) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) Cawangan Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak serta Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dengan sokongan penuh pihak pengurusan dan guru-guru SMK Sibu Jaya.

Menurut kenyataan media penganjur, inisiatif ini bertujuan menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang STEM, di samping membina keyakinan diri, kemahiran pembelajaran yang berkesan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penguasaan bahasa dalam dunia sains moden.

Antara pengisian utama program ialah penyampaian ceramah inspirasi oleh Presiden MPS merangkap Pengerusi ASM Cawangan Sarawak Datu Dr Lulie Melling bertajuk 'Lighting the Torch: My Journey as a Scientist.'

Menerusi ceramah tersebut, Lulie membawa pelajar menyusuri perjalanan hidup beliau daripada seorang anak Sarawak kepada seorang saintis yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:32 PM | Show all posts


Lulie berinteraksi secara langsung dengan pelajar semasa sesi bimbingan dan perkongsian ilmu dalam program berkenaan.

Beliau menegaskan kejayaan dalam bidang sains tidak hanya bergantung kepada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya memerlukan disiplin, sahsiah yang kukuh, ketekunan serta daya tahan dalam menghadapi cabaran.

Menurut beliau, pendidikan merupakan 'perlindungan dan kekuatan' kepada seseorang individu, selain berperanan sebagai pasport yang membuka pelbagai peluang dalam kehidupan.

Mesej tersebut memberi kesan mendalam kepada pelajar apabila mereka melihat contoh nyata seorang saintis yang datang daripada latar belakang sederhana, namun mampu mencapai kejayaan melalui usaha berterusan.

Selain bersifat motivasi, penyampaian Lulie turut sarat dengan nilai praktikal yang mendorong pelajar melihat sains sebagai laluan kerjaya yang realistik dan berpotensi.

Dalam sesi kedua bertajuk 'Study Smarter, Not Harder – Fuel Your Brain for A’s,' beliau berkongsi teknik pembelajaran berasaskan bukti seperti active recall, ulang kaji berperingkat serta pengurusan masa yang berkesan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:33 PM | Show all posts


Lulie berinteraksi secara langsung dengan pelajar semasa sesi bimbingan dan perkongsian ilmu dalam program berkenaan.

Lulie turut menekankan kepentingan rutin harian yang konsisten bagi membantu pelajar mengekalkan fokus dan prestasi akademik.

Di samping itu, aspek penjagaan kesihatan seperti pemakanan seimbang, pengambilan air yang mencukupi serta tidur berkualiti turut diberi penekanan sebagai faktor penting dalam menyokong fungsi otak.

Pendekatan menyeluruh ini mengukuhkan mesej bahawa kejayaan dalam STEM bukan hanya bergantung kepada kecerdasan minda, tetapi juga kesejahteraan fizikal dan mental.

Secara keseluruhannya, program ini membuktikan bahawa pelajar sekolah harian juga mampu menerima pendedahan STEM berkualiti tinggi.

Kejayaan penganjuran program ini turut disumbangkan oleh komitmen Pengetua SMK Sibu Jaya Tan Kok Aun bersama barisan guru yang membuka ruang kerjasama dengan institusi luar.

Kerjasama antara MPS, ASM Sarawak, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan UTS memperlihatkan sinergi yang kukuh dalam memperkasa budaya STEM di peringkat sekolah.

Melalui pendekatan inklusif, program ini berjaya membina keyakinan pelajar bahawa mereka juga berpotensi menceburi bidang sains dan teknologi.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:34 PM | Show all posts


Lulie Melling membimbing pelajar secara dekat untuk memberi dorongan kepada mereka agar lebih yakin dalam bidang sains.

Inspirasi yang disampaikan oleh Lulie memberi gambaran jelas bahawa STEM bukan bidang eksklusif, sebaliknya terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan ibu bapa bagi memastikan minat terhadap pembelajaran serta disiplin diri terus dipupuk di luar waktu persekolahan.

Sementara itu, satu lagi sesi penting disampaikan oleh Dr Cassandra Lau dari Pusat Pengajian Asasi Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak bertajuk 'The Importance of English in Science.'

Cassandra menegaskan Bahasa Inggeris merupakan bahasa global bagi sains dan inovasi.

Beliau turut berkongsi strategi praktikal untuk membantu pelajar membina keyakinan dalam komunikasi saintifik, khususnya dalam konteks Program Dwibahasa (DLP).

Sesi tersebut menekankan bagaimana penguasaan bahasa mampu membuka pintu kepada ilmu pengetahuan, pendidikan tinggi serta penglibatan di peringkat global.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-1-2026 01:34 PM | Show all posts


Pelajar SMK Sibu Jaya tekun mengikuti sesi pembelajaran dan aktiviti yang disediakan sepanjang Program 'Delving into Science and Motivation.'
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:34 PM | Show all posts


Lulie (duduk, lima kiri) merakam kenangan bersama 150 pelajar SMK Sibu Jaya dan warga pendidik selepas Program 'Delving into Science and Motivation' yang bertujuan menyemarakkan minat terhadap bidang STEM.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:36 PM | Show all posts
Nanta hadiri perhimpunan Tahun Baharu anjuran KMKK Cina Kapit
Januari 17, 2026, Sabtu - 4:51pm



Nanta (duduk, enam kiri) bersama KMKK Cina Kapit serta tetamu kehormat pada majlis perhimpunan sempena Tahun Baharu 2026 di Kapit, malam Jumaat. Turut kelihatan (duduk, dari kiri) Pasang, Wong, Bidah, Robert, Jamit, Elvis, Thomas, Jabang dan Sia.

KAPIT: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi hadir pada Majlis Perhimpunan Tahun Baharu anjuran ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Cina Kapit bertempat di Happy Garden, Bleteh, malam Jumaat.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Anak Negeri dan Adat Istiadat) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Ambrose Abong Bugek, Setiausaha Politik Premier Sarawak Watson Awan Jalai, Residen Kapit Elvis Didit, Timbalan Residen Kapit Robert Liman, Pegawai Daerah Kapit Thomas Kendawang, Pegawai Daerah Bukit Mabong Jabang Juntan, Pegawai Daerah Belaga Bidah Lujah serta Pemanca Pasang Tubak.

Sementara KMKK Cina Kapit yang hadir ialah Pemanca Wong Kie Ing, Penghulu Sng Che Hun, Penghulu Jenny Yu Si Geok, Penghulu Sia Shui Poh, Kapitan Yap Hui Li, Kapitan Ling Hang Pin, Kapitan Kong Cheak Hie, Kapitan Neo Kei Hoe, Kapitan Lee See Fong, Kapitan Yiap Yii Hoo dan Kapitan Teo Tian Chai.

Pemanca Wong berharap perhimpunan tersebut menjadi kesempatan yang bermakna untuk memperkukuhkan perpaduan, memupuk persefahaman dan semangat kerjasama antara pemimpin masyarakat dengan wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan dalam membina pasukan kerja yang kukuh.

Beliau berkata, kerjasama yang kukuh antara kerajaan dan masyarakat akan memboleh semua pihak berganding bahu untuk kemajuan dan kemakmuran.

"Sempena menyambut Tahun Baharu 2026, semoga ia membawa kesihatan yang baik, keharmonian dan pembangunan yang berterusan kepada Kapit," ujarnya.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-1-2026 01:39 PM | Show all posts
TEGAS gamit minat pelajar terhadap STEM di SMK TPDPH Normah, Daro
Januari 17, 2026, Sabtu - 5:12pm



Keseronokan anak-anak SMK TPDPH Normah, Daro mempelajari STEM dengan cara yang lebih moden dan mudah difahami.

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menarik minat seramai 1,156 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Puan Datuk Patinggi Hajah Normah (SMK TPDPH Normah), Daro terhadap STEM.

Menurut kenyataan TEGAS hari ini, pihaknya amat komited untuk memupuk minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sempena Hari Kerjaya STEM.

Program tersebut menampilkan Pameran TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) yang memperlihatkan pelbagai teknologi interaktif dan inovatif bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap dunia teknologi masa hadapan.

Antara tarikan utama pameran berkenaan termasuk permainan PS5, teknologi Realiti Maya (VR), Flight Simulator, Smart IQ Puzzle serta MTiny Robot yang memberi pengalaman pembelajaran secara praktikal dan menyeronokkan kepada pelajar.

Menurutnya juga, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman mampu merangsang kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah serta meningkatkan minat pelajar terhadap bidang STEM yang semakin penting dalam era digital dan berteknologi tinggi.

“Melalui pameran seperti ini, TEGAS berusaha memperkasakan belia Sarawak dengan pengetahuan dan kemahiran inovatif agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran serta peluang dalam dunia pekerjaan masa hadapan,” ujarnya lagi.

Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi TEGAS untuk melahirkan generasi muda Sarawak yang berdaya saing, berpengetahuan dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negeri.


Sumber : Utusan Borneo
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-2-2026 07:57 PM GMT+8 , Processed in 1.040408 second(s), 28 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list