NUSAJAYA - Rakyat Johor digalakkan untuk bekerja di negeri sendiri memandangkan Johor semakin membangun dan mempunyai banyak peluang pekerjaan berbanding di negara jiran terutamanya Singapura. Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, R.Vidyanathan berkata, adalah lebih baik rakyat di negeri itu untuk memenuhi setiap peluang pekerjaan yang ditawarkan seperti dalam bidang gas dan minyak, hospitaliti serta kejuruteraan. "Di Johor ini semakin berkembang, ada berbagai-bagai peluang pekerjaan yang ditawarkan, jadi bagus untuk bekerja di tempat sendiri antaranya termasuklah di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dan Projek Petrokimia Bersepadu (Rapid) di Pengerang, Kota Tinggi, berbanding di tempat lain," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan program Azam Kerja Night Career Fair 2013 di Bangunan Datuk Jaafar Muhammad di sini hari ini. Menurut Vidyanathan lagi, hasil pemerhatiannya, kecenderungan golongan muda yang gemar bekerja di negara seberang tambak itu semakin meningkat disebabkan nilai mata wang yang tinggi. "Tidak dinafikan gaji di Singapura lebih tinggi, namun bagaimana pula kesannya kepada rakyat kita yang bekerja di sana? Pergi kerja pagi dan balik lewat malam hingga ada yang keluarganya terabai dan bercerai-berai manakala anak-anak pula terlibat dalam masalah sosial. "Ada pula mereka yang diberhentikan kerja terpaksa menanggung banyak hutang daripada bank. Sebaliknya jika mereka bekerja di sini kebajikan mereka lebih terjamin kerana dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala bila bersara ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya ketika diminta mengulas mengenai kecenderungan rakyat khususnya penduduk negeri ini bekerja di Singapura.
|