Dua tahun lalu, akibat perselisihan faham, suami saya ada melafazkan kata: “Aku ceraikan kau… Bila kau nak? Sekarang? Esok?” Apa yang saya faham ialah suami dengan niat mahu menceraikan saya, tetapi apabila waktunya bergantung kepada saya. Waktu itu saya hanya mendiamkan diri supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan dan mengelak kemungkinan dicederakan.
Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian saya ada minta diceraikan 'sekarang' kerana tidak tahan sikap barannya.
Selepas itu ada juga insiden dia melafazkan taklik, tapi tidak habis dan saya faham apa yang dimaksudkan. Dia juga pernah ucapkan selamat tinggal kepada saya.
Terlalu banyak yang keluar daripada mulut suami menjurus kepada perpisahan. Persoalannya adakah kami masih sah sebagai suami isteri dengan merujuk ucapan: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Esok?”
Sehingga hari ini jiwa saya menganggap dia bukan suami, malah secara spontan saya menolak apabila dia cuba menyentuh saya.
Saya menjerit ketakutan kerana jiwa saya sudah menganggap dia sebagai orang lain. Jiwa saya kuat mengatakan yang kami bukan suami isteri lagi.
Saya tidak ada kekuatan untuk merujuk perkara ini kepada mana-mana pihak termasuk keluarga kerana mungkin keluarga bakal memulaukan saya.
Ziela,
Johor
Pada pandangan saya kata-kata yang dikeluarkan suami bukan sangat menginginkan perceraian. Ia dikeluarkan akibat marah atas perselisihan faham dan berlaku pertengkaran antara anda berdua.
Dengan kata lain suami masih ingin tinggal bersama dengan anda dan tidak mahu menceraikan anda.
Ia lebih berbentuk ugutan dan cadangan semata-mata. Bagaimanapun, kata-kata cerai sepatutnya tidak dipermain-mainkan sama sekali.
Sebenarnya lafaz cerai ada berbentuk sarih (jelas) dan kinayah (tidak jelas). Bagaimanapun, lafaz yang disebut di atas seperti: “Aku ceraikan kau…Bila kau nak? Sekarang? Besok?” adalah bersyarat (taklik).
Kata-kata selamat tinggal berbentuk kinayah dan memerlukan niat. Ia perlu dijelaskan oleh suami puan, sama ada berniat untuk bercerai dengan kata-kata berkenaan.
Anggapan puan bukan lagi isteri kerana berasa sudah berlaku perceraian adalah persepsi sendiri.
Hanya suami dan mahkamah syariah yang akan menentukan kedudukan pernikahan puan.
Ini dapat dilakukan dengan bertanya kedudukan sebenar puan di sisi suami atau melaporkan kepada mahkamah syariah.
Sememangnya setiap pasangan tidak mahu berlaku perceraian.
Bagaimanapun, perkara sebegini perlu diselesaikan bagi meneruskan kehidupan sebagai suami isteri atau kehidupan lain apabila ternyata berlaku perceraian.
|