|
Ratu Fesyen Dan Jaguh Squash Bakal Diijabkabul
KUALA LUMPUR, 28 NOV 2012: Setelah 5 tahun mengenal hati budi masing-masing, akhirnya usahawan fesyen berjaya Yiu Lin, 33 dan pemain squash 10 teratas dunia, Mohd Azlan Iskandar, 30 bakal diijabkabulkan pada 8 Disember ini.
Memilih lokasi di atas bukit iaitu resort serba indah dikenali Casabrina Villa di Raub, Pahang, hari bahagia pasangan popular sama cantik dan sama padan ini bakal disaksikan 300 tetamu yang terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat.
Bercakap kepada portal murai.com.my sebentar tadi, Yiu Lin berkata majlis perkahwinannya itu nanti akan berlangsung dalam suasana tenang, berkonsepkan taman tetapi mempunyai citarasa organik dan tidak terlalu glamor.
"Ramai orang keliru dengan kami berdua. Kerana hakikatnya kami berdua sangat bersederhana dan suka berahsia kerana masing-masing tahu erti kepayahan untuk mencapai tahap yang kami kecapi sekarang ini," katanya yang sudah pun memeluk agama Islam.
Yiu Lin merupakan pemilik jenama fesyen terkenal Shoe Shoe Shoe dan KLutched, manakala Mohd Azlan Iskandar merupakan bintang squash terkenal tanah air dan berada di tangga ke-8 dunia.
Majlis perkahwinan mereka akan berlangsung selama sehari yang akan dimulakan dengan acara minum teh yang menjadi tradisi masyarakat China, diiukti dengan akad nikah pada sebelah tengah hari dan diakhiri dengan acara makan malam.
Bakal menyarungkan persalinan rekaan pereka fesyen disegani, Rizalman Ibrahim bakal pengantin idaman ini akan bersemi di atas pelamin cantik tajaan Occasions Wedding Planner, diserikan dengan cahaya lilin Diptyque Paris, manakala juadah akan disediakan oleh Hotel Westin, Kuala Lumpur.
Menurut Yiu Lin,Mohd Azlan telah melamarnya sejak 2 tahun lalu, bagaimanapun hanya sekarang mereka berdua dapat mengakhiri zaman bujang bersama kerana kesibukan dengan perusahaan fesyen dan juga mencipta nama sebagai bintang sukan bertaraf dunia.
"Memang kami berdua sangat sibuk. Lebih 3 tahun, Azlan menetap di London untuk menjalani latihan di sana dan sekarang dia mengambil keputusan untuk berhenti daripada bermain squash dan mengusahakan perniagaannya sendiri di sini.
"Manakala saya pula sibuk dengan bidang fesyen. Asyik terbang ke sana ke mari untuk memperkenalkan jenama fesyen saya. Syukur selepas ini, KLutched akan berada di Gallery Lafayette di Paris dan Shoe Shoe Shoe pula akan berada di Hong Kong dan China," katanya panjang lebar.
Tambah Yiu Lin, Mohd Azlan merupakan seorang jejaka yang ringkas tetapi penuh dengan iltizam, berdisiplin dan cepat mempelajari sesuatu yang baru.
Perkara paling membuatkan dirinya tertarik dengan Mohd Azlan, apabila bintang sukan itu membelikannya pembersih hampagas atau vacume cleaner iaitu antara benda yang tidak akan dibelinya selain barangan fesyen.
"Dia seorang yang bekerja keras. Sebab itu dia berazam untuk mendapat tempat ke-8 sebagai pemain squash terbaik dunia sebelum mencecah usia 30 tahun dan dia sudah kecapinya.
"Malah sebagai individu, dia bukanlah seperti lelaki biasa. Dia tidak pernah menilai saya dari sudut luaran walaupun dunia saya adalah fesyen tetapi dia sangat memahami dan kami sama-sama berusaha keras untuk mencapai sesuatu," katanya. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|