
Uggah berucap sempena majlis tersebut. - Gambar UKAS
KUCHING: Pembangunan infrastruktur yang semakin pesat disertai pelbagai inisiatif kebajikan rakyat terus menjadi bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berkata, pembangunan Sarawak kini berjalan rancak, termasuk siapnya pembinaan lapan jambatan pada tahun lalu dan sembilan lagi projek jambatan yang bakal siap tahun ini, di samping peningkatan hasil pendapatan negeri yang semakin kukuh.
“Kekuatan perpaduan rakyat Sarawak menjadi asas utama kejayaan pembangunan negeri, sekali gus membolehkan pelbagai bantuan kerajaan disalurkan kepada semua golongan sasar, daripada petani dan pelajar hingga warga emas serta golongan berpendapatan rendah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik: Kamek Prihatin, Kitak Penting Zon Betong Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Spaoh di Betong pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Dato Razaili Gapor dan ADUN Kalaka Mohammad Duri.
Justeru, Uggah menegaskan sokongan berterusan masyarakat di Betong terhadap kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memperkenalkan pelbagai dasar dan program komprehensif bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.
Beliau yakin dengan perpaduan yang kukuh serta kerjasama semua pihak, pelbagai program dan projek pembangunan yang dirancang kerajaan negeri akan terus dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

Uggah (kanan) diiringi Fatimah (dua kanan) melawat pameran yang diadakan sempena Program Outreach KPWK Bersama Rakan Strategik di Betong, hari ini. - Gambar UKAS
Dalam ucapannya, Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) yang bersama-sama menjayakan program berkenaan, sambil menyatakan harapan agar lebih banyak kemudahan pembangunan seperti kampus tetap CENTEXS dapat diwujudkan di Betong pada masa hadapan.
Menurut Uggah, program outreach atau jangkauan komuniti tersebut amat bermakna kepada rakyat kerana pelbagai urusan kini dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah.
Antaranya, pemohon yang layak boleh menerima Kenyalang Gold Card (KGC) secara terus pada hari program, selain urusan pertukaran alamat kad pengenalan yang dapat diproses dalam tempoh singkat melalui penyertaan agensi berkaitan.
Turut disediakan ialah perkhidmatan saringan kesihatan bagi memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Pada masa sama, beberapa keperluan setempat turut diketengahkan, termasuk cadangan penubuhan Betong One-Stop Early Intervention Centre (OSEIC), keperluan mempercepat proses permohonan bantuan kebajikan serta usaha meningkatkan akses teknologi dalam kalangan penduduk luar bandar.
Turut berlangsung adalah Simbolik Penyampaian Hamper Sejambak Kasih Tahun Baru Cina dan Simbolik Penyampaian Inisiatif Kerajaan Sarawak seperti Bantuan Ibu Bersalin (BIS), Endowment Fund Sarawak (EFS), KGC, Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan Bantuan Perubatan.
Sumber : Utusan Borneo
|