CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 23499|Reply: 0

[Sabah] Pelaburan perlombongan emas Sabah berdepan cabaran lesen

[Copy link]
Post time 10-2-2026 04:22 PM | Show all posts |Read mode


Lo Fui Ming

TAWAU: Kekayaan sumber mineral di Sabah termasuk emas, tembaga, bijih besi dan arang batu berpotensi besar menjana ekonomi negeri.

Namun difahamkan kekangan proses pelesenan yang panjang dan ketiadaan jaminan lesen melombong antara faktor utama menyebabkan pelabur masih berwaspada untuk menceburi industri itu.

Pengasas sebuah syarikat perlombongan di Tawau, Datuk Lo Fui Ming, berkata walaupun Sabah dikenal pasti mempunyai lebih 34 kawasan berpotensi mineral, tidak ramai syarikat tempatan atau dari Semenanjung berani melabur dalam perlombongan kerana risikonya yang tinggi.

Katanya, dua syarikat miliknya merupakan antara syarikat tempatan terawal meneroka perlombongan emas di Bukit Mantri dan Bukit Tundong, Balung, di sini sejak 2014.

“Berdasarkan pengalaman saya hampir 15 tahun dalam industri perlombongan emas, sebelum ini hampir tiada rakyat Malaysia berani menceburi sektor perlombongan di Sabah.

“Namun kebelakangan ini, terdapat perubahan positif apabila kerajaan negeri mula mengeluarkan lebih banyak lesen eksplorasi kepada syarikat tempatan dan dari Semenanjung,” katanya.

Lo berkata, perkembangan itu memberi harapan baharu kepada ekonomi Sabah kerana setiap kawasan perlombongan mampu menyediakan kira-kira 300 hingga 600 peluang pekerjaan bergantung kepada keluasan dan produktiviti lombong.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan aktiviti perlombongan memerlukan pematuhan ketat terhadap pelbagai peruntukan undang-undang.

“Syarikat perlu mematuhi Ordinan Perlombongan 1960 dan Ordinan Tanah Sabah Bab 68, selain melalui proses kelulusan yang panjang sehingga mencecah tujuh tahun sebelum operasi boleh dimulakan.

“Proses bermula dengan mengenal pasti kawasan berpotensi, memohon lesen mencarigali daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) melalui Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), mendapatkan pelepasan Jabatan Perhutanan Sabah, menjalankan kajian kebolehlaksanaan mengikut garis panduan JORC, sebelum dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk pewartaan kawasan perlombongan,” katanya.

Beliau berkata, selepas pewartaan dan perjanjian perlombongan dimeterai, syarikat masih perlu mendapatkan kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) khas dan operasi, selain Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) sebelum boleh memulakan pengeluaran.

Lo turut meluahkan kebimbangan pelabur apabila lesen eksplorasi yang diperoleh tidak menjamin syarikat terbabit akan dianugerahkan lesen melombong walaupun telah melaburkan kos eksplorasi yang tinggi.

“Kerajaan negeri berhak memberikan lesen melombong kepada pihak lain. Keadaan ini menakutkan pelabur kerana kos eksplorasi boleh mencecah puluhan juta ringgit tanpa jaminan pulangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Sabah dapat menyediakan garis panduan yang lebih jelas dan meyakinkan berkaitan hubungan antara lesen eksplorasi dan lesen melombong bagi menarik lebih ramai pelabur.

Beliau juga mencadangkan agar JTU berurusan terlebih dahulu dengan Jabatan Perhutanan Sabah sebelum mengeluarkan lesen mencarigali supaya syarikat tidak berdepan kesukaran memasuki kawasan hutan simpan yang diluluskan untuk eksplorasi.

“Jika proses ini dipermudahkan, industri perlombongan Sabah boleh berkembang lebih pesat dan memberi manfaat besar kepada ekonomi negeri serta rakyat tempatan,” katanya.


Sumber : Utusan Borneo

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-2-2026 01:23 PM GMT+8 , Processed in 0.120323 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list