SEBANYAK 2,000 set kerusi dan meja disumbangkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk diagihkan kepada Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ) yang terpilih. FOTO Ihsan RPO
Johor Bahru: Sebanyak 2,000 set kerusi dan meja disumbangkan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk diagihkan kepada Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor (SAKNJ) yang terpilih.
Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan YSIJ dalam memastikan fasiliti pendidikan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sumbangan kerusi dan meja itu disempurnakan Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh kepada Timbalan Pengarah (Pendidikan Agama) Bahagian Pendidikan Islam JAINJ Md Radhi Ruslan dalam satu majlis sebagai simbolik di Sekolah Agama Taman Skudai Baru, di sini, semalam.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.
Md Radhi berkata, sumbangan berkenaan memberi makna yang besar dalam membantu perkembangan pendidikan Islam di negeri itu.
"JAINJ amat menghargai keprihatinan YSIJ. Kelengkapan yang selesa secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah-sekolah yang terpilih," katanya.
YSIJ turut mengagihkan 460 pek makanan kepada murid Sekolah Agama Taman Skudai Baru sempena majlis serahan itu.
|