Tiga termasuk dua kanak-kanak maut dalam kemalangan kereta di Kulim
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 18, 2026 @ 7:31pm

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta Perodua Viva yang terbabit kemalangan dengan sebuah lari kereta di Sungai Kob. - Foto NSTP/Ihsan BOMBA
KULIM: Tiga dilaporkan meninggal dunia termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Kob, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 5.09 petang tadi.
Beliau berkata, sepasukan lima anggota dari BBP Kulim Hi Tech yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohamad Yazan Yahaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui 999 memaklumkan terdapat kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kereta dan terdapat tiga orang mangsa tersepit dalam salah kereta terbabit.
"Komander Operasi melaporkan, setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua buah kereta iaitu sebuah Perodua Viva dan sebuah Proton S70 bertembung dan terbabas ke bahu jalan.
"Pemandu kereta Perodua Viva tersepit dan dua kanak-kanak lelaki berada di dalamnya.
"Ketiga-tiga mangsa dipercayai meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi.
"Kereta Proton S70 dilaporkan terbakar di tempat kejadian dan pemandunya seorang lelaki berjaya keluar dari kereta dan mengalami kecederaan ringan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Kulim menaiki ambulans KKM, " katanya di sini hari ini.
Azmir berkata, Komander Operasi melaporkan, dua kanak-kanak lelaki di bahagian penumpang kereta Perodua Viva itu dikeluarkan dengan bantuan orang awam manakala pemandunya tersepit.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa.
"Kereta yang terbakar dipadamkan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kulim dengan menggunakan salur bantu mula sehingga dipadam sepenuhnya, " katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1498356/tiga-termasuk-dua-kanak-kanak-maut-dalam-kemalangan-kereta-di-kulim
|