Batu Kawan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memerlukan masa kira-kira dua minggu bagi menyiapkan laporan siasatan berhubung kejadian letupan penghawa dingin yang mengorbankan seorang kontraktor termasuk sembilan cedera di sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman, berkata sehingga kini punca kejadian itu masih dalam siasatan pihak forensik kebakaran bomba (FIO) dan tiada sebarang pengumuman dapat dibuat.
Katanya, sebagai agensi teknikal JBPM tidak boleh membuat andaian awal berhubung insiden itu dan perlu melalui pelbagai proses sebelum mengenalpasti punca sebenar kejadian.
"Kes ini, FIO di peringkat ibu pejabat juga turut melakukan siasatan dari segenap aspek.
"Ia (siasatan) bukan sahaja membabitkan 'equipment' (peralatan) tetapi kita juga buat rakaman percakapan bukan sahaja daripada pihak pemilik (bangunan universiti), malah daripada pihak pengeluar (pembuat penghawa dingin).
Maka banyak proses lagi (perlu dilalui).
"Buat masa ini kita bagi (masa) dua minggu sebab dari segi kita nak umumkan (mengenai) punca, kita kena pastikan betul-betul punca yang sebenar yang kita tak boleh buat andaian awal, apatah lagi kita agensi teknikal tak mampu untuk membuat ramalan awal yang kita akan terus pergi kepada pengesahan (apabila siasatan selesai)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung perkembangan siasatan kes kebakaran terbabit.
Terdahulu, Ahmad Izram hadir pada Program Sumbangan Kebajikan dibawah Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (PERISMA) Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang, di sini, tadi.
Mengulas lanjut, Ahmad Izram, berkata bomba turut mengambil beberapa sampel di lokasi kejadian untuk dianalisa bagi melengkapkan siasatan.
"Analisa ini juga bergantung kepada kerumitan yang sekiranya peralatan kita semua cukup antaranya mesin (teknik analisis kimia) 'Gas chromatography Mass Scpectormetry (GC-MS) kita pun cukup ia mengambil masa antara satu minggu atau lebih sikit.
"Kadang-kadang mesin (GC-MS) ini ambil masa juga tetapi kalau memerlukan peralatan lebih canggih kita akan rujuk kepada pihak makmal bertauliah luar," katanya.
Pada Isnin lalu, media melaporkan seorang kontraktor berusia 24 tahun maut manakala sembilan cedera apabila sebuah kompresor unit penyaman udara meletup di sebuah universiti swasta di Jalan Semantan, Bukit Damansara.
Letupan terbabit berlaku di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan dengan kafeteria di tingkat empat bangunan berkenaan.