
Operasi persekolahan tetap diteruskan seperti biasa semalam walaupun beberapa kawasan rendah masih digenangi air.
SELANGAU: Operasi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pelugau berjalan seperti biasa di sebalik kawasan sekolah yang rendah masih dilaporkan dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda daerah Selangau sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau Leftenan (PA) Luke Douglas Dongum berkata, hasil pemantauan yang dijalankan petang tadi mendapati paras air di kawasan terlibat pada anggaran kira-kira satu kaki dan menunjukkan trend penurunan.
Menurut beliau, tinjauan dilakukan bagi menilai tahap keselamatan dan kesan banjir terhadap operasi sekolah.
Katanya, walaupun terdapat limpahan air di kawasan rendah sekitar sekolah, keadaan setakat ini masih terkawal dan tidak menjejaskan keselamatan murid, guru serta kakitangan sekolah.
“Pihak pengurusan sekolah memaklumkan bahawa sesi pengajaran dan pembelajaran diteruskan seperti biasa dan keadaan masih selamat untuk operasi persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Luke berkata, pihak APM turut mengambil kira faktor cuaca semasa yang mendung serta paras air yang menunjukkan penurunan sebagai petunjuk positif terhadap situasi semasa di lokasi berkenaan.
Tambah beliau, pemantauan tersebut dilakukan susulan hujan lebat di beberapa kawasan di daerah Selangau khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko dinaiki air.
Beliau menegaskan, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan berkala bagi memastikan keadaan kekal terkawal dan sebarang perubahan paras air dapat dikesan lebih awal.
“Langkah kesiapsiagaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terjamin, khususnya jika berlaku perubahan cuaca atau peningkatan paras air secara mendadak,” ujarnya.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penduduk setempat turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
APM Selangau akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan orang awam mendapat perkembangan tepat berhubung situasi banjir di kawasan berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|