Bayan Lepas: Kawasan di Bukit Relau di sini yang tular selepas dikatakan terbabit dengan penebangan hutan secara tidak sah, dikenalpasti sebagai tanah milik persendirian dan dalam kategori 'Gred Pertama'.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, kerja penebangan dan pembersihan tanah yang dilakukan di bukit itu juga disahkan bukan daripada kerajaan.
"Saya mengambil maklum aduan awam yang berlegar di media sosial mengenai penebangan pokok di atas bukit berkenaan.
"Pemeriksaan menerusi dron sudah dibuat dan didapati tiada kerja tarahan tanah tetapi hanya kerja penebangan pokok dilakukan secara manual," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, bagi pihak berkuasa tanah dan daerah tiada klausa untuk menghalang aktiviti berkenaan dan segala perancangan oleh pemilik tanah.
"Tanah bukit berkenaan didapati terletak dalam Mukim 10 dan bukan hutan simpan seperti yang didakwa.
"Teguran dan amaran atas kerja pembakaran secara terbuka yang mencemar alam sekitar akan dibuat," katanya lagi.
Semalam, tular di Facebook selepas pengguna memuat naik hantaran mendakwa berlaku kejadian bukit ditarah dan boleh dilihat di kawasan Teluk Kumbar.
"Sesiapa di sini tahu bukit ini ditarah sebegini? Kalau tak silap saya hutan ini adalah dalam kategori hutan simpan," tulis pengguna terbabit.