
Abang Johari bersama anaknya, Dayang Norjihan (enam kiri) serta tetamu lain memotong Pulut Kuning sebagai tanda ulang tahun ke-9 sebagai Premier. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Kegagalan memahami sejarah pembentukan Malaysia dalam kalangan generasi baharu berisiko mencetuskan kekeliruan serta membuka ruang kepada usaha menafikan hak dan kedudukan istimewa Sarawak dan Sabah yang dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hak Sarawak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak boleh dipertikai atau dipadamkan sewenang-wenangnya kerana ia merupakan dokumen antarabangsa yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Jika generasi baharu tidak mengetahui sejarah ini, bagaimana mereka akan memahami mengapa Sarawak dan Sabah mempunyai hak tertentu?
“Jika Perlembagaan dipinda dan hak ini dinafikan, kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku,” katanya pada sesi Townhall 9 Tahun Bersama Premier di sini malam tadi.
Abang Johari menjelaskan bahawa struktur pembentukan Malaysia sejak awal lagi meletakkan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas, justeru kedua-dua wilayah itu wajar mengekalkan satu pertiga pegangan bagi melindungi masa depan negara.
Beliau turut menegaskan autonomi Sarawak dalam hal ehwal tanah, sambil menyatakan bahawa Sarawak tidak tertakluk kepada Kanun Tanah Negara seperti di Semenanjung Malaysia.
“Di Semenanjung ada Kanun Tanah Negara, tetapi Sarawak mempunyai Kanun Tanah Sarawak sendiri. Kita berdikari dari segi urusan tanah.
“Apa yang terpakai di Malaya tidak semestinya terpakai di Sarawak. Ini adalah sejarah dan peruntukan khusus,” katanya.
Menurut beliau, masih ramai pihak di Semenanjung yang tidak memahami struktur Perlembagaan Malaysia berkaitan hak Sarawak, sekali gus menuntut penjelasan dan kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai MA63.
Mengulas lanjut, Abang Johari menegaskan bahawa MA63 bukan sekadar perjanjian politik, sebaliknya sebuah dokumen sah di peringkat antarabangsa.
“Sepatutnya kita merdeka pada 31 Ogos, tetapi pembentukan Malaysia ditangguhkan ke 16 September susulan bantahan dan semakan oleh PBB selepas Filipina dan Indonesia membangkitkan isu tertentu. Ini membuktikan bahawa MA63 melalui proses antarabangsa yang sah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menolak pandangan bahawa representasi politik harus ditentukan semata-mata berdasarkan jumlah penduduk, sambil menegaskan prinsip keadilan dalam demokrasi seperti yang diamalkan dalam sistem Westminster.
“Demokrasi bukan hanya soal angka, tetapi keadilan dan suara untuk semua. Inilah yang perlu kita pertahankan demi kekuatan Malaysia,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa Malaysia hanya akan menjadi sebuah negara yang kuat jika seluruh rakyat memahami sejarah, struktur Perlembagaan dan asas sebenar pembentukan Persekutuan Malaysia, termasuk kedudukan dan hak Sarawak seperti yang dijamin di bawah MA63.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof; dua Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; serta menteri-menteri kabinet lain.
Sumber : Utusan Borneo
|