
BETONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung satu rakaman video yang tular memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan penggunaan senjata parang di Pasar Medan, di sini.
Ketua Polis Daerah Betong DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Betong.
Katanya, insiden membabitkan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata berbahaya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya di tempat awam dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambahnga, pada 12 Januari lalu kira-kira jam 4.30 petang, seorang lelaki berumur 35 tahun berjaya ditahan di tepi Jalan Betong.
Turut dirampas sebilah parang yang ditemui di dalam kenderaan suspek ketika pemeriksaan dijalankan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Permohonan reman ke atas suspek telah diluluskan selama empat hari,” katanya.
Tambahnya, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Sementara itu, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes bagi membantu siasatan lanjut.
Sumber : Utusan Borneo
|