|
Cukai ke atas fasiliti terkawal dalam sektor minyak, gas dan tenaga akan disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim

Abang Johari bersama Uggah, Awang Tengah, Dr Sim dan tetamu kehormat yang lain bergambar kenangan pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak hari ini. -Gambar Chimon Upon
“Secara kolektif, usaha-usaha ini telah mengubah kedudukan Sarawak.”
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Premier Sarawak
KUCHING: Sarawak akan melaksanakan cukai karbon ke atas fasiliti terkawal dalam sektor minyak, gas dan tenaga mulai tahun ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, hasil daripada cukai itu akan disalurkan ke dalam Dana Perubahan Iklim khusus untuk menyokong pelaksanaan tenaga diperbaharui, kecekapan tenaga, pemuliharaan hutan, pemodenan grid elektrik serta inisiatif daya tahan terhadap perubahan iklim.
“Secara kolektif, usaha-usaha ini telah mengubah kedudukan Sarawak.
“Kita tidak lagi dilihat hanya sebagai ekonomi berasaskan sumber semula jadi tetapi semakin diiktiraf sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dalam transformasi ekonomi serantau dan global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Cukai karbon diperkenalkan di bawah Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023, berlandaskan kedudukan kewangan Sarawak yang semakin kukuh serta rangka institusi yang diperkuatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Selain itu, Abang Johari menegaskan Sarawak sedang meneroka pendekatan ekonomi kitaran dalam fasa pembangunan seterusnya, di mana sisa dilihat bukan sahaja sebagai kos yang perlu diuruskan tetapi sebagai sumber nilai dan inovasi yang berpotensi.
“Prinsip ekonomi kitaran akan diterapkan merentasi sisa perbandaran, produk sampingan industri, residu pertanian dan bahan binaan, dengan tumpuan beralih dari pelupusan kepada pemulihan, penggunaan semula dan penciptaan nilai.
“Inisiatif sisa-ke-tenaga dan pemulihan bahan akan dijalankan secara terancang dan komersial, mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, meningkatkan kecekapan sumber serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan,” jelasnya.
Dalam sektor pertanian, beliau berkata, biojisim dan sisa organik akan dimanfaatkan untuk menyokong bioenergi, baja bio serta aktiviti pemprosesan hiliran, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan tambahan untuk komuniti luar bandar dan memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga.
“Agenda ekonomi kitaran akan dipacu melalui perkongsian strategik, dengan syarikat milik negeri menjadi pemacu projek utama dan sektor swasta memperluaskan penyelesaian yang berdaya maju secara komersial.
“Disokong oleh cukai karbon dan Dana Perubahan Iklim, pendekatan ini memperkukuh ketahanan hasil negeri dan meneguhkan pembangunan lestari tanpa menjejaskan pertumbuhan,” tambahnya.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sumber : Utusan Borneo
|