Derita Liverpool berterusan, tewas lagi di Brentford
Oktober 26, 2025 @ 6:25am

Pemain Liverpool (dari kiri), Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Hugo Ekitike dan Dominik Szoboszlai kelihatan muram selepas tumbang 2-3 di tangan Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti GTech, London. – Foto REUTERS
LONDON: Juara bertahan, Liverpool terus tenggelam dengan prestasi hambar apabila tewas 2-3 kepada Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, kekalahan keempat berturut-turut mereka dalam saingan liga.
Anak buah Arne Slot dikejutkan seawal minit kelima apabila Dango Ouattara meledak gol menerusi voli selepas lontaran jauh sebelum Kevin Schade menambah jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-45.
Milos Kerkez menghadiahkan sedikit kelegaan buat Liverpool apabila menjaringkan gol pertamanya bersama kelab itu hasil hantaran Conor Bradley pada masa kecederaan babak pertama.
Namun kebangkitan yang diharapkan selepas rehat tidak menjadi kenyataan apabila Igor Thiago menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-60 untuk mengembalikan kelebihan dua gol Brentford.
Mohamed Salah sempat menghidupkan harapan dengan penyudah klinikal pada minit ke-89, tetapi sudah terlambat untuk mengelak kekalahan yang memeritkan di kota London.
Ia menyaksikan kali pertama sejak tahun 2021 Liverpool tewas empat perlawanan liga berturut-turut dengan tiga daripadanya berlaku di ibu kota selepas tunduk kepada Crystal Palace dan Chelsea sebelum ini.
Skuad The Reds kini gagal mencatat 'clean sheet' dalam sembilan perlawanan berturut-turut bagi semua pertandingan dan jatuh ke tangga keenam liga dengan 15 mata, empat mata di belakang pendahulu Arsenal yang berpeluang melebarkan jurang apabila berdepan Crystal Palace malam ini.
Bagi Brentford pula, kemenangan kedua berturut-turut itu melonjakkan mereka ke tangga ke-10 liga, hanya dua mata di belakang Liverpool.
"Setiap orang perlu menilai diri sendiri, termasuk saya. Saya yakin kami mampu keluar daripada situasi ini," kata kapten Virgil van Dijk.
"Tetapi ia tidak akan berlaku hanya dengan bercakap. Kami perlukan satu sama lain, kami perlukan sokongan. Penyokong yang bersorak bersama kami musim lalu perlu bersama kami lebih kuat sekarang. Kami akan bangkit semula kerana kami ada kualiti."
Sementara itu, penyokong tuan rumah dilihat bersorak mengusik Slot dengan nyanyian "you're getting sacked in the morning", walaupun kedudukan pengurus Belanda itu masih selamat buat masa ini.
Namun tanda-tanda kegoyahan Liverpool untuk mempertahankan kejuaraan semakin jelas kelihatan.
Benteng pertahanan The Reds tampak rapuh dan kerap tewas dalam perebutan fizikal, manakala Salah terus menjadi persoalan biarpun menamatkan kemarau jaringan lebih sebulan dalam EPL.
Liverpool kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam aksi Liga Juara-Juara minggu ini, tetapi rentak positif itu gagal diteruskan di pentas domestik dengan kekalahan liga keempat musim ini, jumlah yang sama ketika mereka muncul juara musim lalu.
Slot mengakui pasukannya sudah bersedia menghadapi lontaran jauh Brentford dalam sesi latihan, namun tetap dikejutkan dengan jaringan awal pada malam dingin di tebing Sungai Thames itu.
"Saya mengharapkan persembahan yang lebih baik, tetapi apa yang dipamerkan amat jauh daripada tahap sebenar kami," kata Slot. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/10/1463379/derita-liverpool-berterusan-tewas-lagi-di-brentford
|