Kuala Lumpur: Atlet muda negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mencipta sejarah apabila menjadi atlet pertama memecah rekod kejohanan dalam keempat-empat acara yang disertai termasuk memenangi kesemua pingat emas sekali gus melayakkan dirinya diangkat menjadi Olahragawati Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 Bawah 18 Tahun (B-18) perempuan yang berakhir semalam.
Bagi Izzatul yang mewakili negeri Terengganu, dia mempunyai keyakinan sangat tinggi untuk mencipta sesuatu yang luar biasa pada kejohanan itu selain mempunyai motivasi bagi menutup kariernya di peringkat MSSM dengan sejarah tersendiri.
"Sebenarnya dengan kekuatan dan peningkatan prestasi saya semasa latihan, membuatkan saya yakin untuk memecahkan rekod dalam acara individu serta membantu kuartet Terengganu (4X100 dan 4X400) untuk mencatat masa yangg luar biasa," katanya kepada Arena Metro.
Namun, segala kejayaan itu tidak hadir dengan mudah apabila pelari berusia 17 tahun itu perlu menghadapi pelbagai rintangan termasuk kecederaan yang memaksa dia mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali pulih sepenuhnya.
"Selepas menjalani tempoh pemulihan kecederaan kaki saya selama enam bulan dan berbaki beberapa bulan lagi sebelum pertandingan, barulah bermula program latihan yang lebih terperinci untuk saya.
"Dalam tempoh itu juga penyertaan saya dalam kejohanan remaja dan senior di peringkat antarabangsa turut membantu untuk meningkatkan keyakinan serta keupayaan saya bagi melakukan sesuatu sensasi di kejohanan ini," katanya yang mengalami sedikit kecederaan di buku lali namun tetap berjuang untuk menjulang nama negeri Terengganu.
Sebagai rekod, pada MSSM 2023, pelari kelahiran Terengganu itu juga berjaya memenangi gelaran Olahragawati B-15 selepas memenangi lima pingat emas dan memecah tiga rekod kejohanan.
Untuk makluman, Izzatul Musfirah menyertai acara 100 meter (m) dan berjaya melakukan catatan 11.84 saat (s) memadam rekod lama milik Azreen Nabila Alias, 12.02s yang dilakukan pada 2012.
Untuk acara 200m, dia melakukan 24.24s mengatasi rekod lama milik atlet Sarawak, Ormila Octavia Coddday Nyadau (24.79s, 2024) dan untuk acara 4x100m, kuartet Terengganu melakukan catatan 47.45s untuk meleburkan rekod lama dari pasukan Johor (47.65s, 2024) sementara 4x400m pula, catatan 3:55.47s sudah cukup untuk memadam rekod milik sendiri yang dilakukan pada 2014, 3:58.7s.
Sementara itu, jurulatih olahraga wanita Terengganu, Khairul Azman melihat pencapaian Izzatul tidak mengejutkan dirinya kerana perancangan rapi sudah dilakukan sejak Disember 2024 dan MSSM Perlis adalah pentas untuk dia capai puncak prestasi.
Tambahnya, selepas ini Izzatul akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun sekiranya khidmat pelari itu diperlukan oleh skuad olahraga negara untuk ke Sukan SEA Thailand, dia sedia berkhidmat.