Panglima ATM individu pertama disenarai dalam Hall of Fame MKN
Oleh BERNAMA - Ogos 14, 2025 @ 4:31pm

Mohd Nizam (kiri) menerima cenderahati daripada Komandan MKN, Brig Jen Abdul Karim Ahmad pada Majlis Pemasyhuran Hall of Fame Yang Pertama di MKN hari ini. Foto Bernama
PUTRAJAYA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menjadi individu pertama menerima pengiktirafan Hall of Fame di Maktab Ketahanan Nasional (MKN).
Beliau berkata, pengiktirafan itu titik tertinggi dalam perjalanannya sebagai tentera.
"Saya adalah Kohort pertama pada 2020. Setiap perjalanan terutama dalam bidang ketenteraan, ini antara kemuncak pencapaian seseorang dan saya amat bersyukur kepada Allah," katanya selepas majlis pemasyhuran di sini hari ini.
Mohd Nizam adalah alumni dan peserta perintis Kursus MKN pada 2020, selain penerima anugerah institusi itu.
Pada tahun sama, Mohd Nizam kembali menggalas tanggungjawab sebagai Komandan MKN yang kedua.
Sebagai bekas Komandan, Mohd Nizam memberikan sumbangan berharga menerusi pelbagai inisiatif strategik ketika pandemik COVID-19, termasuk pembangunan Joint Common Operating Picture (JCOP) dan pelaksanaan simulasi pengurusan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepanjang kepimpinannya, MKN berkembang daripada Kohort 1 hingga Kohort 6, dengan penyertaan yang kini bersifat global membabitkan pegawai tinggi kerajaan luar negara dan perkhidmatan awam negeri.
Penerimaan Mohd Nizam ke dalam Hall of Fame bukan saja penghormatan peribadi, tetapi pengiktirafan terhadap kepimpinan strategik, ketahanan mental dan visi jauh seorang Panglima Angkatan Tentera yang menempuh cabaran global.
Bermotokan Duty, Honour, Sacrifice, beliau menjadi inspirasi dan membuktikan ATM mampu meninggalkan legasi yang mengubah landskap pertahanan negara. -- BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1433288/panglima-atm-individu-pertama-disenarai-dalam-hall-fame-mkn
|