Razarudin berundur secara rasmi, 3,000 warga PDRM hadir istiadat penuh simbolik
Oleh Nor Azizah Mokhtar - Jun 20, 2025 @ 7:11pm

Razarudin menaiki kenderaan khas pada Majlis Perbarisan Perpisahan dan Paluan Berundur sempena persaraannya di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
KUALA LUMPUR: Lebih 3,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) hadir pada Majlis Paluan Berundur Ketua Polis Negara ke-14, Tan Sri Razarudin Husain di Padang Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, petang ini.
Upacara bermula jam 5 petang itu dimulakan dengan perarakan kawalan kehormat dan paluan istiadat sebelum disusuli persembahan pancaragam PDRM yang membawakan dua lagu irama Malaysia, termasuk Lemak Manis.
Simbolik penghormatan turut dizahirkan menerusi lintas hormat dua helikopter AgustaWestland AW139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) yang mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sang Saka Biru di ruang udara majlis.
Razarudin kemudian bersalaman dengan barisan pegawai kanan yang hadir, termasuk Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Beliau menaiki kenderaan istiadat bersama isteri, Puan Sri Zainah Othman, dan melepaskan burung merpati putih sebagai simbol penamatan tugas rasmi sebelum berlepas meninggalkan pekarangan majlis.
Razarudin menyandang jawatan Ketua Polis Negara selama dua tahun secara kontrak, bermula 23 Jun 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dilahirkan pada 15 Mac 1963 di Dengkil, Selangor, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kerjaya beliau bermula sebagai Pegawai Penyiasat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah, sebelum dilantik ke pelbagai jawatan utama dalam pasukan.
Antara jawatan yang pernah disandang ialah Penolong Pengarah D9 JSJ Bukit Aman, Timbalan Komander Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STFOC), Ketua JSJ Pulau Pinang dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Perak sebelum dilantik sebagai Ketua Polis negeri itu.
Pada 2021, beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan setahun kemudian, dinaikkan sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/06/1410566/razarudin-berundur-secara-rasmi-3000-warga-pdrm-hadir-istiadat-penuh
|