Pastinya ramai wanita yang berada di luar sana ingin melakukan aktiviti bersukan untuk mendapatkan bentuk fizikal ideal dan mempunyai badan yang sihat.
Tidak dinafikan aktiviti bersukan boleh memberikan kesan positif bukan sahaja kepada kesihatan badan, malah mampu menjadikan minda lebih positif.
Namun, ada segelintir wanita yang merasakan untuk melakukan aktiviti senaman di luar rumah adalah sesuatu yang memalukan.
Apatah lagi merasakan ada sahaja mata-mata yang memandangkan dengan aktiviti yang bakal mereka lakukan ketika bersukan atau bersenam.
Justeru, dalam ruangan Wanita Metro (WM), kali ini dikongsikan beberapa tip yang mungkin boleh dipraktikkan wanita untuk membina keyakinan dalam aktiviti bersukan atau bersenam.
1. Wujudkan motivasi diri
Letakkan motivasi peribadi, melakukan aktiviti bersukan adalah untuk diri sendiri dan bukan bagi menarik perhatian orang lain. Perkara ini boleh membantu anda menangkis rasa malu untuk melakukan aktiviti bersukan atau bersenam di luar rumah.
Jangan menoleh ke belakang untuk melakukan sesuatu yang anda tahu ia mempunyai kebaikan kepada diri iaitu bersenam demi kesihatan diri secara menyeluruh.
Sekiranya anda sudah mempunyai keazaman pastikan ia dilakukan dengan segera tanpa perlu mempedulikan kata-kata orang lain atau merasakan anda diperhatikan.
2. Menggunakan khidmat jurulatih
Sekiranya anda tidak yakin untuk melakukan sesuatu senaman atau sukan, anda boleh mendapatkan khidmat jurulatih peribadi atau menyertai kumpulan latihan fizikal bersama rakan-rakan wanita yang dikendalikan jurulatih wanita juga.
Perkara ini boleh membantu anda lebih selesa untuk mempelajari teknik bersukan atau bersenam dengan betul. Apatah lagi, jika ia dikendalikan jurulatih wanita.
Selain itu, menerusi jurulatih yang berpengalaman, dapat memberikan anda banyak ilmu dan mempraktikkan sesuatu sukan atau senaman dengan cara betul serta mampu memberi kesan positif kepada sasaran anda.
3. Sertai latihan secara berkumpulan
Sebenarnya ketika ini ada banyak gimnasium yang menawarkan hari yang dikhaskan untuk wanita sahaja bagi memberi keselesaan kepada kaum hawa menjalani latihan kecerdasan di gimnasium.
Anda boleh mencari gimnasium sedemikian bukan sahaja lebih bersifat privasi kerana tiada lelaki pada ketika itu, malah mampu membina hubungan rakan baharu dengan peserta gimnasium wanita.
Jangan segan untuk memulakan langkah persahabatan di gimnasium kerana ia mungkin boleh menjadikan anda mendapat kawan baharu di gimnasium dan berkongsi ilmu latihan kecergasan.
4. Jangan membandingkan diri dengan orang lain
Setiap individu yang ingin mendapatkan badan yang diidamkan sebenarnya perlu melalui proses latihan dan mengambil masa yang berbeza.
Jangan anda melihat kekurangan diri sebagai satu titik terendah ketika ingin melakukan aktiviti senaman atau bersukan.
Jadikan kekurangan itu sebagai satu motivasi untuk terus berlatih dan tidak membandingkan diri dengan orang lain yang mungkin pada mata anda mereka sudah berjaya mendapatkan bentuk tubuh yang diidamkan.
Terlalu membandingkan diri sendiri dengan orang lain sebenarnya boleh 'membunuh' motivasi diri.
5. Jangan drastik
Sekiranya anda mempunyai rasa malu yang menebal dalam diri untuk melakukan aktiviti senaman di gimnasium atau di luar rumah, sebenarnya anda boleh lakukannya di rumah terlebih dahulu.
Ketika ini banyak video di media sosial yang mengajar cara senaman dengan kaedah mudah dan boleh dilakukan hanya di rumah.
|