|
View: 477|Reply: 0
|
Tabiat kunyah ais ada kesan baik dan buruk
[Copy link]
|
|
|
MENGHISAP dan mengunyah ais tabiat yang sering dilakukan oleh sesetengah individu, sama ada untuk menyejukkan badan dalam cuaca panas atau sekadar memenuhi keinginan tertentu.
Walaupun amalan ini nampak tidak berbahaya, terdapat pelbagai kesan baik dan buruk perlu diambil kira.
Pengambilan ais dalam jumlah sederhana boleh memberikan manfaat kesihatan, tetapi jika berlebihan ia boleh membawa risiko tidak diingini.
Salah satu manfaat utama menghisap atau mengunyah ais ialah membantu mengekalkan hidrasi badan. Dalam keadaan cuaca panas atau selepas melakukan aktiviti fizikal, ais boleh memberikan rasa segar dan membantu mengelakkan dehidrasi.
Selain itu, ais juga boleh memberi kelegaan kepada individu yang mengalami sakit mulut atau keradangan gusi.
Sensasi sejuk daripada ais dapat mengurangkan bengkak dan mengurangkan kesakitan buat sementara waktu.
Kajian juga menunjukkan, makan ais boleh membantu pesakit yang menjalani rawatan kanser, khususnya dalam mengurangkan risiko oral mukositis.
Oral mukositis ialah keadaan mukosa mulut mengalami keradangan dan ulser akibat kesan sampingan rawatan kanser.
Ais dapat memberikan kesan vasokonstriksi iaitu penyempitan saluran darah secara sementara, yang dapat mengurangkan keradangan dan kesakitan.
Selain itu, pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang peringkat akhir sering menghadapi sekatan pengambilan cecair. Ini boleh menyebabkan rasa dahaga melampau, yang boleh menjejaskan pematuhan mereka terhadap sekatan cecair ditetapkan.
Dengan menghisap ais beberapa kali sehari, individu itu dapat mengurangkan rasa dahaga tanpa mengambil terlalu banyak cecair, sekali gus membantunya mengawal keseimbangan cecair dalam badan.
Walaupun terdapat beberapa manfaat, tabiat makan ais secara berlebihan boleh membawa pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan. Salah satu kesan paling ketara ialah masalah pergigian.
Ais yang keras boleh menyebabkan hakisan enamel gigi, menjadikan gigi lebih lemah dan mudah mengalami kerosakan.
Mengunyah ais dengan kerap juga boleh menyebabkan gigi retak atau patah sekali gus memerlukan rawatan pergigian yang mahal.
Selain itu, terdapat satu keadaan yang dikenali sebagai pagophagia iaitu keinginan kompulsif untuk makan ais dalam jangka masa panjang.
Pagophagia sering dikaitkan dengan anemia kerana kekurangan zat besi iaitu individu yang mengalami keadaan ini sering berasa letih dan lesu akibat kekurangan oksigen dalam badan.
Kajian menunjukkan, makan ais boleh merangsang aliran darah ke otak dan meningkatkan tahap kewaspadaan buat sementara waktu, tetapi ini bukan penyelesaian jangka panjang bagi masalah anemia. Ini menyebabkan pesakit lambat mendapatkan rawatan sepatutnya.
Dari segi penghadaman, makan ais dalam jumlah yang banyak boleh menyebabkan ketidakselesaan perut. Ais yang terlalu sejuk boleh menyebabkan otot perut mengecut secara tiba-tiba, mengakibatkan kekejangan perut.
Selain itu, pengambilan ais yang berlebihan juga boleh menyebabkan kembung dan angin.
Dalam jangka panjang, tabiat ini boleh mengganggu sistem pencernaan dan melambatkan proses penghadaman.
Secara keseluruhannya, makan ais mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri. Jika diambil dalam jumlah sederhana, ia boleh membantu meningkatkan hidrasi, mengurangkan rasa dahaga dan memberikan kelegaan kepada individu yang mengalami keradangan mulut.
Namun, pengambilan berlebihan boleh membawa kepada masalah pergigian, gangguan pencernaan, serta tanda kepada masalah kesihatan seperti anemia kekurangan zat besi.
Oleh itu, penting bagi setiap individu memahami kesan tabiat ini dan mengamalkannya dengan penuh kesedaran agar kesihatan tidak terjejas.
Penulis adalah Pensyarah Klinikal dan Pakar Bedah Am, Universiti Malaysia Sabah
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|