|
View: 704|Reply: 0
|
Harga simen stabil, permintaan dijangka kukuh dari projek infrastruktur
[Copy link]
|
|
|
KUALA LUMPUR: Harga simen pukal di pasaran tempatan kekal stabil pada paras RM380 satu tan sejak Julai tahun lalu dan dijangka terus bertahan berikutan permintaan yang kukuh daripada pelbagai projek infrastruktur utama.
Menurut RHB Investment Bank, kestabilan harga simen itu didorong oleh pelaksanaan projek penting seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Lebuh Raya Span Ipoh Barat, serta pembinaan semula lima stesen LRT Laluan 3. Selain itu, permintaan yang kukuh untuk projek perindustrian dan pembangunan hartanah turut menyokong kestabilan harga bahan binaan tersebut.
Pada masa sama, penurunan harga arang batu sebanyak 16 peratus sejak awal tahun ini juga membantu mengurangkan tekanan kos ke atas pengeluar simen, sekali gus mengekalkan margin keuntungan syarikat dalam sektor ini.
Malayan Cement Bhd (LMC), antara pemain utama dalam industri, dijangka terus meraih manfaat daripada kestabilan harga simen serta permintaan yang mampan. Walaupun kontrak bekalan simen LMC bagi Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 bakal tamat pada tahun ini, pihak pengurusan syarikat memberi indikasi bahawa mereka masih akan membekalkan simen untuk Fasa 2, meskipun tanpa kontrak eksklusif.
Dalam keputusan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) yang berakhir pada Jun, LMC mencatat keuntungan teras sebanyak RM159.8 juta, meningkat 11 peratus secara sukuan dan 30 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ini menjadikan keuntungan teras bagi separuh pertama FY25 meningkat 40 peratus tahun ke tahun kepada RM304.3 juta.
Prestasi positif ini disokong oleh operasi yang lebih cekap dan permintaan tinggi untuk konkrit siap bancuh, walaupun hasil jualan simen hanya meningkat secara marginal sebanyak 0.7 peratus pada tempoh sama.
RHB Investment Bank turut mengekalkan saranan "WAJARAN TINGGI" ke atas sektor bahan binaan, dengan Malayan Cement dan Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMAH) sebagai pilihan utama pelaburan. Keputusan kewangan suku keempat 2024 menunjukkan sektor ini mengatasi jangkaan dengan pertumbuhan perolehan dua digit, didorong oleh margin yang semakin berkembang.
Bagaimanapun, terdapat beberapa risiko yang boleh memberi kesan kepada sektor ini, termasuk kenaikan kos bahan mentah melebihi jangkaan dan kemerosotan mendadak ekonomi global yang boleh menjejaskan aktiviti pembinaan.
Buat masa ini, prospek industri simen di Malaysia kekal positif dengan jangkaan permintaan berterusan daripada pelbagai projek infrastruktur serta sokongan daripada keadaan kos yang lebih terkawal.- BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|