CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 480|Reply: 0

Ancam usia puncak

[Copy link]
Post time 31-3-2025 05:01 PM | Show all posts |Read mode

PENINGKATAN kes kardiovaskular terhadap golongan hingga 40-an perlu diambil serius masyarakat.
Serangan jantung biasanya dikaitkan dengan individu lebih berusia, mempunyai sejarah merokok, diet tidak baik atau hipertensi.

Namun sejak kebelakangan ini kadar serangan jantung semakin meningkat dalam kalangan umur 20-an, 30-an dan 40-an.

Perubahan itu jelas menimbulkan kebimbangan di seluruh dunia termasuk di Malaysia di mana populasi muda menjadi lebih terdedah.

Peningkatan kes kardiovaskular dalam kalangan rakyat Malaysia yang lebih muda adalah disebabkan faktor gaya hidup seperti obesiti, tabiat sedentari, tekanan, merokok dan pemakanan tidak sihat.


Justeru, memahami faktor-faktor penyumbang, pengesanan awal serta intervensi penting untuk membalikkan trend berkenaan.

Pakar Perunding Kardiologi dan Pakar Perubatan, Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr Loh Hoong Sheng berkata, penyakit kardiovaskular kekal punca utama kematian di negara ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit arteri koronari (CAD) menyumbang lebih 10,000 kematian pada 2022.

Lebih membimbangkan, kata Dr Loh, kajian pada 2022 Pangkalan Data Penyakit Kardiovaskular Kebangsaan turut mendedahkan lapan hingga 10 peratus pesakit serangan jantung di Malaysia berumur di bawah 45 tahun.

"Walaupun peratusan ini mungkin kelihatan kecil namun ia mencerminkan realiti membimbangkan kerana penyakit jantung semakin menjejaskan golongan dewasa dalam usia puncak mereka.

PERUBAHAN gaya hidup penting untuk mencegah dan mengurus penyakit jantung.

"Kes infarksi miokardium (MI) turut dilapor dalam kalangan individu berusia 20-an dan 30-an di mana ramai daripada mereka tiada faktor risiko tradisional seperti kolesterol tinggi atau diabetes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Loh berkata, faktor gaya hidup berisiko mengundang serangan jantung awal, selain obesiti.


Kata beliau, Kajian Pemakanan Dewasa Malaysia (MANS) 2020 melaporkan lebih daripada 50 peratus orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

"Tabiat pemakanan tidak sihat termasuk pemakanan tinggi dengan makanan terproses, minuman manis dan lemak trans menyumbang secara ketara kepada isu ini.
"Obesiti meningkatkan tekanan darah, menaikkan paras kolesterol dan menggalakkan rintangan insulin yang semuanya meningkatkan risiko infarksi miokardium (MI)," katanya.

Dalam pada itu, gaya hidup sedentari semakin lazim, terutama dalam kalangan golongan muda di bandar.
Masa lama dihabiskan di meja untuk bekerja, belajar atau melakukan aktiviti santai pasif secara tidak langsung mengurangkan aktiviti fizikal yang menjadi faktor penting dalam kesihatan jantung.

Untuk itu, senaman secara kerap bukan sahaja dapat membantu mengekalkan berat badan sihat, malah menurunkan tekanan darah dan memperbaiki paras kolesterol.

Dr Loh berkata, kebergantungan kepada teknologi dan kemudahan turut memburukkan lagi ketidakaktifan fizikal, sekali gus meningkatkan risiko kardiovaskular.
Jelas beliau lagi, tekanan kronik didorong tekanan akademik, tuntutan kerja dan cabaran peribadi antara faktor yang signifikan.


Katanya, tekanan mencetuskan pengeluaran kortisol yang meningkatkan tekanan darah dan menyebabkan keradangan di mana kedua-duanya menyumbang kepada penyakit jantung.

Selain itu, tekanan sering mengakibatkan mekanisme penyesuaian tidak sihat seperti merokok, makan berlebihan atau pengambilan alkohol secara berlebihan, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung.

"Tabiat merokok masih meluas dalam kalangan golongan muda di negara ini dan penggunaan tembakau jelas dapat merosakkan saluran darah, meningkatkan tekanan darah dan mempercepatkan pembentukan plak dalam arteri.

"Apabila digabung dengan faktor risiko lain seperti obesiti dan tekanan, merokok secara signifikan meningkatkan kemungkinan serangan jantung awal," katanya.

Menurut Dr Loh, kebanyakan golongan muda gagal mengenal pasti tanda awal penyakit jantung kerana sering mengaitkan gejala seperti sakit dada, sesak nafas atau pening dengan kebimbangan dan keletihan.

Kesilapan itu melambatkan intervensi perubatan, sekali gus membawa kepada risiko yang boleh mengancam nyawa.

Selain itu, kata Dr Loh, pesakit lebih muda mungkin tidak menunjukkan faktor risiko 'tipikal' yang dikaitkan dengan penyakit jantung, menyebabkan salah diagnosis atau pengabaian gejala oleh profesional kesihatan.

"Salah tanggapan bahawa penyakit jantung hanya berlaku dalam kalangan individu lebih tua menyumbang kepada kurangnya kesedaran mengenai kepentingan kesihatan kardiovaskular.

"Ramai individu muda mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala, sekali gus terlepas peluang mengesan masalah lebih awal," katanya.


Sementara itu, pengesanan awal penting kerana beberapa ujian diagnostik dapat membantu menilai penyakit arteri koronari misalnya elektrokardiogram (ECG) yang mengukur aktiviti elektrik jantung bagi mengesan keabnormalan ritma atau serangan jantung.
Ujian stres dapat memantau prestasi jantung semasa melakukan aktiviti fizikal untuk mengenal pasti aliran darah berkurangan atau ritma tidak teratur.

"Ujian itu mungkin tidak dapat mengesan penyakit arteri koronari pada peringkat awal terutama dalam kalangan individu lebih muda.

"Ujian pengimejan tidak invasif, Skor Kalsium Koronari CT pula dapat mengukur deposit kalsium dalam arteri koronari s ebagai penanda untuk aterosklerosis.
"Ia berguna untuk menilai risiko pertengahan, tetapi tidak dapat mengesan plak tidak bertompok kalsium, memerlukan ujian lanjut untuk penilaian lebih menyeluruh," katanya.

Kata Dr Loh, apabila penyakit arteri koronari didiagnosis, beberapa pilihan rawatan tersedia bergantung pada tahap keparahan keadaan itu seperti angioplasti Prosedur Invasif Minimum.

Jelasnya, prosedur aingioplasti dan penempatan stent membantu membuka arteri tersumbat dan memulihkan aliran darah, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung dengan ketara.

Manakala pembedahan Pintasan Arteri Koronari (CABG) akan digunakan dalam kes teruk membabitkan pengalihan arteri tersumbat menggunakan saluran darah yang sihat dari bahagian badan lain.

"Ubat-ubatan seperti statin (untuk menurunkan kolesterol), beta blocker (untuk mengurangkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung) mahupun ubat antiplatelet (untuk mengurangkan risiko pembekuan darah) dapat membantu mengurus penyakit jantung dan mengurangkan risiko komplikasi.


"Apapun perubahan gaya hidup penting untuk mencegah dan mengurus penyakit jantung, ia termasuk berhenti merokok, mengurus tekanan serta mengamalkan diet seimbang yang kaya bijirin penuh, buah-buahan dan sayur-sayuran sambil meminimumkan makanan proses dan minuman bergula.

"Melakukan aktiviti fizikal secara berkala dapat meningkatkan kecergasan kardiovaskular dan pengurusan berat badan," katanya. - Harian Metro


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-2-2026 02:58 AM GMT+8 , Processed in 0.080184 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list