|
View: 571|Reply: 0
|
[Matematik, Kejuruteraan, Sains & Teknologi]
70 tahun bahasa Melayu dilukai pemimpin dan warganegara sendiri?
[Copy link]
|
|
|
Edited by tatod at 22-3-2025 12:09 AM
SEMUA sekolah di Malaysia hanya menggunakan sistem satu aliran jika kita akur dengan Penyata Razak 1956 yang amat murni tujuan dan falsafahnya.
Ini kerana Penyata Razak bertujuan menjadikan kesemua bangsa di Persekutuan Tanah Melayu ketika itu (kini Malaysia) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah, universiti dan maktab perguruan bagi menggantikan sistem pendidikan yang berasaskan perkauman.
Malangnya akibat tiada kesungguhan atau iltizam politik maka tempoh sepuluh tahun kelonggaran untuk menguasai bahasa Melayu berlarutan sehingga 70 tahun dan tidak mustahil sehingga 100 tahun?
Bertambah malang dan kontradik di sebalik kerancakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berusaha gigih memartabatkan bahasa Melayu apabila ada wilayah atau negeri yang kelihatan bernostalgia dan masih memuja bahasa asing dari negara yang jauh di atas angin berbanding bahasa negara sendiri yang berabad-abad berakar dengan tamadunnya di sini.
Mengapa hal semudah ini, menjulang bahasa asing, membenci (?) bahasa negara sendiri, yang tidak berlaku di negara jiran dan negara lain di dunia dibiarkan berlaku di negara ini?
Tiada gunanya menyalahkan kecuaian, kealpaan dan kesilapan pemimpin masa lalu jika pemimpin masa kini tidak berani melakukan apa-apa usaha untuk memperbetul kesilapan tersebut yang tentunya menagih keberanian dan iltizam politik.
Pemimpin hanya sekadar menepis tanggungjawab tetapi terus mewarisi kesilapan mereka yang terdahulu tanpa berasa berdosa.
Demi kepentingan negara, pendidikan dan perpaduan pemimpin wajib berani seperti apa yang telah dibuat oleh pemimpin di negara jiran seperti Singapura demi penyatuan bangsa di sana.
Lebih teruk ada pihak yang sewel pernah mengesyorkan agar bahasa Inggeris dijadikan bahasa perpaduan supaya diterima oleh semua bangsa dan kaum di Malaysia. Agaknya mungkin sebagai kompromi bagi mereka yang sudah biol pemikirannya.
Satu saran yang boleh dianggap biadab terhadap status bahasa Melayu. Apakah dosanya bahasa kebangsaan terhadap mereka yang mabuk tersebut? Malaysia tidak perlu jadi Turkiye, Rusia, Jepun, Korea, Jerman, England dan Amerika tetapi tirulah ketaksuban pemimpin mereka terhadap bahasa mereka sendiri.
Taksub bahasa sendiri tidak bermakna membuang semua bahasa lain tetapi meletak bahasa negara secara adil di takhtanya. Tidak ada yang mustahil kerana mahu seribu cara, tak mahu seribu dalih.
Kalau masih ada pemimpin negara ini yang memandang hina bahasa negara sendiri, maka rakyat dan negara lain pun tiada yang akan hormat atau pedulikan bahasa Melayu.
Sudah terbukti semasa era PPSMI dilaksanakan, sebuah pusat pengajian persediaan pelajar ke luar negeri yang menggunakan bahasa Melayu di samping bahasa negaranya telah menukar pengajiannya kepada bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu dalam sesi pengajiannya di sini, sebelum lulusannya dihantar ke negaranya yang tidak pun menggunakan bahasa Inggeris.
Perbincangan penulis dengan beberapa orang teman susulan isu yang melingkari bahasa Melayu selama ini turut melontarkan pandangan yang serupa. Terbaru, seorang teman, bekas pendaftar sebuah universiti ternama turut melontar pandangannya yang sinis dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Justeru persoalan utama, adakah ada kaitannya dengan manifestasi kebencian terhadap bahasa negara sendiri yang kelihatannya seperti benar dan tergambar daripada pelbagai rentetan reaksi dan peristiwa.
Jika itu adalah gambaran akan sebuah kebenaran, mengapa agaknya bahasa Melayu dibenci sedangkan inilah bahasa tanah tempat lahir dan tumpah darah kita? Bahasa apa pun tidak berhak dibenci, apatah lagi bahasa Melayu, termasuk tulisan jawi.
Kumpulan seperti Dong Zong dan Dong Jiao Zong serta ahli Lembaga dan PIBG sekolah vernakular dan persendirian Tionghoa merupakan pemimpin generasi dewasa yang sepatutnya menunjukkan teladan kepada generasi muda Tionghoa mereka agar menghormati teras bernegara yang mereka amat faham dan mungkin telah turut melalui sendiri akan sejarahnya.
Mereka tentunya mengatakan mereka anak Malaysia, negara ini negara mereka tetapi mengapa sehingga 70 tahun masih terlihat akan betapa tidak selesanya atau jijik (?) sebahagian mereka dengan bahasa kebangsaan, bahasa negaranya sendiri?
Dari satu dimensi, pastinya mereka mengakui ini tanah air mereka dan mereka berhak memperoleh dan menuntut hak sama rata dan kesaksamaan tetapi pada saat negara meminta sedikit penerimaan terhadap pelaksanaan paksi bernegara iaitu bahasa negara, mengapa sebahagian mereka kelihatan enggan mengiktirafnya?
Kerugian apakah yang akan mereka alami kalau mereka menerima dan melaksanakan arahan itu? Bahasa mereka terjamin dalam perlembagaan untuk diajar dan dipelajari cuma bukan sebagai bahasa penghantar, itu sahaja.
Budaya tidak dihilangkan. Berbeza dengan negara jiran walaupun majoritinya berketurunan Tionghoa tiada sekolah khas Mandarin sahaja dan tiada pun desakan tentang hal tersebut. Apakah pemikiran tentang kepentingan Mandarin telah dipesongkan atau sebenarnya mereka amat sedar bahawa kepentingan negara lebih diutamakan, melebihi kepentingan kelompok walaupun bersifat majoriti?
Kita amat berharap generasi pimpinan Dong Zong, Dong Jiao Zong, Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG ini tidak menjadi penerus kepada salah satu punca ketidakharmonian dalam kehidupan bernegara pada masa ini dan masa depan.
Memupuk perpaduan hendaknya semasa kecil dan bukannya setelah usia mencapai tiga puluh, empat puluh tahun. Usia kemerdekaan negara pun sudah menjangkau 70 tahun. Jika diibaratkan manusia, rumah kata pergi dan kubur kata mari.
Generasi muda mereka sepatutnya tidak disemai bahawa bahasa Melayu tidak mempunyai apa-apa nilai buat mereka justeru tidak perlu dihormati walaupun itu adalah bahasa kebangsaan negara mereka sendiri.
Jika kononnya bangsa Melayu iaitu penutur asal bahasa Melayu di sini belum cemerlang dalam ekonominya, hal serupa tidak terfikir pun bagi bangsa Indonesia di negara jiran dan bangsa Thai di Thailand.
Semuanya tetap bertutur dan bangga menggunakan bahasa Indonesia dan Thainya walaupun sesama anggota keluarga atau sahabat yang seketurunan tanpa berasa bahawa penutur asal bahasa “Indonesia” dan Thai tersebut juga kurang menyerlah indeks ekonominya.
Baru-baru ini semasa di Surabaya, penulis terserempak dengan seorang ibu Tionghoa berbual dengan anak kecilnya dalam bahasa Indonesia dengan lancar tanpa sebarang pelat dibandingkan dengan pertuturan sebahagian ahli parlimen Malaysia sama ada berbangsa Melayu atau bukan Melayu.
Kepalsuan bahawa bangsa Melayu dan bahasa Melayu tiada sebarang nilai untuk dibanggakan digembar-gemburkan oleh pihak tertentu terutama orientalis dan penjajah agar Melayu sendiri berasa rendah diri dan orang lain pula memandang hina kepada bangsa dan bahasa Melayu.
Renunglah sejarah jika itu benar, siapakah yang menulis ribuan naskhah berbahasa Melayu bertulisan jawi yang berselerak di Eropah dan Rusia.
Bangsa apakah yang telah menjadi pengembara di lautan, dengan pembinaan kapal besar seperti jong menguasai maritim sehingga hampir ke seluruh pulau di dunia ketika bangsa Eropah masih dalam zaman kegelapan.
Panglima Awanglah iaitu “Henry The Black” yang pertama mengelilingi dunia dengan kapal Portugis apabila Ferdinand Magellan tidak menamatkan pelayarannya kerana terbunuh oleh Lapu-Lapu di Pulau Cebu, Filipina.
Janganlah kita terperangkap dengan album orientalis yang sememangnya memusuhi kegemilangan bangsa yang dijajahnya.
Telusurilah catatan sejarah yang berselerak di negara lain termasuk catatan di China dan pengembara seperti I-Tsing atau nama sebenarnya Zang Wenming yang mengisahkan negara yang dilaluinya antara benua China dengan Universiti Buddha Nalanda di India termasuk Tanah Melayu dan Sumatera, ibnu Battuta dengan catatan pengembaraannya yang masyhur, sarjana Vans Linschoten dan Francis Valentjin yang menyamakan gemilangnya bahasa Melayu seumpama bahasa Latin dan Perancis di Eropah dan lain-lain.
Kebenaran sejarah bukan untuk kebanggaan kosong pastinya tetapi untuk iktibar dan membaharui tekad dan semangat untuk meneruskan kegemilangan.
Walau bagaimanapun penulis difahamkan terdapat sebahagian generasi muda Tionghua yang amat berfikiran positif terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan, bahasa perpaduan bertentangan dengan sikap generasi lama mereka.
Cumanya mereka tidak berani ke hadapan untuk menyanggah sikap generasi lama mereka yang boleh menimbulkan rasa kurang selesa kepada mereka.
Ini jelas terlihat akan sikap negatif sebahagian besar mereka terhadap golongan intelektual seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Profesor Teo Kok Seong, Profesor Riduan Tee, peguam Tai Zee How atau “Cina Apek” dan beberapa orang lagi termasuk Profesor Undang-undang Dr. Ramalingam, Dr Rajeswary yang menyatakan kebenaran yang pahit tentang sikap kaumnya sendiri terhadap bahasa Melayu.
Sepatutnya para profesor dan intelektual mereka itu disanjung demi kebenaran yang diucapnya, demi perpaduan, demi kesejahteraan negara Malaysia yang harmoni dengan satu bahasa merentas wilayah bangsa.
Negara ini memerlukan warganegara yang benar-benar berjiwa Malaysia dan bukan warga umang-umang yang menyarung kulit siput lain di badannya.
Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Sumber: Utusan TV
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|