CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2679|Reply: 0

[Politik] 'Sokongan kepada Najib hanya sandiwara politik PAS demi raih sokongan Melayu' - Mat Sabu

[Copy link]
Post time 8-1-2025 02:50 PM | Show all posts |Read mode



Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyifatkan sokongan PAS terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam isu Titah Adendum, hanyalah sandiwara politik untuk menarik sokongan Melayu.

Mohamad yang sudah 'masak' dengan taktik PAS selepas berada lebih 37 tahun dalam parti itu, mendakwa segala persepsi dan tuduhan yang cuba dimainkan PAS melalui fatwa politik mereka, boleh berubah bila-bila masa mengikut kepentingan.

Atas dasar itu beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata tidak mustahil PAS akan 'membuang' Najib selepas berasakan beliau tidak lagi menguntungkan politik mereka.

"Ahli AMANAH dan umat Islam negara ini, janganlah terpedaya lagi dengan permainan PAS kerana semua hujah mereka hanya sandiwara dan boleh berubah pada bila-bila masa.

"Jangan gusar dan gelisah di atas tuduhan PAS kerana tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan oleh mereka hanya bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya saja.

"Banyak sudah bukti bahawa fatwa PAS boleh diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakannya," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, PAS dilihat beriya-iya memberikan sokongan buat Najib dalam isu Titah Adendum, malah sanggup mengadakan solidariti buat bekas Perdana Menteri itu di Istana Kehakiman, Isnin lalu.

Malah, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut mendakwa Kerajaan Pusat diperakui DAP mengkhianati konsep Raja Berperlembagaan dalam isu Titah Adendum itu.

Pada masa sama, Mohamad yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden PAS, sebelum 'beralih' kepada penubuhan AMANAH, meminta umat Islam untuk terus berpadu tenaga memperjuangkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat kepada semua, bersatu hati membela golongan yang tertindas serta bersama menolak politik kebencian.

Beliau turut mengambil beberapa contoh tindakan PAS yang dilihat menggunakan pendekatan sandiwara politik antaranya dalam isu kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional walaupun parti itu dilabel kafir, dan kutukan terhadap DAP selepas 'berpisah'.

"Misalnya, apabila hendak bekerjasama dengan DAP, PAS gunakan formula 'agree to disagree' tetapi apabila sudah berpisah dengan DAP, timbullah semula dakwaan bahawa DAP itu komunis, DAP nak tubuh negara Kristian dan sebagainya. Inilah propaganda yang dimainkan PAS, terutamanya pada waktu ini.

"Paling mengejutkan, selepas PAS berpisah dengan DAP dan PKR, PAS bersama pula dengan UMNO di dalam Muafakat Nasional. Pemimpin PAS mengatakan hubungan baru PAS-UMNO ini adalah anugerah Allah.

"Selain itu, apabila hendak larang ahli PAS turun berdemontrasi, mereka guna dalil, jangan campakkan dirimu ke dalam kebinasaan. Tetapi apabila nak kerah ahli PAS untuk turun berdemontrasi, mereka guna pula dalil berjuanglah ke jalan Allah dengan harta dan nyawamu.

"Amalan mengeluarkan fatwa sesuka hati inilah yang akan merosakkan negara seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee pertontonkan dalam filem Musang Berjanggut dulu," katanya.

Mohamad yang menganggotai PAS sejak 1978 hingga 2015, turut mengakui 'tertipu' dengan fatwa politik parti itu termasuk dalam aspek perbezaan antara PAS dan UMNO, yang dikatakan bukan setakat perbezaan politik tetapi hingga ke peringkat perbezaan akidah.

Beliau 'mengimbau' kesilapannya yang mempercayai hujah yang digunakan oleh ulama PAS ketika mengkafirkan UMNO.

"Pada waktu itu saya merasakan tiada hujah lain yang boleh mengatasi hujah ulama PAS sehingga hubungan saya dengan ahli keluarga saya yang pro-UMNO menjadi renggang.

"Saya masih ingat, ketika ke Terengganu untuk berceramah atau menghadiri program PAS, saya hanya bersembahyang di Masjid Rusila atau Masjid Batu Enam sahaja kerana bersembahyang di belakang imam yang pro UMNO adalah tidak sah dan haram hukumnya.

"Kami sudah tertipu, kononnya perbezaan dengan UMNO itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada PAS," katanya.

Sumber : Harian Metro

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

14-3-2025 04:27 AM GMT+8 , Processed in 0.073533 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list