Edited by sugarBunn at 11-10-2024 02:52 PM
Milik siapa trofi Bintang Paling Popular ABPBH 36?
Oleh Farihad Shalla Mahmud - Oktober 11, 2024 @ 11:00am
KUALA LUMPUR: Tahun lalu menyaksikan fenomena Barkoba menjadi gelombang besar, sekali gus mengangkat pelakon dan pelawak, Bell Ngasri sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35, namun agak sukar membuat ramalan untuk edisi ke-36 ini.
Jika dinilai dari segi reaksi peminat ketika calon Top 20 ABPBH 36 diumumkan, ramai yang menjangkakan nama-nama seperti Aina Abdul, Siti Nordiana dan Khai Bahar mempunyai peluang cerah.
Turut disebut-sebut bakal menggenggam gelaran Bintang Paling Popular ABPBH 36 adalah penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin atau KJ dan kumpulan pelawak 'otai', Senario.
Tekaan itu nampaknya tidak meleset apabila nama sama berjaya membolosi senarai Top 10, dan seterusnya berada dalam kedudukan teguh bergelar finalis seperti yang diumumkan, kelmarin.
Jika dilihat dari segi kempen awal seperti kewujudan kata pagar #KJJadiDJ #MenangSelfieMenangUndi, ada kebarangkalian untuk KJ menang besar apabila ramai menyatakan sokongan mahu bekas Menteri Kesihatan itu menjulang trofi Bintang Paling Popular.
Bagaimanapun, usah disangkal peluang Aina untuk memenangi hadiah utama itu kerana kelab peminatnya, Ainations begitu bekerja keras bagi memastikan trofi Penyanyi Wanita Popular diinspirasikan CONBOO dan Bintang Paling Popular tidak jatuh ke tangan pihak lain.
Harus diingat, peminat Siti Nordiana juga tidak akan membiarkan penyanyi pujaan mereka berputih mata dan siapa tahu mungkin tuah menyebelahi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana.
Kategori lain turut menjadi tumpuan adalah Penyampai Radio Popular dan ia bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan KJ, DJ Sonic yang tewas tahun lalu dan pemenang tahun lalu, Tyzo Xander.
Nama tiga calon ini dilihat menyerlah berdasarkan keaktifan berkempen dalam media sosial.
Bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular diinspirasikan CONBOO, pemenang terdahulu, Khai Bahar mungkin boleh mempertahankan trofi berdasarkan populariti yang masih belum surut, selain sokongan padu kelab peminat, Khai Bahar Empire.
Buktinya, Khai tetap tersenarai sebagai finalis dalam apa juga kategori yang dicalonkan dan ini dapat dilihat pada ABPBH 36 apabila berjaya menempah dua kedudukan dalam kategori Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular bersama Adira Suhaimi dan Nabila Razali.
Turut menjadi perhatian pada edisi kali ini adalah siapakah yang bakal memenangi trofi Artis Komedi Popular. Adakah Bell Ngasri mampu pertahankan trofi tersebut ataupun terpaksa akur pada kehebatan pesaingnya.
Jika dilihat sambutan hangat diberikan kepada Senario ketika menghadiri siri jelajah ABPBH 36 di Pulau Pinang, ada kemungkinan untuk gelaran itu bakal berpindah milik.
Bagaimanapun, usah dinafikan aura dimiliki Joey Daud dan Sabri Yunus kerana mereka juga mempunyai pengikut tersendiri yang memungkinkan untuk memenangi kategori yang menjadi idaman ramai pelawak itu.
Sementara itu, untuk kategori Pengacara TV Popular, penyandang trofi tahun lalu, Elly Mazlein mungkin berdepan laluan mudah untuk mempertahankan anugerah itu.
Keletahnya yang berjaya mencuri perhatian ramai dan kemampuannya membuat sesebuah program TV mendapat rating tinggi menyumbang kepada mengapa peminat memilihnya sebagai pemenang kategori itu.
Apapun keputusan sudah pun berada di tangan penganjur dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.
Bersedialah dengan sebarang kejutan kerana ia adalah lumrah untuk acara anugerah. Peminat sudah menyatakan pilihan mereka, jadi terimalah setiap keputusan dengan hati terbuka.
Menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-67, ABPBH 36 mengangkat tema Teguh membawa mesej keutuhan, perpaduan dan solidariti dalam kalangan rakyat Malaysia.
ABPBH 36 diinspirasikan CONBOO sebagai penaja utama.
|