Edited by maklukpenggoda at 19-9-2024 03:00 AM
PUTRAJAYA: Seorang anggota kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas seorang wanita yang juga bekas anggota organisasi itu, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohamad Riza Makar, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Afiq Hasan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Riza yang juga ahli perniagaan itu didakwa menakutkan secara jenayah ke atas wanita berusia 25 tahun di tempat letak kenderaan Galeria, Presint 4 di sini, kira-kira jam 10 malam, pada 9 September lalu.
Suami kepada tiga isteri yang juga bapa 10 anak itu didakwa mengugut wanita terbabit apabila berkata: "kami tahu dekat mana rumah, suami dan keluarga", dengan niat hendak menyebabkan kegentaran supaya bekas ahli GISBH itu menarik balik laporan polis.
Beliau juga meminta tertuduh menyerahkan pasport, selain perlu melapor diri ke balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.
Bagaimanapun, Zulfikri dalam hujah balasnya meminta jaminan dikurangkan memandangkan kes terbabit dikategorikan ringan dan pendapatan tertuduh adalah RM4,000 sebulan serta tiada kaitan secara langsung dengan GISBH, sebaliknya hanya membuat usaha sama dengan organisasi itu.
Tertuduh ketika diminta mengemukakan kenyataan tambahan, meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan baru menimang cahaya mata dalam tempoh kurang sebulan dan proses pendaftaran bayi terbabit belum dibuat.
"Saya mohon (mahkamah) mengurangkan jaminan kerana isteri baru melahirkan anak, kurang sebulan dan pendaftaran pun belum dibuat.
"Memandangkan sekarang musim cuti persekolahan, saya perlu berdepan 10 anak dan perlu menyediakan duit atau dana untuk membuat aktiviti dan persiapan persekolahan akan datang," katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Afiq kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM10,000 dan seorang penjamin, selain perlu melapor ke balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan sehingga prosiding tamat.
Beliau juga mengarahkan tertuduh supaya tidak mengganggu, menghampiri atau menghubungi wanita terbabit sehingga perbicaraan kes selesai dan menetapkan 18 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.
BH
|