Edited by maklukpenggoda at 27-9-2024 03:51 AM
KUALA LUMPUR: "Saya ingin menegaskan tiada wanita lain dalam hidup saya seperti diperkatakan dan dihebohkan dalam media sosial sehingga kini."
Demikian kata pelakon Fattah Amin mengenai dakwaan ia bersikap curang terhadap Nur Fazura sehingga isterinya itu memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, semalam.
Fattah ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia juga terkejut apabila hanya mengetahui isterinya itu memfailkan perceraian melalui media sosial.
"Sejujurnya, saya hanya mengetahui mengenai permohonan perceraian yang difailkan terhadap saya melalui media sosial, terutamanya selepas ia ditularkan.
"Saya amat terkejut dan sedih dengan perkhabaran berita ini. Malah, tanpa sebarang rasa ragu-ragu, saya masih menyayangi Faz (panggilan Fazura)," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fattah, dia berharap orang luar dapat mendoakan yang terbaik buat dirinya dan isu keretakan rumah tangganya dapat diselesaikan secara tenang.
"Walau apapun terjadi, saya dengan rendah diri memohon doa yang baik-baik dan sokongan daripada kalian, tak kira mengenali mahupun tidak kami secara peribadi.
"Moga segala urusan kami berdua dipermudahkan dan diselesaikan dengan baik serta penuh ketenangan.
"Saya juga berharap agar tiada campur tangan daripada pihak lain yang boleh mengeruhkan lagi situasi ini. Terima kasih atas segala perhatian dan doa kalian," katanya.
Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa Fattah curang bersama penata gaya tudung yang dikenali sebagai Syira Atiqah hangat diperkatakan netizen dalam media sosial.
Susulan itu, Instagram milik pelakon lelaki terbabit dibanjiri netizen apabila mereka 'ambil bahagian' sejurus berita perceraian pasangan itu dilaporkan media.- BH
|