Paris: Antoine Griezmann tersisih daripada aksi persahabatan Perancis menentang Jerman dan Chile akibat kecederaan buku lali yang menamatkan rekod 84 aksi berturut-turutnya bersama Les Bleus.
Bintang Atletico Madrid itu tidak dapat menyertai skuad negaranya kali pertama sejak November 2016 sebelum kejohanan Euro 2024 bermula 14 Jun-14 Julai.
Griezmann tampil bersama Perancis di atas padang dalam setiap perlawanan sejak beraksi menentang England dalam aksi persahabatan pada Jun 2017 ketika penyerang itu menjadi pemain simpanan.
Pemain Lazio Matteo Guendouzi dipanggil untuk kali pertama sejak Piala Dunia lalu bagi menggantikan Griezmann yang mempunyai 127 kap dan meledak 44 gol untuk Perancis.
Jurulatih Didier Deschamps menganggap Griezmann sebagai 'sukar diganti' tetapi terpaksa akur dengan nasihat doktor pasukan, menurut persekutuan bola sepak Perancis.
Pemain berusia 32 tahun itu terlepas empat aksi Atletico sebelum kembali tampil minggu lalu dan menjaringkan gol dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Inter Milan yang membolehkan kelab Sepanyol itu mara ke suku akhir menerusi penentuan penalti.
Dia turut tampil pada babak kedua ketika pasukannya tewas 0-3 di tangan Barcelona dalam aksi La Liga Ahad lalu.
Perancis beraksi dua perlawanan persahabatan menentang tuan rumah Euro Jerman pada 23 Mac di Lyon dan Chile tiga hari kemudian di Marseille.