Tasek Gelugor: Walaupun tidak pernah membesar bersama empat adik-beradiknya, wanita warga emas ini mahu bertemu sekali gus mengeratkan hubungan dengan insan tersayang yang terpisah sejak dirinya dilahirkan.
Norini Awang, 65, sedang mengesan empat adik kandungnya yang menetap dan berasal dari Bota, Perak sejak lebih tiga tahun lalu selepas pertemuan pertama dengan dua adiknya dikenali sebagai Suraya dan Din pada 27 tahun lalu.
Menurutnya, dia adalah anak sulung daripada lima beradik dan diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan, namun hanya mengetahui statusnya ketika dewasa sebelum berusaha mencari keluarga kandung.
"Saya dikatakan mempunyai empat adik iaitu masing-masing dua lelaki dan perempuan. Apabila tahu status sebenar diri, saya mempunyai keinginan untuk mengetahui siapa keluarga kandung dan akhirnya dapat bertemu dua adik di Bota.
"Saya berjumpa adik dikenali sebagai Suraya dan Din pada majlis perkahwinan buat pertama kali pada 1997, namun ketika itu ibu bapa kandung sudah tiada.
"Selepas itu kami terputus hubungan sehingga kini dan saya ada berusaha mencari mereka di Facebook sejak beberapa tahun lalu, namun masih gagal," katanya yang menetap, di sini.
Menurutnya, dia tidak dapat mengingati semula lokasi pertemuan dengan dua adiknya kerana ia berlaku sudah lama.
Justeru, katanya, dia berharap dapat menemui keempat-empat adik kandungnya kerana mahu menyambung hubungan yang lama terpisah kerana mereka adalah darah dagingnya biarpun tidak dibesarkan bersama.
"Saya teringin nak jumpa adik dan kalau boleh biarlah dapat jumpa keempat-empat sekali, sebab itu sehingga kini saya masih berusaha mencari mereka dan berharap hasrat itu akan tercapai," katanya.
Orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat empat adik Norini atau ahli keluarganya boleh menghubungi wanita itu di talian 018-9455963.