Penyanyi, Shalma Eliana, 23, mendedahkan dirinya mengalami masalah kemurungan yang melampau sehingga kehilangan selera makan dan tidak mampu fokus dalam apa juga perkara dalam hidupnya.
Menurut Shalma atau nama sebenarnya, Shalma Eliana Bruhanutheen, keadaan itu dialaminya semasa berada di United Kingdom (UK) bagi melanjutkan pelajaran dan tekanan yang dihadapi membuatkan dirinya sukar untuk berfikiran positif.
“Saya alami kemurungan yang agak melampau, mencuba untuk menjadi insan yang lebih baik namun saya gagal. Hanya mampu menangis. Tak boleh makan, tak boleh fokus apa-apa, tak tahu macam mana nak jadi positif lagi di sini.
“Saya buang semua individu toksik dari hidup saya demi ketenteraman hati. Tapi kemudiannya saya rasa sangat sunyi. Tiada siapa dapat diharapkan kecuali diri sendiri.
“Ternyata, menganjak dewasa ini sangat berat. Saya sedang mencuba sehabis daya untuk belajar hidup berdikari supaya boleh membanggakan diri dan keluarga. Tetapi, saya juga berperang dengan diri sendiri dan selalu berasa apa yang saya buat masih tak cukup,”katanya.
Shalma berkata demikian dalam satu hantaran video yang dikongsikan di Instagram semalam yang memaparkan keadaan dirinya, dipercayai sepanjang berada di UK bagi menamatkan pengajiannya.
Selain itu, kongsi penyanyi lagu Aroma dan Rambang ini, kemurungan yang dialaminya juga menyebabkan ada ketika dia tidak dapat memahami apa yang sedang dilaluinya ketika itu.
“Malah, kadangkala saya sendiri jadi tak faham mengapa saya menangis. Ia satu daripada fasa dalam hidup yang saya perlu hadapi dan saya tahu, lambat laun saya pasti boleh menanganinya, sikit sahaja lagi,”katanya.
Dalam pada itu, Shalma turut tidak menolak bahawa setiap karya-karya muzik yang dihasilkan merupakan ‘harta’ yang amat bermakna buat dirinya.
“Muzik yang saya hasilkan, sangat bermakna buat diri saya. Setiap sokongan peminat juga memberi makna besar buat saya.
“Adakalanya, ia adalah apa yang memberikan saya kekuatan untuk meneruskan apa yang dilakukan. Terima kasih semua untuk segalanya,”katanya.
Menerusi perkongsian di Instagram, Shalma juga dilihat sedang merancang untuk melancarkan single terbaharunya yang berjudul A Phase dalam masa dua hari lagi.
Untuk info, Shalma merupakan adik bongsu kepada pengacara dan usahawan, Shalma Ainaa.
Selain itu, Shalma juga pernah mencetuskan kontroversi menerusi hubungan percintaannya dengan Ismail Izanni sekitar 2018 sebelum mengumumkan berpisah dengan penyanyi tersebut pada 2021.
Sumber: Utusan
|