|
|
Hampir 10 tahun tak buat persembahan berskala besar, Anuar Zain membuktikan dia masih berbisa apabila Stadium Malawati Shah Alam dipenuhi 8,000 peminat yang hadir Konsert Anuar Zain 40 Tahun (AZ40) pada malam Sabtu.
Anuar berjaya memberikan persembahan bertenaga dan penuh emosi meskipun kesihatannya terganggu akibat mengalami batuk dan demam sejak seminggu lalu.
Dia turut kehilangan suara menjelang empat hari konsert berlangsung selain tidak dapat menjalani raptai disebabkan masalah itu.
 Foto: IG
"Walaupun saya hampir tiada suara tapi semangat saya kuat malam ini... Walau apa pun yang terjadi persembahan tetap perlu diteruskan.
"Jujurnya ada rasa kecewa tidak dapat mencapai standard yang saya tetapkan tetapi perkara yang berlaku ada sebabnya dan saya tetap bersyukur selain sudah memberikan yang terbaik buat peminat.
"Kesihatan saya mungkin terganggu tetapi kita tidak ubah sebarang susunan muzik," katanya kepada mStar.
Tak nak menghampakan peminat, Anuar tampil bersama alat penyedut udara atau nebulizer sepanjang persembahan bagi memastikan nyanyiannya tidak terganggu akibat masalah kesihatan.
Anuar membuka tirai konsert dengan dua lagu popularnya iaitu Kaulah Satunya diikuti Sesucinya Cintamu yang cukup membuatkan satu stadium gamat dengan jeritan peminat.
Emosi penonton bagaimanapun berubah menjadi sayu apabila Anuar menyajikan mereka dengan montaj selang masa yang menunjukkan jatuh bangunnya dalam industri hiburan sepanjang 40 tahun bergelar penyanyi.
Montaj dipaparkan turut membuatkan menggamit memori peminat setia dalam mengenang kembali kehebatan seorang Anuar Zain.
Tidak hanya peminat, Tengku Permaisuri Selangor iaitu Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan mencemar duli selain rakan artis seperti Datuk Sheila Majid, Misha Omar, Rozita Che Wan, Datin Nina Juren, Ernie Zakri, Syamel dan Rahim Sepahtu.
Suasana Stadium Malawati sekali lagi bertukar suram apabila Anuar menyampaikan lagu Cinta tak Harus Memiliki yang didedikasikan buat Allahyarham Adibah Noor.
Anuar berkata, lagu berkenaan membuatkan dia teringat kepada Adibah yang pernah sama-sama berkongsi pentas dalam sebuah konsert bersama Dina Nadzir dan Elvira Arul sekitar 10 tahun lalu.
Kemuncak konsert sudah tentu apabila Anuar menyanyikan lagu wajibnya iaitu Sedetik Lebih apabila semua penonton memancarkan lampu telefon pintar mereka.
Kehebatan vokal Anuar ketika menyampaikan lagu berkenaan membuatkan ia menjadi bahagian kegemaran penonton yang hadir.
Pada malam itu, Anuar menyanyikan lebih 20 buah lagu termasuk Perpisahan, Andainya Takdir, Keabadian Cinta, Lelaki Ini, Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi dan Musim Berlalu.
Sementara itu, Anuar berkata, ini bukan konsert terakhir darinya malah memasang impian mengadakan sebuah persembahan istimewa bagi meraikan penglibatannya selama 50 tahun sebagai penyanyi kelak. -CARI
Sumber: mStar
|
|