Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle dilaporkan akhbar The Sun, telah diusir dari kediaman mereka di Windsor.
Keluarga diraja Britain meminta Duke dan Duchess of Sussex itu mengosongkan Frogmore Cottage, rumah di dalam kawasan estet Istana Windsor King Charles yang mereka gunakan ketika berada di Britain.

NBC/Getty Images
Menurut laporan, Raja Charles III sebelum ini menawarkan rumah itu kepada adiknya, Putera Andrew susulan pendedahan buruk pasangan terbabit mengenai bapa Harry, abangnya, Putera William dan kerabat diraja lain dalam memoir dokumentari Netflix dan beberapa siri wawancara TV.
Perkara itu juga telah disahkan jurucakap pasangan berkenaan, menurut AWANI.
Harry dan Meghan berpindah ke Frogmore Cottage selepas perkahwinan mereka pada 2018, namun berpindah ke California untuk menempa kehidupan dan kerjaya baharu selepas berundur daripada tugas diraja mereka pada 2020.
Bagaimanapun, Frogmore Cottage kekal sebagai pangkalan British mereka.
Difahamkan, pasangan itu bersetuju untuk membayar balik 2.4 juta pound wang pembayar cukai yang dibelanjakan untuk mengubah suai rumah.

Backgrid
Harry dan Meghan yang jarang pulang ke sejak berlepas ke Amerika Syarikat, menggunakan kediaman itu pada beberapa kesempatan mereka kembali seperti untuk perayaan Jubli Platinum mendiang Ratu Elizabeth tahun lalu.
Hubungan mereka dengan ahli keluarga yang lain menjadi lebih renggang sejak itu, berikutan kritikan pedas terhadap kerabat diraja dan pembantu mereka dalam buku Harry, 'Spare'.
Justeru, Harry dijangka tidak akan menghadiri pertabalan bapanya pada Mei akan datang. - CARI