|
SMK King George V berusia 100 tahun
https://www.bharian.com.my/berit ... v-berusia-100-tahun
Oleh Mohd Amin Jalil - Januari 15, 2023 @ 7:09pm
[email protected]
Bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) di Seremban terus tersergam. NSTP/Ihsan pembaca.
SEREMBAN: Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMKGV) di sini, mencatat sejarah tersendiri apabila usianya genap 100 tahun hari ini.
SMKGV pertama kali dilancarkan pada 15 Januari 1923 iaitu 100 tahun yang lalu di dalam sebuah bangunan stesen kereta api sebagai "GES" atau "Government English School".
Nama KGV adalah sempena nama Raja England ketika itu, King George V.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Malek, berkata dari segi sejarahnya, bangunan utama sekolah itu mula dibina pada 7 Oktober 1926.
Katanya, pada 23 April 1928, bangunan utama yang terletak di Jalan Hose (kini Jalan Za'aba) dirasmikan oleh W G Ormsby Gore.
"Majlis perasmian ini juga dihadiri oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad Ibni Tuanku Antah dan Kaunselor Tinggi daripada Pejabat Jajahan British, Sir Hugh Clifford.
"Sekolah ini pernah dijadikan ibu pejabat Polis Tentera zaman pemerintahan Jepun dan bilik yang terletak di sebelah dewan utama sekolah pernah dijadikan bilik penyeksaan oleh askar Jepun.
"Tentera British juga pernah menggunakan sekolah ini sebagai hospital tentera," katanya di sini, hari ini.
Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, logo SMKGV tertera perkataan "Veni, Vidi, Vici" yang membawa maksud "Aku datang, Aku lihat, Aku tawan" bersumber kepada perkataan Julius Ceaser.
Katanya, pada asalnya logo berkenaan tertera "cross" atau palang tetapi berikutan bantahan daripada pelajar pada tahun 1979, akhirnya pengetua dan Kementerian Pendidikan (KPM) akur untuk diubah kepada "V" pada tahun sama.
Katanya, pengetua sekolah ketika itu adalah Ahmad Dahan.
"Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah bekas pelajar SMKGV.
"Saya juga adalah bekas pelajar sekolah itu dalam Program Rancangan Khas dari tahun 1977 sehingga awal tahun 1980," katanya yang memperakui SMKGV telah melahirkan ribuan pemimpin, pegawai kerajaan serta tokoh masyarakat dan negara.
|
|