|
Aktiviti lasak bukan sesuatu yang asing buat teraju utama filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Nas-T.
Namun, cabaran membuatnya 'koyak' sepanjang seminggu menjalani latihan komando di Kem Jugra, Banting sebagai persiapan sebelum memasuki lokasi penggambaran filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu.
IG Nas-T
Bukan hanya Nas-T, malah rakan pelakon lain turut mengalami perkara sama biarpun latihan komando hanyalah 20 peratus daripada latihan sebenar.
Kongsi Nas-T, sepanjang lebih seminggu berada di kem latihan itu, mereka memulakan latihan seawal jam 6 pagi sehingga matahari terbenam.
"Saya aktif bersukan dan gemar ke gimnasium, jadi saya cukup bersemangat apabila diberikan watak Kapten Adib.
"Sedikit sebanyak latihan di gimnasium membantu saya ketika menjalani latihan sebagai komando Pasukan Khas Udara (PASKAU).
"Bagaimanapun, latihan yang perlu ditempuh untuk bergelar komando bukanlah mudah, latihannya amat susah. Walaupun latihan diberikan kepada kami hanya 20 peratus tetapi jujurnya saya 'koyak'.
IG Nas-T
"Hari pertama kami diajar ciri-ciri keselamatan, manakala hari kedua mengendalikan pistol, diikuti dengan raifal pada hari ketiga.
"ada hari keempat kami berlari sambil menembak dan seterusnya, perlu mengikuti peperiksaan sebelum dibenarkan bergelar komando," katanya kepada BH Online.
Walaupun terpaksa menjalani latihan berat, Nas-T atau nama sebenarnya, Nas Muammar Zar Nasruddin berkata, dia seronok kerana watak Kapten Adib sudah lama diimpikan.
Selama ini, katanya, dia juga membesar dengan menonton filem aksi.
"Seronok membawakan watak Kapten Adib walaupun latihan dan penggambaran filem amat berat sehingga mendatangkan kecederaan kepada tubuh badan.
"Saya hanya diberikan watak budak jahat selama ini. Apabila ditawarkan watak anggota tentera udara tentunya saya tidak fikir panjang dan terus bersetuju.
"Karakter Kapten Adib sudah lama diimpikan sejak awal kerjaya lagi. Kalau boleh saya ingin terus menjadi Kapten Adib. Saya akui, sukar meninggalkan karakter ini kerana saya masih merasakan diri komando walaupun penggambaran sudah selesai," katanya.
Nas-T mendedahkan, perkara paling ditakuti adalah sakit dan kecederaan kerana enggan menyusahkan pihak produksi sepanjang hampir tiga bulan menjalani penggambaran pada 2019.
Ini kerana katanya, keadaan di Kota Belud, Sabah yang lembap dan hujan hampir setiap masa menyebabkan pelakon dan kru berisiko ditimpa demam.
IG Nas-T
"Tentunya saya paling takut tercedera terutama menyebabkan patah tulang. Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan serius, hanya tangan berlubang kerana terkena benda tajam.
"Saya gusar tidak dapat meneruskan penggambaran jika berdepan kecederaan serius sehingga menyusahkan pihak produksi. Jadi, saya sangat berhati-hati," katanya yang turut menjaga pemakanan bagi memastikan tubuhnya kelihatan menarik dalam skrin.
Nas-T berkata, dia mengamalkan diet dengan menjamah dada ayam, sayur brokoli rebus dan beras perang selama dua bulan sebelum penggambaran.
Katanya, walaupun tertekan melihat rakan lain menikmati makanan enak tetapi dia sanggup mengorbankan nafsu makan demi ingin kelihatan elok dalam skrin.
"Agak mental juga melihat orang lain makan nasi lemak dan mi goreng, tetapi saya berusaha menjaga makan dengan meminta isteri menyediakan menu diet daripada bahan yang boleh dimakan.
"Ketika penggambaran, pihak produksi membantu menjaga makan minum saya mengikut diet yang diamalkan," katanya.
Selain Nas T, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa turut dibintangi Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As'ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.
Filem yang bakal menjengah pawagam di Korea Selatan, Jepun dan Taiwan itu mengutip RM8 juta dalam tempoh empat hari ditayangkan di Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam sejak minggu lalu.
Sumber: BH Online |
|