Edited by rashiman at 10-8-2022 09:19 AM
RM6 bilion guna beli peralatan bina LCS
Muhammad Yusri Muzamir - 8h ago
[email protected]© Provided by Berita HarianKetua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman
KUALA LUMPUR: Pembayaran RM6 bilion daripada nilai keseluruhan kontrak pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dibuat bagi menampung perbelanjaan pembelian hampir semua peralatan diperlukan bagi pembinaan enam kapal berkenaan. Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman dalam muat naik di Facebooknya malam tadi, berkata nilai keseluruhan kontrak pembinaan LCS adalah sebanyak RM9 bilion dengan progres pembinaan lima kapal berkenaan ketika ini adalah 55 peratus.
Katanya, pembelian pukal peralatan membina enam kapal LCS adalah lebih murah, berbanding jika dibeli secara berasingan, selain menjelaskan sebahagian besar perbelanjaan berkenaan adalah untuk membina bentuk asas LCS, membabitkan reka bentuk asas dan terperinci dihasilkan Naval Group, Perancis. "RM9 bilion untuk enam kapal di bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion. Mesir membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis. UAE juga belanja hampir RM1.9 bilion (untuk) satu LCS. Amerika Syarikat bina LCS mereka pada harga RM2.4 bilion sebiji sebab lebih canggih. "Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal Navy yang diberi kepada syarikat PSC suatu ketika dulu, Boustead terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi. "Pengambilalihan ini termasuk hutang bank amat besar yang kini terpaksa ditanggung Boustead Holdings dan Boustead Naval Shipyard. Maka sebahagian daripada wang LCS terpaksa diguna untuk bayar hutang lapuk syarikat PSC ini. Maklumat ini ada dalam laporan PAC (Jawatankuasa Kira-Kira)," katanya. BH sebelum ini melaporkan, Ahmad Nazim dilantik sebagai CEO LTAT, berkuat kuasa 15 Jun 2021, menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang meletakkan jawatannya pada 30 April 2021, bagi menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu. Ahmad Nazim yang terbabit secara langsung bagi menggubal pelan pemulihan LCS bersama Kementerian Pertahanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) turut mengesahkan pembinaan fizikal kapal LCS sedang dibuat di Lumut Shipyard di pengkalan TLDM. "Saya sudah berkali-kali turun ke Lumut Shipyard yang terletak di pangkalan TLDM dan melawat projek LCS. Saya boleh sahkan pembinaan fizikal kapal memang sedang berlangsung. Kalau naik bot ke Pangkor pun boleh nampak 'hull' (badan) kapal ini yang sebahagian besarnya sudah dibina. "Projek ini terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi Kabinet pada April lalu, memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan opsyen paling murah. Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tiga opsyen, termasuk pelan penstrukturan semula BNS diteliti kerajaan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Kabinet yang mengambil masa selama lapan bulan. "Projek LCS yang dibina oleh syarikat BNS di Malaysia juga membuka peluang kerja teknikal dan kejuruteraan kepada hampir 3,000 jurutera, lebih 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang, dengan nilai projek lebih RM4 bilion dan ribuan lagi pekerjaan di syarikat vendor ini," katanya. © New Straits Times Press (M) Bhd
|