Sumber IG
Berusia 38 pada tahun ini, pelakon dan pengacara, Nabila Huda mendedahkan dia bimbang akan keadaannya yang mudah lupa dengan setiap perkara yang dilakukannya.
Nabila yang juga anak kepada penyanyi rock terkenal, Amy Search itu juga risau masalah tersebut akan memberikan kesan buruk pada kerjaya seninya khususnya sebagai pelakon.
"Rasa-rasa, otak saya sudah rosak. Sekarang sukar nak ingat dan cepat lupa.
"Tidak ingat di mana letak barang, nak cakap sesuatu pun lupa. Semakin teruk," tulisnya di IG Story.
Ingin mencari penyelesaian pada masalah yang dihadapinya itu, pelakon filem M4M4 itu turut meminta cadangan dan pandangan daripada warga maya cara untuk mengatasi perkara itu.
"Nak makan kismis sudah terlambat. Anda tahu mana-mana makanan tambahan yang bagus untuk pulihkan otak dan ingatan?
"Kedengaran kelakar tetapi ini serius. Saya takut kalau cepat lupa, sudah tak boleh ingat skrip atau dialog. Musnahlah karier saya," coretnya lagi.
Dalam perkongsian lain, Nabila turut berkongsi amalan kesihatan yang dilakukannya setiap hari. -CARI
|