Pemilik rumah sewa, Rizalmaruhan Sahmun mendedahkan sikap buruk salah seorang penyewa yang tidak menjaga kebersihan hingga mengganggu rakan serumah lain.
Memuat naik video di TikTok, Rizalmaruhan menunjukkan sisa ikan yang dibiarkan serta air kencing disimpan dalam botol air mineral.
Katanya, penyewa berasal dari Pantai Timur itu tidak pernah culas membuat bayaran menyebabkan dia tidak terfikir untuk membuat pemeriksaan keadaan semasa rumah sewa berkenaan.
Bagaimanapun, semuanya terbongkar apabila rakan penyewa lain mengadu sudah enam bulan terhidu bau busuk dari salah satu bilik di tingkat atas menyebabkan dia terpaksa melakukan pemeriksaan.
"Dia kerja bagus, kereta pun bukan biasa-biasa. Ditambah lagi penampilannya yang sentiasa kemas dan tak pernah ada masalah membayar sewa, saya tak sangka pula bilik dia jadi macam tu.
"Menurut penyewa lain, setiap minggu dia keluar mencuci kereta, tapi mereka tidak pernah melihat dia mandi atau memasak di dapur," katanya.
Sebelum ini, penyewa itu pernah mengalami kejadian serupa dari penyewa wanita. Dia beranggapan penyewa lelaki lebih menjaga kebersihan, namun tidak menyangka dia sekali lagi berhadapan masalah sama.
Digelar sebagai penyewa dari neraka, rata-rata ramai yang mengutuk sikap pengotor penyewa berkenaan.
Bagaimanapun, ada antara warga maya kurang bersetuju pemilik rumah terbabit mendedahkan negeri asal penyewa kerana ia menimbulkan perbalahan.
Pada anda, penyewa lelaki atau wanita lebih baik? - CARI
|