CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

12Next
Return to list New
View: 88930|Reply: 24

Adat Hamil / Bersalin / Berpantang [ pelbagai bangsa ]

[Copy link]
Post time 25-6-2009 03:49 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by Syd at 30-6-2009 13:47

Tradisi  sejak ribuan tahun
Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN


Kemajuan perubatan moden sedikit pun tidak menggugat warisan unik urusan perbidanan dan perjagaan bayi masyarakat India.


Setiap wanita yang melahirkananak bagaikan mati hidup semula. Ini kerana proses melahirkan anak diibaratkan seakan kelahiran kedua bagi setiap wanita. - ANGGAIYEE

KELAHIRAN setiap insan ke dunia ini, khususnya yang lahir secara normal, akan melalui proses yang sama. Namun yang membezakan hanyalah amalan perbidanan masing-masing.

Masyarakat India misalnya, sejak ribuan tahun lalu mempercayai amalan perbidanan tertentu untuk ibu sebelum dan selepas kelahiran serta penjagaan bayi yang baru lahir.



MASYARAKAT India percaya, amalan makan daun  sirih, buah pinang dan kapur  dalam tempoh berpantang dapat menambah zat kalsium.

Meskipun perubatan moden semakin berkembang, amalan tradisi dan upacara keagamaan masih diamalkan.

"Setiap wanita yang melahirkan anak bagaikan mati hidup semula. Ini kerana proses melahirkan anak diibaratkan seakan kelahiran kedua bagi setiap wanita.

"Semasa proses bersalin, si ibu menggunakan segala kudrat dan kekuatan tubuhnya," kata T. Anggaiyee, 57, bidan tradisional India diKapar, Klang, Selangor. Bekas pekerja ladang ini sudah menjadi bidan sejak dua dekad lalu.

Seperti masyarakat Melayu, amalan perbidanan masyarakat India dilengkapi dengan pelbagai rawatan tradisional, adat, pantang larang,petua, ramuan ubat-ubatan dan diet.




"Wanita yang melahirkan anak perlu menjaga kebersihan diri secara terperinci. Penjagaan ini amat dititikberatkan terutamanya pada bahagian sulit wanita.

"Ini kerana organ tersebut mudah dijangkiti bakteria dan virus berbahaya," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pekerja ladang di Bukit Guluh, Kuala Selangor kepada KOSMO! ketika ditemui di kediamannya.

Dalam tempoh dua bulan selepas bersalin, si ibu perlu menghindarkan diri daripada melakukan kerja-kerja berat seperti mengisar, membancuh air asam jawa, berjalan di atas lantai simen baru, merendamkan tangan dalam air soda atau pencuci kain. Ini kerana aktiviti seumpama ini boleh menyebabkan mereka demam atau janni yang mungkin membahayakan nyawa si ibu.

"Wanita yang melahirkan anak digalakkan makan sayur-sayuran seperti araikkeerai (daun kurma). Sayur-sayuran ini dapat mencegah ibu menghidap daripada demam selain menawarkan tenaga yang berterusan. Iajuga baik untuk kesihatan bayi," jelas Anggaiyee yang juga seorang pengamal amalan perbidanan tradisional ini.

Menurutnya, masyarakat India mengamalkan tempoh berpantang selama 60 hari. Pada tempoh 30 hari yang pertama sanak-saudara atau jirantetangga tidak digalakkan berkunjung ke rumah bayi yang baru dilahirkan.

"Walaupun pantang larang ini kelihatan pelik dan aneh tetapi ia sememangnya mempunyai tujuan yang baik kerana selepas kelahiran bayi baru keadaan rumah selalunya tidak teratur kerana tiada orang yang dapat menguruskan.

"Pada masa sama, tiada orang yang boleh melayan para tetamu yang melawat ke rumah tersebut kerana masing-masing sibuk menguruskan si ibu dan anak.


MANDI minyak dapat menguatkan otot dan organ tertentu.

"Selepas 30 hari, majlis menamakan bayi akan dbuat. Ketika upacara inilah saudara-mara dan sahabat handai akan dijemput untuk melihat bayi serta memberi restu kepada keluarga tersebut," katanya yang kini menjaga seorang bayi lelaki, M. Vilvan, lima bulan, yang tinggal berhampiran kediamannya.

Ibu kepada sembilan orang anak ini berkata, sewaktu tempoh pantang si ibu akan disajikan dengan pelbagai makanan berkhasiat. Barisan herba ini menjadi ejen penghapus kuman secara tidak langsung membantu untuk tumbesaran bayi serta kesihatan si ibu.

"Sejenis sup herba marunthu selavu akan dimasak bersama ayam kampung untuk si ibu mengubati luka akibat bersalin dan mengembalikan tenaga.

"Selain itu, selama dua bulan tempoh berpantang mereka juga dinasihatkan makan daun sirih, buah pinang dan kapur untuk menambah kalsium. Hidangan kepala kambing dan ikan yu bersama bawang putih pula berguna untuk membantu menghasilkan susu badan," jelas Anggaiyee yang mempelajari ilmu perbidanan daripada ibunya.


POTTU disapu di kening bayi yang bertujuan untuk melindunginya daripada anasir jahat.

Menurut beliau, selain ibu, bayi juga memerlukan penjagaan rapi.

"Proses memandikan bayi boleh dikatakan satu upacara yang istimewa dalam masyarakat India. Lantaran bayi yang baru lahir akan menjalani 'mandi minyak' yang disertakan beberapa bahan herba, antaranya sikai, kunyit kasturi, serbuk kacang hijau, minyak bijan dan semambu.

"Ketika memandikan bayi saya akan mengurut seluruh badannya dari rambut sehingga hujung kaki. Bayi juga akan diterbalikkan dan dihayunkan.

"Kesemua urutan ini secara tidak langsung membantu mengeluarkan toksin yang terkandung dalam badan, serta menguatkan otot-otot dan organ tubuh."

Sejurus dimandikan dengan pelbagai ramuan tradisional, bayi akan dikeringkan dengan asap yang mengandungi bahan seperti kulit bawang putih, daun notchi, kunyit dan minyak semambu. Rawatan ini membantu menangani masalah selesema dan batuk di kalangan bayi.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 25-6-2009 03:58 PM | Show all posts
Masyarakat moden kurang minat


SEPERTI masyarakat Melayu, masyarakat India juga mengamalkan pengambilan herba.

"AMALAN perbidanan masyarakat India yang kaya dengan perubatan tradisional kini semakin pupus. Kepupusan ini ekoran kelalaian dan pemikiran yang dibelenggu dengan kaedah rawatan moden," kata Pengamal Rawatan Tradisional dan Pengurus Besar, Vallalar Siddhar Ayur Herbs Services Sdn.Bhd., M.Gunasegaran, 40.

"Kepupusan ini berlaku sejak 25 tahun yang lalu. Sebanyak 70 peratus daripada masyarakat moden India mula menghindari dan tidak mengamalkan amalan tradisi ini.

"Hari ini para ibu yang baru bersalin enggan mengamalkan pantang larang dan menjaga kesihatan secara tradisional dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah," jelasnya yang mengusahakan perniagaan ini sejak sedekad lalu.

Pengamal rawatan tradisional Ayurveda yang lebih mesra dengan panggilan Patti Vaithiyam Guna ini memberitahu, mereka tidak mengambil inisiatif untuk mempelajari adat, pantang larang, petua, atur cara rawatan, ramuan ubat-ubatan dan makanan yang perlu diikuti sebelum dan selepas bersalin.

"Warga emas terutamanya ibu bapa juga tidak memainkan peranan mereka dalam memberi penjelasan yang betul.

"Kelalaian ini mengakibatkan ibu yang melahirkan anak menghidap demam yang boleh membahayakan nyawa mereka. Sementara bayi pula menghidap demam kuning, muntah yang berterusan dan sakit perut," ujarnya kepada KOSMO! ketika ditemui di Selayang Baru, Batu Caves, baru-baru ini.

Guna berkata, walaupun pantang larang dan kaedah penjagaan bayi secara tradisional kelihatan karut dan pelik, namun setiap kaedah mempunyai makna yang tersirat dan tersurat.

Sebagai contoh katanya, wanita selepas melahirkan anak lazimnya kurang tenaga dan kehilangan banyak darah.

Sehubungan itu, penggunaan bahan-bahan herba terutamanya kunyit sebagai ejen mencegah bakteria dan virus dapat membantu menyembuhkan luka dengan cepat.

Pakar herba ini juga mengakui ada antara ibu muda yang baru bersalin tidak berpantang selama 60 hari sebagaimana lazimnya. Alasan mereka, kerjaya lebih diutamakan kerana ia adalah periuk nasi masing-masing.
Reply

Use magic Report

Post time 29-6-2009 09:25 AM | Show all posts
mmm boleh disimpan buat reference masa depan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 07:02 AM | Show all posts
laaaa nih orang india pun
kalau bersalin; jemput bidan melayu urutkan dorang...

hehehe

mak aku bidan, tu yang dia dok citer
urut orang india laa, cina laa, benggali laaa
memacam bangsa skrg nih
Reply

Use magic Report

Post time 30-6-2009 08:50 AM | Show all posts
laaaa nih orang india pun
kalau bersalin; jemput bidan melayu urutkan dorang...

hehehe

mak aku bidan, tu yang dia dok citer
urut orang india laa, cina laa, benggali laaa
memacam bangsa skrg n ...
Syd Post at 30-6-2009 07:02


Dia urang pun ada pantang larang jugak macam masyarakat kita erk

harus diamalkan jugak mana yang perlu
kalau ikut urang dulu dula berpantang sungguh
x tahu zaman lar nih. kut masih ada yang mengikut cara dulu
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 10:01 AM | Show all posts
orang jaman skrg nih
pandai dari mak bidan
satu kita ckp
dua dia balas
tapi bila dah 'kena', bentan ke apa
ni jam laa
mak waden kasik hentam kaw2

Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 30-6-2009 10:33 AM | Show all posts
edit la skit.
tambah pasal adat orang cina plak nanti
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:51 PM | Show all posts
Orang India


Sewaktu Mengandung

Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-6-2009 01:52 PM | Show all posts
Kelahiran


Semasa Bersalin

Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa.

Membisikkan Nama Tuhan

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi tersebut kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin.

Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut.

Potong Tali Pusat

Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir.

Menyapu Madu

Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur.

Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:53 PM | Show all posts
Selepas Kelahiran

Adat-adat berikut dijalankan selepas kelahiran bayi.

Membawa Bayi Pulang Ke Rumah

Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa masuk ke rumah upacara aalati dilakukan. Ia bertujuan untuk mengelakkan bala atau sebarang malapetaka dariapada berlaku.

Bagi upacara aalati ini, dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan jam. Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak masuk ke dalam rumah, isi dulang aalati dibuang.

Mandi Selepas Bersalin

Apabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama, orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.

Jika proses bersalin secara pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas bersalin. Beberapa herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan bersama air. Air tersebut digunakan untuk mandi. Rambut ibu akan dikeringkan dengan segera dengan asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala, selsema dan juga untuk menyegarkan tubuh badan selepas bersalin.

Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.

Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga turut diurut. Beberapa bahan seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.

Mendodoi Bayi

Amalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat India. Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun amalan ini semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh generasi tua sahaja.

    Berendoi

Memberi Nama

Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan dewa-dewa.

Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda kesyukuran. Terdapat juga upacara memuja Dewi Pecciyamman dan Dewi Kaatteeri dilakukan oleh segelintir masyarakat India. Upacara pemujaan dilakukan dengan membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya diumumkan pada orang ramai. Saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara diakhiri dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi.

Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan mempengaruhi perwatakannya kelak.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:54 PM | Show all posts
Orang Cina



Masyarakat Cina mempunyai adat resam atau pantang larang yang agak unik. Kehidupan seharian mereka yang dipengaruhi oleh persekitaran dan alam sekeliling menyebabkan mereka banyak bergantung kepada nasib. Dalam pelbagai perkara, tukang tilik mempunyai peranan yang besar sebagai pakar rujuk dalam hal-hal kelahiran, perkahwinan dan kematian. Adat resam dan pantang larang ini diamalkan secara berbeza-beza mengikut kaum-kaum tertentu dalam masyarakat Cina, namun apa yang diterangkan seperti berikut merangkumi adat resam masyarakat Cina secara keseluruhannya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:55 PM | Show all posts
Kelahiran


Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.

Pantang Larang

Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan diantaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:56 PM | Show all posts
Selepas Lahir

Adat-adat berikut diamalkan oleh masyarakat Cina selepas melahirkan bayi.


Berpantang

Wanita-wanita Cina yang baru melahirkan anak terpaksa berpantang selama empat puluh hari hari. Ibu tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin. Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat. Pusat bayi yang tenggelam ke dalam adalah petanda bagi masyarakat Cina. Anak tersebut dipercayai akan menjalani kehidupan yang senang pada masa depan. Manakala pusat yang tersembul dikaitkan dengan hidup yang kurang baik. Bayi yang baru lahir selalu diperhatikan bentuk fizikalnya oleh orang-orang tua. Mereka akan mengaitkan telinga yang lebar dan tebal sebagai bakal menjalani kehidupan yang kaya. Masyarakat Cina mempercayai sekiranya terdapat lebih daripada satu pusar di atas kepala, bayi akan menjadi nakal dan tidak mendengar kata.

Dari segi pemakanan, masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras yang diperam dalam masakan mereka. Arak tersebut dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, kemudiannya digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin disamping menguatkan semula tenaga.

Kenduri

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga turut mengadakan kenduri iaitu apabila bayi mencapai umur sebulan. Kuih khas yang berbentuk bulat berwarna merah dan kuning yang berintikan kacang dan tau su serta telur yang diwarnai merah kemudiannya diberikan kepada saudara-mara yang terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah berupa pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu-ibu.

Mencukur Rambut

Seperti masyarakat Melayu, masyarakat Cina juga mengamalkan adat mencukur rambut Mereka mencukur rambut bayi kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara. Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk menumbuhi rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat.

Memberi Nama

Nama orang Cina terdiri dari 3 perkataan yang dimulai dengan nama keluarga. Patah kata kedua mewakili nama segenerasi di kalangan adik-beradik dan sanak-saudara. Nama ketiga pula merupakan nama bagi panggilan diri sendiri. Sistem nama yang baik perlu mengambil kira makna , unsur Yin dan Yang serta dibuat mengikut perhitungan matematik Cina. Terdapat lima aspek penting yang perlu diberi perhatian dalam memberi nama bayi yang baru lahir.

    Nama yang diberi haruslah mengandungi maksud yang baik seperti lambang kekayaan, kemewahan dan kesejahteraan.

    Bunyi nama mestilah sedap didengar.

    Nama mestilah dibuat berdasarkan kiraan matematik iaitu angka yang terhasil tidak bertentangan dan seelok-eloknya sepadan.

    Nama yang diberikan patut mempunyai timbangan unsur Yin dan Yang yang sama berat.

    Nama mestilah mempunyai lima unsur iaitu emas, air, api, tanah dan kayu serta saling melengkapi.

Oleh yang demikian, nama seseorang bayi harus disusun secara seimbang yang mengandungi unsur Yin dan Yang. Kegagalan memberikan nama yang baik juga akan mempengaruhi perjalanan hidup seseorang, samada akan ditimpa kecelakaan atau mendapat kesejahteraan.

Kerumitan orang Cina memilih nama yang sesuai untuk seseorang bayi kadangkala menyebabkan mereka mengambil masa yang agak lama, khususnya bagi mereka yang masih terikat dengan adat yang terpaksa merujuk kepada kitab-kitab tertentu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:57 PM | Show all posts
Orang Asli

Masyarakat Orang Asli merupakan komuniti kecil di Malaysia dan adalah penduduk pri bumi negara ini. Orang Asli merupakan masyarakat yang mempunyai beberapa suku kaum yang berbeza-beza. Secara rasminya masyarakat Orang asli dibahagi kepada tiga kumpulan yang terbesar iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli. Suku Senoi dan Negrito pula diklasifikasikan kepada enam suku kecil. Suku Melayu Asli dipecahkan kepada tujuh suku kecil.

Oleh kerana terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Orang Asli, maka terdapat banyak perbezaan dari segi cara hidup dan pertuturan bahasa yang digunakan. Kebudayaan dan adat resam mereka juga berbeza-beza dan mempunyai keunikan yang tersendiri. Adat resam berikut akan memperlihatkan adat resam yang diamalkan di kalangan masyarakat Orang Asli secara keseluruhan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:57 PM | Show all posts
Pengenalan

Bagi masyarakat Orang Asli, adat resam semasa hamil amat dititik beratkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu di kalangan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Melayu Asli. Berikut dipaparkan adat resam kelahiran yang diamalkan oleh masyarakat Orang Asli secara ringkas yang merangkumi peringkat sewaktu mengandung, semasa bersalin dan selepas lahir secara ringkas.

Sewaktu Mengandung

Di kalangan masyarakat Orang Asli terutamanya dari suku kaum Melayu Asli, wanita yang mengandung akan menempah seorang bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan , bidan yang dipilih itu perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh mak bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi. Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada di kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan.

Selain adat tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli.

    Wanita mengandung tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan.

    Mereka dilarang memakan ikan yang bewarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi.

    Wanita mengandung juga dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu.

    Mereka dilarang mengetuk paku pada kayu di sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 01:58 PM | Show all posts
Semasa Bersalin

Semasa bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan serpih buluh yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Seterusnya uri bayi ditanam berdekatan rumahnya. Uri tersebut akan dicuci, digaul dengan serbuk kunyit, garam, lada putih, lengkuas, kemenyan dan arang sebelum ditanam ke dalam lubang setinggi satu kaki. Selama tujuh hari lampu akan dipasang di tempat uri tersebut ditanam. Bagi masyarakat Orang Asli, mereka menganggap uri tersebut sebagai abang atau kakak kepada bayi itu dan justeru ia hendaklah ditanam dengan sempurna.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 30-6-2009 01:59 PM | Show all posts
Selepas Lahir

Selepas bayi dilahirkan, terdapat beberapa adat yang dijalankan, iaitu:


Memberi Nama

Bayi akan diberi nama dengan kebenaran dari ibu bapanya selepas selamat dilahirkan. Biasanya nama bayi diberi berdasarkan nama pokok, tumbuh-tumbuhan, ikan atau tempat yang dekat dengan bayi ketika lahir atau juga menurut nama peristiwa yang berlaku ketika bayi dilahirkan. Adakalanya nama yang diberi tidak sesuai dan bayi akan jatuh sakit. Jika ini berlaku, ibu bapa tadi akan 'menjualkan' bayinya kepada orang lain, iaitu ibu bapa barunya. Dipercayai penyakit bayi adalah disebabkan ketidaksesuaian antara bayi dan ibunya. Setelah bayaran dibuat kepada ibu bapa baru, ibu kandung akan pulang ke rumah. Tetapi tidak lama selepas itu ibu bapa baru akan menyerahkan kembali bayi tersebut kepada ibu bapa kandungnya. Adakalanya nama bayi perlu diubah kerana tidak sesuai. Jamuan kecil-kecilan akan dibuat sempena pertukaran nama bayi tersebut. Kadang kala pulut kuning akan diberi kepada jiran-jiran. Bidan pula akan menjalankan upacara pembersihan yang menyerupai adat menepung tawar di kalangan masyarakat Melayu supaya bayi berada dalam keadaan selamat dan sihat.

Tanggal Tali Pusat

Biasanya tali pusat akan tanggal dalam tempuh seminggu selepas bayi dilahirkan. Sama seperti adat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, masyarakat Orang asli juga akan menguruskan tali pusat tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini dengan cara membungkusnya dengan kain putih bersama-sama sebiji atau tiga biji lada hitam. Kemudian tali pusat itu digantung di atas api bertujuan untuk memelihara kesihatan bayi. Jika bayi itu sakit, tali pusat tadi akan direndam di dalam air dan diberi minum kepada bayi supaya sembuh. Apabila bayi sudah pandai merangkak, tali pusat tadi akan diberikan kepadanya untuk dijadikan permainan. Sekiranya tali pusat tadi hilang, ini bermakna bayi akan bekerja di tempat yang jauh apabila dewasa nanti kerana kononnya tali pusat tersebut merupakan sebahagian daripada 'adik beradiknya'.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 02:01 PM | Show all posts
Masyarakat Etnik Sarawak

Pengenalan

Kaum Iban banyak mengamalkan pantang larang dan adat-adat tertentu dalam aspek kelahiran. Peranan bidan juga sangat penting semasa membuat persiapan menyambut kelahiran dan juga selepas bersalin. Adat-adat tersebut dapat dilihat dari peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.

Sewaktu Mengandung

Dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut;

    *      Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja.

    *      Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak.

    *      Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut supaya bayi yang bakal lahir tidak akan bernanah.

    *      Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan.

    *      Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar.

    *      Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh.

    *      Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 02:01 PM | Show all posts
BERSALIN

Berikut merupakan beberapa adat yang dilakukan oleh masyarakat Iban semasa menyambut kelahiran bayi.

Pontong

Dalam masyarakat Iban, sebaik sahaja bayi dilahirkan, buluh yang dipanggil Pontong akan dipalu untuk memanggil jiran-jiran. Selain pontong, tembakan senapang juga turut digunakan.


Potong Tali Pusat dan Berurut

Sejurus selepas bayi dilahirkan, tali pusatnya akan segera dipotong dan bayi akan dimandikan. Seterusnya bayi dibedung dengan kain Pua Kumbu atau selimut yang ditenun cantik. Ketika bersalin, si isteri akan dibantu oleh seorang bidan dan dia akan memastikan ibu dan bayi dalam keadaan baik dan teratur. Seterusnya badan si ibu akan diurut oleh bidan bertujuan untuk menghilangkan rasa sengal-sengal badan akibat bersalin tadi. Selepas diurut, badan si ibu akan diusap pula dengan ubat yang diperbuat daripada halia dan entemu yang dibalut dengan tekalung, sejenis kain yang dibuat daripada kulit kayu.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 30-6-2009 02:02 PM | Show all posts
SELEPAS LAHIR

Adat-adat berikut diamalkan oleh kaum wanita Iban selepas bersalin.


Berpantang

Wanita Iban akan berpantang selama tiga puluh hari selepas melahirkan anak. Dalam tempoh berpantang itu, ibu akan diberi makan nasi dan ikan salai atau ikan kering yang kadang-kadang dicampur dengan pucuk paku dan buah pulur. Semua makanan tersebut pula perlu dicampurkan dengan halia atau air rebusan halia supaya dapat memanaskan badan.

Berdiang/Bersalai

Selepas bersalin, wanita kaum Iban perlu menjalani satu amalan yang dipanggil berdiang atau bersalai, di mana si ibu perlu duduk dekat dengan unggun api. Kayu yang digunakan untuk unggun api ini mestilah dari jenis kayu yang baik. Antara jenis kayu yang lazim digunkan ialah kayu malam, manding atau langsat. Kayu-kayu ini juga dikatakan mampu menyembuhkan penyakit ibu yang baru bersalin. Jika kayu yang digunakan untuk berdiang tersebut basah atau dari jenis beracun, dibimbangi asapnya akan memudaratkan si ibu dan bayi. Si ibu perlu berdiang atau bersalai selama empat puluh satu hari. Dalam tempoh itu, si ibu perlu menggariskan kapur pada tiang atau dinding rumah untuk menghitung hari kelahiran. Kesihatan si ibu dianggap pulih seperti sediakala apabila selesai menjalani adat-adat ini.

Tanggal Pusat

Adat melihat matahari atau merasa garam dijalankan apabila bayi sudah tanggal pusat iaitu ketika bayi berusia empat hari. Bayi tersebut akan dibawa oleh nenek atau saudara perempuannya ke tanju atau luar anjung untuk melihat matahari sambil mulut bayi tersebut dirasakan dengan garam. Pada masa itu juga, doa atau mentera dibacakan agar kesihatan bayi sentiasa terpelihara.

Menamakan Bayi

Kaum Iban begitu mementingkan adat memberi nama kepada anak-anak mereka yang baru lahir. Ini kerana, nama yang baik dan elok mempunyai kesan ke atas masa hadapan kanak-kanak tersebut. Lazimnya sebelum memberi nama yang rasmi, anak-anak kaum Iban akan diberi nama timangan. Bayi yang baru lahir itu seterusnya akan diberi nama sempena nama salah seorang daripada nenek moyangnya yang pernah berjasa dan handal. Tujuannya supaya bayi itu akan mewarisi jasa serta mengikut jejak langkah nenek moyangnya itu. Seterusnya upacara memilih nama akan dijalankan di mana kepalan nasi akan diletak di atas papan yang tertulis nama-nama yang dipilih itu. Kemudian seekor ayam akan dilepaskan untuk membuat pilihan dan ini dikenali sebagai Manok Tawai. Kepalan nasi yang dipatuk oleh ayam tersebut akan menjadi pilihan untuk menamakan bayi tersebut. Kemudian barulah nama itu dihebohkan kepada saudara mara yang terdekat.

Mandi Sungai

Upacara mandi sungai dijalankan selepas bayi diberi nama. Ia dijalankan semasa bayi itu berumur satu bulan dan adat ini dijalankan bagi membiasakan bayi dengan air sungai. Permulaannya, jiran-jiran akan dimaklumkan untuk meraikan adat tersebut dengan meriah. Dua orang lelaki akan membawa seekor ayam dan panji-panji. Kebiasaannya mereka ini ditugaskan membaca mentera dan menetak air sungai. Dua orang perempuan pula akan mengiringi lelaki tersebut. Seorang akan membawa ancak dan seorang lagi mengendong bayi. Bayi tersebut dipakaikan kain pua belantan dan kumpulan itu akan diikuti pula oleh orang ramai. Ketika ini doa atau mentera dibaca meminta supaya bayi itu menjadi orang yang sempurna dan berguna. Sebaik sahaja mentera dibaca, dua orang lelaki tadi akan menetak air dan ayam disembelih. Nama bayi juga akan diumumkan ketika itu. Bagi bayi lelaki, sayap ayam akan diikat dengan benang merah yang digantung pada galah berayang. Manakala bagi bayi perempuan pula, benang tersebut digantung pada galah laletan.

Selepas bayi dimandikan, dia akan dibawa pulang sambil gendang dipalu. Bayi itu akan dipangku dan pemangku duduk di atas tawak atau gong yang diletakkan di tengah-tengah ruai. Kemudian, bayi dan pemangkunya diselimutkan dengan kain pua kumbu dan disiram dengan air rendaman batu penawar burung, cincin emas atau wang ringgit lama. Selepas upacara mandi selesai, tetamu-tetamu akan dijamu dengan air tuak dan makanan yang ringkas. Upacara ini diakhiri dengan kenduri mandi anak iaitu menjamu tetamu dan ahli rumah panjang dengan makanan yang lebih banyak.

Berkhatan

Kanak-kanak lelaki kaum Iban akan berkhatan ketika berumur sepuluh tahun. Berkhatan lazimnya dilakukan secara senyap dan tidak disertai dengan kenduri. Kanak-kanak yang tidak berkhatan akan digelar sebagai lelaki kulup di kalangan kaum Iban.
Reply

Use magic Report

12Next
Return to list New
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 02:52 PM GMT+8 , Processed in 0.080346 second(s), 32 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list