Khidmat kian pupus dengan kemunculan benih baru lebih rendah, permudah manusia ambil buah
MAHIR: Beruk memilih kelapa untuk dipetik pada pertandingan
di Kampung Telaga Ara KOTA BHARU: Beruk yang membantu memetik kelapa satu ketika dulu menjadi kebanggaan masyarakat luar bandar kerana ia memudahkan pemiliknya mencari rezeki.
Ini kerana penggunaan beruk dianggap kaedah paling selamat untuk membantu usaha memetik kelapa dari pokok yang tinggi dan berbahaya jika dipanjat manusia.
Bagaimanapun, khidmat beruk kini kian pupus kerana pengurangan kawasan tanaman kelapa serta kemunculan benih tumbuhan itu yang tumbuh rendah membolehkan buahnya dipetik dengan mudah.
Selain itu, ketiadaan minat generasi muda meneruskan aktiviti pemeliharaan beruk memanjat kelapa, menyebabkan pemilik beruk ketika ini terdiri daripada warga tua.
Bagi pemilik beruk kini, selain membantu memanjat kelapa, pemeliharaan haiwan itu lebih kepada hobi mengisi masa lapang kerana kesukaran mengajar mamalia itu memetik kelapa dengan baik.
Bagi mereka, penggunaan beruk memanjat kelapa sekadar kerja sampingan mengisi masa terluang kerana kadar upah tidak sepadan, kecuali memiliki kebun kelapa sendiri.
Upah beruk memetik kelapa kini iaitu RM10 bagi 100 biji, dianggap tidak sesuai kerana proses melatih beruk untuk mahir memetik kelapa memakan masa lama dan sukar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat, Datuk Dr Ilias Hussin, berkata pemilik beruk perlu diberi ganjaran sewajarnya kerana proses memetik kelapa menggunakan haiwan itu kini sukar diperoleh.
"Tidak semua beruk kini pandai memetik kelapa jika tidak melalui latihan yang lama. Pemilik beruk biasanya penduduk yang memeliharanya untuk memetik kelapa dan upahnya dapat menyara keluarga.
"Jika upahnya tidak setimpal, mungkin pada masa depan teknik memetik kelapa menggunakan haiwan ini akan pupus apabila tiada yang berminat memeliharanya," katanya.
Beliau berkata, pusat latihan beruk perlu diwujudkan di negeri ini bagi memudahkan pemilik haiwan itu melatih haiwan mereka serta memastikan tradisi beruk memetik kelapa tidak dilupai generasi akan datang.
Katanya, penggunaan beruk untuk memanjat kelapa serta pusat latihan beruk sebenarnya berpotensi sebagai tarikan pelancong luar yang melawat negeri ini kerana ia adalah sesuatu yang menarik untuk ditonton.
Pemilik beruk, Salleh Ismail, 50, dari Sri Aman, Pasir Puteh, yang memiliki beruk memanjat kelapa sejak 35 tahun lalu, berkata beliau menempuh pelbagai pengalaman pahit manis bersama mamalia itu.
"Sepanjang tiga dekad mengambil upah memetik kelapa dengan tiga beruk, saya mampu menyara sembilan anak. Dengan pendapatan RM30 sehari, saya menyara persekolahan anak-anak hingga mereka berjaya dalam pelajaran.
"Saya tidak jemu dengan beruk kerana inilah yang saya mampu lakukan," katanya yang kini turut meraih kelapa daripada penduduk untuk dijual di sekitar Pasir Puteh.
Sepanjang pengalaman mengendali beruk, beliau pernah dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama 16 hari kerana cedera diserang beruk yang tiba-tiba mengamuk.
Salleh berkata, beliau mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk melatih beruknya mengenal pasti dan memetik kelapa. Kemahiran itu juga mendorong beliau membawa beruk menyertai pertandingan dan setakat ini sudah 10 kali muncul juara pertandingan.
Katanya, sebagai balasan kepada beruk peliharaan yang banyak berjasa kepada dirinya dan keluarga, setiap hari, haiwan itu diberi makan nasi serta pelbagai buah-buahan.
Bagi Mansor Abu Bakar, 30, dari Kampung Kelewek, Tanah Merah, berkata minat memelihara beruk itu sekadar mengisi masa lapang selepas menerimanya sebagai hadiah daripada abangnya.
"Ketika ini, saya mempunyai dua beruk. Seekor daripadanya mahir memetik kelapa. Jadi, ia juga menjadi penyumbang pendapatan tambahan apabila dipanggil oleh penduduk untuk memetik kelapa.
"Saya mengambil masa sebulan untuk mengajarnya memetik kelapa. Keupayaan beruk ini menarik beberapa daripada beberapa pihak yang berminat untuk membelinya pada harga tinggi tetapi saya enggan menjualnya," katanya yang menyajikan peliharaannya itu dengan roti dan susu setiap hari.
FAKTA:
Beruk
Mampu petik 100 kelapa sehari.
Upah RM10 bagi 100 kelapa
Tempoh 3 - 4 minggu latihan petik kelapa
Hidangan beruk - nasi, roti, susu dan buah |